Ia datang lagi

Ia datang lagi

jom hebohkan

Saturday 29 August 2009

Dakwah Sang Mekanik

Salam Ramadahn.
Sedar atau tidak hari ini sudah lebih kurang seminggu Ramadhan menjadi tetamu kita. Pasti dalam seminggu yang lepas pelbagai kenangan telah mewarnai Ramadhan kita pada kali ini. Tidak kira apa jua yang kita lakukan, pastikan supaya ianya menjadi sebahagian daripada amal ibadah yang dikira perbuatannya sebagai amal soleh.

Pada kiriman kali ini aku ingin berkongsi sedikit mengenai peristiwa sebelah petang tadi. Mungkin aku boleh gambarnya ianya sebagai suatu usrah tidak formal antara aku dengan sahabat Sarawakku, Sahrul Khair. Perkongsian idea ini berlaku ketika kami bersama-sama membetulkan tayar basikal yang pancit.

Proses pertama : membuka tayar daripada posisinya

Begini mulanya....
Lebih kurang pukul 3 petang, aku mengajak Sahrul untuk membantu menukar tiub tayar basikal kami yang pancit. Kami di sini bermaksud tayar basikal aku pancit, begitu juga tayar basikal sahrul. Jadi kedua-dunyanya perlu ditukar dengan tiub yang baru.

Sebelum memulakan tugas menukar tiub, aku sempat bertanya kepada Sahrul. "Enta pandai tak tukar tiub tayar basikal?" Aku memang biasa membahaskan diri Sahrul sebagai 'enta'.
"Sik pernah. Tok lah kali pertama", jawab Sahrul.

Aku tidak kisah sama ada Sahrul pandai atau tidak dalam hal sebegini kerana sebenarnya kerja ini memang boleh aku lakukan secara bersendirian. Cuma tidak seronok kerana tiada teman untuk berbual. Skru dilonggarkan, tayar dicabut dari posisinya. Dengan menggunakan peralatan khas, tayar dikopak supaya tiub yang sudah bocor dapat dikeluarkan. Sahrul dengan tekun turut membantu. Kemahiran memperbaiki sendiri basikal telah aku pelajari sejak lama dahulu ketika aku tinggal di Sabah. Terima kasih kepada bapaku yang menurunkan kemahiran ini.

Ini proses mengopak tayar

Dalam sibuk melakukan kerja, sempat Sahrul berkata "Orang Elektrik tukar tiub basikal. Mana nak jadi". (orang elektrik di sini merujuk kepada diri Sahrul yang mengambil kursus kejuruteraan elektrik di UTHM). Aku pun menjawab spontan "Takkan mesti ambil kursus mekanikal baru boleh buat kerja ni. Itu satu pemikiran yang salah".

Terus aku teringat kepada kenyataan sahabat lamaku, Ustaz Azlan "Minda mahasiswa masa kini telah dicompartmentalizationkan @ dikotak-kotakkan. Orang agama hanya bekerja di masjid, jabatan agama. Jurutera di kilang-kilang, peguam di mahkamah. Ini suatu budaya yang tidak sihat".

Ya. Aku setuju dengan pendapat Ustaz Azlan. Mungkin Sahrul ada simptom compartmentalization tersebut. (tapi simpton pada tahap yang tidak merbahaya). Mungkin Sahrul berpendapat perlu 'menjadi' seseorang baru boleh melakukan kerja 'orang' tersebut.
------------------------------------------------------------------------------------------------

Setiap Muslim Adalah Dai'e

Gejala compartmentalization yang merebak di dalam minda masyarakat muslim adalah merbahaya. Gejala ini sudah sekian lama dipelopori di Eropah bila mana urusan agama dan urusan pengurusan keduniaan diasingkan. Lantas ideologi ini dikenali sebagai sekularisme.

"Aku bukan ambil bidang pengajian agama. Mengapa pula aku yang perlu menjadi pendakwah"

"Alah, ustaz dan ustazah lepasan Mesir kan ramai. Suruh mereka je ajarkan murid kita ni mengaji dan menulis jawi"

"Kami bukannya alim. Malulah nak solat berjemaah di surau"

Ini antara dialog akibat daripada gejala compartmentalization. Menjadikan muslim itu dipasarkan mengikut bidang pengajian di universiti. Kesannya nanti adalah kepada proses dakwah itu sendiri. Mahasiswa akan menjadi bidang pengajian mereka sebagai 'alasan kukuh' untuk tidak melakukan dakwah. Bukanlah yang dimaksudkan berdakwah di sini perlu dengan duduk di hadapan orang ramai menyampaikan ilmu semata-mata tetapi dakwah yang disampaikan dalam kaedah yang pelbagai.

Jurutera dengan kaedah kejuruteraannya
Doktor dengan kaedah perubatannya
Peguam dengan hujah dan faktanya

Maksudnya semua muslim itu boleh menjadi pendakwah dalam posisi masing-masing. Tidak mesti ustaz atau ustazah datang ke kilang atau tapak pembinaan untuk berkuliah agama atau turun ke setiap hospital untuk memberi tazkirah. Cukup hanya dengan individu muslim itu sendiri memainkan peranan dalam posisinya.

Cuma yang perlu diberi perhatian ialah persiapan untuk berdakwah itu sendiri. Bak kata pepatah arab "Orang Yang Tiada Apa-Apa tidak Dapat Memberikan Apa-Apa".

Dakwah itu adalah medan untuk kita menyampaikan ilmu Islam kepada sesama muslim. Persipkanlah diri dengan sedikit-sebanyak ilmu tentang tauhid, akidah, ibadah, fardu ain dan ulum Al-Quran serta hadis. Insyaallah kerjaya sebagai pendakwah boleh diisi pada bila-bila masa. Tetapi sebelum tu jangan lupa jernihkan fikrah sebelum berdakwah.

Hasilnya......

Ingat saudara, kita ini umat Nabi Muhammad SAW. Mulianya kita kerana Allah SWT beri kita kesempatan untuk menyambung tugas yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW. Dapat juga kita peluang untuk merasa pedih dan peritnya ketika Nabi kita berdakwah suatu ketika dulu.

BIASAKAN YANG BETUL dan BETULKAN YANG BIASA

Saturday 22 August 2009

Ramadhan 1430 H

Pintu gerbang Ramadhan telah dibuka,
Sinarilah hari-harinya dengan sinaran Al-Quran,
Terangi malam-malamnya dengan butir-butir bintang doa dan ibadah,
Bakar pelita malamnya dengan kelazatan berzikir dang bertahajud kepadaNya,
Mudah-mudahan acuan perisai ketaqwaan jua yang akan kita raih sebagai ganjaran.
------------------------------------------------------------------------------------------------
Ramadhan kareem...
Tarbiyyah Didahulukan,
Taqwallah Diutamakan.
------------------------------------------------------------------------------------------------
The beautiful Ramadhan is coming,
In my most noble honour 'please forgive anything in the past'.
May Allah give us the best Ramadhan ever. Amin.
------------------------------------------------------------------------------------------------
Tiada hari seindah JUMAAT,
Tiada kata seindah ZIKIR,
Tiada ibadah sindah SOLAT,
Tiada bulan seindah RAMADHAN.
------------------------------------------------------------------------------------------------

Alhamdulillah. Masih dipanjang umur oleh Allah SWT untuk bertemu dengan Ramadhan kali ini. Bulan yang pada awalnya RAHMAT, pertengahannya KEAMPUNAN dan penghujungnya KELEPASAN DARI API NERAKA. Merenung kembali terowong masa yang telah berlalu terasa sangat kerdil diri ini di sisi pencipta. Terlalu banyak dosa dan maksiat yang dilakukan namun tidak pernah sang pencipta mengurangkan nikmatnya pada diri.

Nikmat kesihatan terutamanya di kala wabak penyakit menyerang, nikmat masa lapang di kala orang lain dalam kesibukan dan yang paling utama nikmat kehidupan di kala kita melihat ada insan yang dipanggil pulang ke negeri abadi.

Sempena kedatangan bulan Ramadhan kali ini, bersama kita pasakkan semangat untuk berubah:
* daripada keburukan kepada kebaikan
* daripada seorang jahil kepada seorang yang alim
* daripada seorang muslim kepada seorang mukmin
* daripada seorang manusia biasa kepada seorang hamba yang taat setia

Mudah-mudahan kehadiran Ramadhan kali ini memberi satu momentum baru kepada diri agar menemui makna hamba dan hakikat kehidupan sebenar di dunia ini.

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN

Tuesday 18 August 2009

Jambori Amal Johor 2009

Alhamdulillah, setinggi puji dan syukur kepada Allah SWT tuhan yang Maha Menentukan. Dalam kesibukan berhadapan dengan tugas-tugas sebagai seorang pelajar, Allah memberi sedikit ruang dan peluang kepadaku untuk melakukan sedikit misi amal beberapa hari lalu.

Jambori Amal Negeri Johor 2009 telah berjaya dijalankan dengan jayanya pada 14-16 Ogos lalu di Sungai Sudah, Muar, Johor. Inilah kali pertama aku dapat ber'jambori' di peringkat negeri. Bagi yang tidak mengetahi apakah itu jambori, ia sebenarnya merupakan perhimpunan tahunan atau boleh juga disebut sebagai perkhemahan peringkat negeri. Penganjur jambori ini iaitu Yayasan Amal Malaysia cawangan negeri Johor telah berjaya menghimpunkan lebih kurang 200 orang peserta dari serata kawasan negeri Johor seperti Batu Pahat, Kulai, Kota Tinggi, Labis dan Simpang Renggam.


Keunikan jambori kali ini ialah pada aktiviti yang disusun sepanjang 3 hari 2 malam program berlangsung. Misi utama iaitu 'memasyarakatkan yayasan amal' telah membawa satu dimensi baru di mana setiap aktiviti yang dirancang akan melibatkan penyertaan peserta dengan masyarakat sekitar.

Antara aktiviti yang berlangsung sepanjang jambori ialah program anak angkat, kembara amal, gotong-royong, derma darah dan pemeriksaan kesihatan, sukan air, sukan rakyat dan jamuan rakyat. Walaupun pada awalnya satu konsert amal yang menampilkan Renggo-bekas vokalis kumpulan Arrow, dicadangkan untuk diadakan ia terpaksa dibatalkan pada saat akhir atas beberapa masalah teknikal. Namun ia tidak melemahkan semangat peserta jambori untuk mengikuti aktiviti yang dirangka hingga ke hari terakhir.

Peserta jambori menunjukkan bakat mengendalikan kanu dan hasilnya....

Semua terbalik. Apa dah jadi bang oii..

Acara memasukkan paku ke dalam botol. Nampak mudah tetapi menduga kesabaran

Kaum ibu menunjukkan bakat menganyam ketupat

Gelagat adik-adik prasekolah dalam pertandingan mewarna

Sambutan yang menggalakkan masyarakat setempat dalam setiap aktiviti telah memberi satu petanda yang baik bahawa yayasan amal semakin diterima oleh masyarakat. Slogan "Beramal Kerana Allah" telah dihayati dengan sepenuhnya oleh para peserta. Walaupun tiada insentif berupa material yang diberi kepada setiap peserta atas segala sumbangan tenaga dan masa yang dicurahkan namun ia bukanlah alasan untuk peserta menunjukkan semangat yang tinggi untuk membantu sebaik mungkin bagi melancarkan perjalanan program.

Sungguh aku terharu melihat semangat semua peserta. Tidak kira yang muda atau yang sudah berumur, semua menunjukkan satu kesepaduan amal yang mantap yang mana jika diukur dengan kerja buat tersebut, Insyaallah aku melihat akan munculnya kembali sinar Islam di selatan tanah air ini. Tahniah kepada semua. Semoga kita bertemu pada Jambori Amal Peringkat Nasional akhir tahun nanti.


BERAMAL KERANA ALLAH
AMAL PRIHATIN

Tuesday 4 August 2009

Pembuka bicara bulan Ogos

Bicara 1 : Anti kezaliman

Kata Mufti Perak, Dato Seri Harussani Zakaria


JIKA perhimpunan yang boleh mendatangkan huru hara, MAKA adalah haram mana-mana pihak untuk menyertainya apatah lagi perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.


JIKA undang-undang sudah mengklasifikasikan perhimpunan itu sebagai haram, MAKA hukumnya menganjur dan menyertai perhimpunan itu adalah haram.

Wajib ke atas semua pihak untuk taat pada undang-undang demi menjaga keselamatan negara, oleh itu berdosa jika undang-undang tidak dipatuhi.

Mana-mana pihak yang ingin menyertai perhimpunan itu dinasihatkan supaya membatalkan hasrat mereka, sebaliknya melakukan protes secara aman sama ada melalui surat atau mengadakan pertemuan bagi mendesak kerajaan.

Kata Aku

JIKA perhimpunan JOM HEBOH itu haram, MAKA adalah haram untuk mana-mana pihak untuk menyertainya walaupun perhimpunan itu mendapat kebenaran pihak berkuasa.

JIKA undang-undang negara mengklasifikasikan perhimpunan JOM HEBOH sebagai perhimpuan sah (kerana mendapat permit), MAKA hukumnya menganjur dan menyertai perhimpunan itu adalah halal.

JIKA meletakkan kalungan bunga di pusara itu haram, MAKA adalah haram untuk mana-mana pihak untuk meletakkannya walaupun yang dihormati itu adalah pihak berkuasa (tentera-pejuang negara).

Aku bukan orang sastera. Apatah lagi pakar bahasa. Tetapi ukuran JIKA-MAKA yang digunakan dalam hal perhimpunan haram sukar untuk aku mengerti. Apakah untuk menilai hukum sesuatu perhimpuan itu haram atau sah hanya menggunakan nilai undang-undang dalam perlembagaan negara? Aku keliru. Aku bukan ahli dalam bidang agama dan bergantung harap kepada golongan agamawan untuk mengetahui sesuatu hukum. Namun jika begini keadaaannya, aku jadi keliru. Kenyataan begini tidak menyelesaikan isu tetapi hanya menjadikan pemikiranku serabut dan kusut.

Bicara 2 : Serangan 'tentera BABI'

Kematian pertama mangsa selsema babi, kita tak peduli. Mangsa kedua meninggal, kita kata masih terkawal. Hingga kini sudah lapan orang mati akibat virus H1N1-selesema babi. Takkan masih nak berdiam diri. Tak usah nak berdebat isu penggunaan istilah mana paling sesuai-nak guna istilah H1N1 atau istilah selesema babi. Istilah apa yang digunakan sekalipun tidak menyelamatkan nyawa manusia. Kematian adalah sesuatu yang pasti. Tak semestinya kerana 'babi'. Matinya Michael Jackson dan Yasmin Ahmad tiada kena mengena dengan virus ini.

Manusia mendabik dada mendakwa mereka hebat. Cipta senjata pelbagai rupa tetapi 'tentera' tuhan yang satu ini tidak dapat mereka tewaskan. Penyakit itu suatu bala. Bala itu suatu peringatan. Peringatan kepada semua yang makin lupa akan tuhan. Bagaimana nak selesaikan?
Usaha dan jangan lupa minta pertolongan kepada tuhan yang ESa-Allah SWT.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Apa erti aku berbicara? Bukannya ada yang hendak mendengar. Tetapi hati tetap meronta dan terus meronta. Biarlah....kerana makin banyak aku berbicara menjadikan diri makin banyak memahani perkara. Aku tutup bicara ini dengan beberapa patah kalimah :

Kita pelakon di pentas dunia,
Haruslah bijak memilih watak,
Kerana watak kita di dunia bakal menentukan anugerah apa yang kita dapat di akhirat kelak...


Create Fake Magazine Covers with your own picture at MagMyPic.com

Tazkirah : Al-Alaq (The Clot)


اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

96:1 Proclaim! (or read!) in the name of thy Lord and Cherisher, Who created-

خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَق

96:2 Created man, out of a (mere) clot of congealed blood:

اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ

96:3 Proclaim! And thy Lord is Most Bountiful,-

الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ

96:4 He Who taught (the use of) the pen,-

عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

96:5 Taught man that which he knew not.