Pertamanya aku ingin memohon maaf kepada pengunjung setia blog ini. Hendak dikira dengan masa, memang sudah lama aku tidak menghantar artikel baru. Bukan malas alasannya, cuma sedikit sibuk dengan aktiviti di sana sini.
Saat ini aku sedang menatap novel trilogi Natasya, Julia dan Cinta Madinah. Tiga novel terbaik karangan Abu Hassan Morad yang dikompilasikan dalam satu edisi khas sempena 70 tahun Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Boleh aku katakan novel ini sudah 'berumur'. Bukan keluaran baru namun ketika ia diterbitkan, minat membaca novel belum berakar dalam diri. Baru kini aku cuba membuka sedikit ruang untuk memberi peluang kepada novel-novel terpilih untuk dijadikan teman ketika ada ruang. Tetapi aku tidak mahu mengulas mengenainya pada kali ini. Halaman pertama pun belum terusik.
Cumanya untuk kiriman kali ini, aku ingin berkongsi sebuah karya yang aku kira juga 'berumur' tetapi diterbitkan kembali dalam bentuk yang lebih kontemporari.
Surat-Surat Perempuan Johor karangan Faisal Tehrani menjadi koleksi terbaru dalam ruang bacaan. Bagiku ia bukanlah sebuah karya biasa tetapi karya sejarah yang berjaya disampaikan dalam bentuk novel. Dan ia juga bukanlah sebuah novel biasa kerana dikisahkan melalui surat-surat tidak rasmi. Satu pendekatan unik yang selayaknya menjadi antara karya sastera terhebat Faisal Tehrani.
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Perempuan itu seperti dalam pengetahuan kita, terkandung dalam enam huruf pengertiannya.
(lihat Raja Hamzah Yunus, "Perempuan Melayu: menurut takrif naskah melayu riau johor" dalam Jurnal Warisan Johor, Jilid II, Yayasan Warisan Johor, Johor Bharu, 1998)
Huruf FA itu berkaitan fasih. Lidah kita orang perempuan ini harus fasih memuji Allah dan Rasul-Nya, memuji kebaikan suami dan orang yang berbudi kepadanya.
Sedang RA itu mengenai ramah untuk bertemu jalan Allah, ramah mendapat petunjuk Rasulullah SAW serta ramah mendapat kasih suami.
Kitab itu juga mengajarkan kita huruf MIM pada perempuan itu adalah sifatnya yang malu kepada Allah dan kepada Rasul, sayugia setelah ada segan dan silu tentu juga pandai kita memelihara malu suami dan malu lain di tempat yang patut kita menaruh malu.
Perempuan itu mengamdungi dua FA, dan akan huruf FA yang kedua membawa erti percaya. Perempuan harus penuh kepercayaan, tidak mengkhianat, tidak kenal ingkar, tidak bercakap dusta-dusta dan ditegah membuka jalan yang haram.
Sedang WAU pula seperti syarah bonda Ampuan, ada perempuan itu wangi kerana haruman bidadari syurga itu kita yang warisi. Kerana wangi menyejukkan hati, mendamaikan suami dan terbendunglah kita dari menyebar pengkhabaran busuk dan umpat-umpatan berbau bangkai.
Sedang huruf akhir, NUN, membawa erti besar iaitu andalan. Seperti permata berharga, perempuan itu memelihara dan menegnal ia baik jahat, dosa da pahala hingga dapat menjadi andalan dirinya. Yang namanya perempaun itu ialah insan yang terpercayakan.
Surat-Surat Perempuan Johor mukasurat 19-20
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Penggunaan gaya bahasa Melayu lama amat memukau. Mungkin ada yang akan berkata ianya tidak lagi sesuai digunakan pada zaman ini namun aku amat menyenanginya. Selain itu penggunaan pantun dalam menyampaikan sesuatu perkara turut menjadi daya penarik novel ini.
Mahu berguru di Puncak Opir,
Diajar puteri bunganya silat,
Perluas ilmu tajam berfikir,
Barulah Islam dapat didaulat.
Pendeta datang dari Pontian,
Mencurah ilmu membuka madrsah,
Jika yng alim menunjuk jalan,
Senang sang amir memacu arah.
Memilih nilam antara delima,
Ditempa molek jadikan pualam,
Baik-baik memilih nakhoda,
Salah gerangan habislah karam.
Di sebalik penggunaan laras bahasa Melayu lama yang memukau dan seni pantun dalam budaya masyarakat Melayu, fokus utama yang lebih menarik ialah tentang isu yang cuba disampaikan lewat surat dan warkah yang dipaparkan.
Pengarang cuba membawa kisah bagaimana pengaruh era kepimpinan Turki Uthmaniah cuba diadaptasi oleh Sultan Abu Bakar di Johor. Penggunaan undang-undang Islam dalam urus tadbir kehidupan rakyat diwartakan melalui Majalah Ahkam Johor seiras seperti Hukum Kanun Melaka yang memiliki ciri-ciri keIslaman di dalam penggubalannya.
Kembara Ungku Nur hingga ke Turki untuk menjejak sejarah warkah Tuk Hamidah yang dikahabarkan berkahwin dengan lelaki Turki suatu masa dahulu membuatkan rangkaian kisah semakin menarik. Hanya dengan membacanya sendiri barulah anda akan faham maksud yang cuba aku sampaikan.
Dalam kecelaruan sistem yang ada pada hari ini, novel ini semacam memberi suatu gambaran di mana sejarah telah membuktikan betapa pemerintah terdahulu komited dengan sistem pemerintahan Islam yang dirujuk kepada kerajaan Turki Uthmaniah. Mengapa kini kita berbangga dengan sistem bawaan penjajah yang telah terhakis kredibilitinya dalam menyusun atur kehidupan bermasyarakat. Bukanlah hukum itu hanya pada bab jenayahnya sahaja tetapi merangkumi seluruh sistem sosial yang menjadi teras kehidupan seharian manusia. Jika tidak menjadi kenyataan sekalipun untuk melihat tertegaknya kembali empayar khalifah, janganlah kita berhenti untuk berusaha kerana bukan hasil sahaja yang menjadi perhatian tetapi usaha juga turut menjadi perkiraan.