Ia datang lagi

Ia datang lagi

jom hebohkan

Sunday 29 August 2010

Ini cerita baru

Assalamualaikum WBT dan Salam Ramadhan,

Memang agak lama aku menyepikan diri dari alam penulisan. Faktor persekitaran yang sudah berubah mungkin boleh dijadikan alasan. Apa pun penyebabnya percayalah aku sebenarnya masih bersemangat untuk menulis. Cuma ruang dan peluang itu yang menjadi kekangan. Mungkin ada pengunjung yang tertanya-tanya ke mana aku menghilangkan diri. Dua bulan lamanya 'taman' ini sepi. Biarlah artikel ini mengubat rindu kalian dengan sedikit coretan PENGALAMAN selama dua bulan aku mengalami proses perpindahan fasa ini.

Menamatkan pengajian sekitar bulan Mac 2010 merupakan suatu saat yang sangat menyeronokkan. Apa tidaknya tiga tahun mengharungi detik suka, duka dan kepayahan di alam pengajian kini telah berakhir. Semua PENGALAMAN itu akan tetap menjadi memori indah yang akan terus disimpan.

Langkah seterusnya sudah tentu memikirkan apakah nasib di alam pekerjaan. Bukan tidak mahu menyambung ke peringkat pengajian yang lebih tinggi. Demi mendapat secebis PENGALAMAN aku membuat keputusan untuk melangkah ke alam pekerjaan. Setiap iklan yang sesuai dengan kelayakan aku mohon. Apa sahaja bidang yang aku rasakan sesuai menjadi perhatian. Karnival kerjaya aku kunjungi. Semuanya atas dasar usaha mencari tempat dalam alam pekerjaan.

Namun bak pepatah dalam lagu, penantian itu suatu penyiksaan. Aku terus menunggu dan menunggu panggilan majikan. Sebulan, dua bulan.......

Alhamdulillah akhirnya penantian membuahkan harapan. Panggilan temuduga petang itu menjadi titik tolak kepada sebuah harapan demi PENGALAMAN. Aku diterima bekerja untuk satu projek di Pulau Pinang. Kontrak setahun diikat antara aku dengan syarikat. Biarpun hanya secara kontrak aku tidak kisah kerana bukan pekerjaan tetap tetapi PENGALAMAN yang aku utamakan.

16 Jun 2010 secara rasmi aku melapor diri di ibu pejabat di Serdang. Mungkin kerana pernah menjalani Latihan Industri hari pertama tidak menjadi kejutan. Ini semua disebabkan PENGALAMAN.

1 Julai 2010 aku beserta beberapa orang teman berangkat ke Pulau Pinang. Bayan Lepas secara khususnya. Sesuai dengan jiwa kembaraku setiap tempat asing menjadi suatu keghairahan. Bagaimana orangnya? bagaimana budayanya? semua itu persoalan yang aku sendiri harus mencari jawapan.


Skop tugas aku sangat banyak tetapi dilakukan secara berperingkat.
Peringkat 1 : Proses Mengumpul Data dan Mengisi Borang
Peringkat 2 : Membuat Lakaran Cerun
Peringkat 3 : Melukis Bentuk Cerun pada Peta
Peringkat 4 : Menyediakan Slaid P.Point untuk Pembentangan
Peringkat 5 : Memasukkan Data ke Dalam Sistem
Peringkat 6 : Proses Menambahbaik Sebelum Data Diluluskan


Pengurusan masa adalah suatu yang sangat perlu diberi perhatian. Jangka masa projek yang hanya memakan masa setahun dibandingkan dengan jumlah cerun yang perlu direkodkan memaksa suatu mekanisma pengurusan masa yang sangat teliti. Namun PENGALAMAN menyelamatkan aku setakat ini. Semasa di alam pengajian aku aku telah membiasakan diri melakukan pelbagai kerja dalam masa yang mendesak. Menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan, kerja organisasi, aktiviti sini dan situ menjadi rutin aku sebagai mahasiswa dahulu.

Selain aku ada 28 orang lagi graduan yang baru menamatkan pengajian terlibat dengan projek ini. Mereka juga menjalankan skop tugas yang sama denganku. Mereka datang dari pelbagai IPT awam dan swasta. Sepanjang pemerhatian, aku sangat tidak bersetuju dengan cara mereka bekerja. Walaupun memiliki ijazah daripada universiti terkemuka dalam negara namun personaliti mereka menampilakan refleksi sebaliknya.

PENGALAMAN aku berinteraksi dengan ramai orang ketika di alam pengajian membantu aku mengenali watak manusia dengan singkat. Personaliti dan pembawakan 28 orang lagi rakan sekerjaku dapat aku tangkap dengan mudah. Tidak keterlaluan jika aku katakan aku boleh meneka watak mereka ketika di alam kampus dahulu. Manakan tidak dengan tekanan kerja yang sedemikian mereka masih boleh berehat dan tidur ketika waktu bekerja!!!

Bagi menutup artikel kali ini aku ingin menasihatkan kepada rakan-rakan yang sedang menuntut di alam pengajian gunakan masa anda di kampus untuk meraih sejuta PENGALAMAN yang berharga. Mungkin ada yang akan berpandangan sinis bahawa kerja yang anda lakukan adalah di luar bidang anda sebagai seorang mahasiswa tetapi percayalah bahawa PENGALAMAN itulah suatu hari nanti akan membantu dalam menghadapi kehidupan yang kita sendiri belum tahu hujung pangkalnya.

Tidak ada harta yang dapat membeli sebuah PENGALAMAN maka raihlah ia ketika anda mampu berbuat demikian.

Monday 14 June 2010

Kitaran Hidup

Kebanyakan individu terutamanya bagi yang bekerja sudah pasti ternanti-nanti kehadiran hujung minggu. Bagi mereka inilah masa emas yang harus dimanfaatkan untuk berehat bersama rakan-rakan dan keluarga. Namun sejak kebelakangan ini corak masyarakat telah berubah terutamanya di bandar yang mana mereka menggunakan peluang hujung minggu tersebut sebagai masa untuk mengadakan majlis samada akikah, walimah, kenduri kesyukuran dan sebagainya. Kemampuan orang bandar untuk menyewa khemah dan menggunakan khidmat katering menyumbang kepada faktor berlakunya peristiwa ini.

Sesuatu majlis itu tidak akan berjaya hanya kerana penganjur tetapi tetamu turut memainkan peranan. Mana mungkin sesuatu majlis itu dianggap berjaya jika tiada tetamu yang hadir sebagai penyeri majlis. Rasulullah SAW juga berpesan kepada kita, PENUHILAH UNDANGAN JIKA KAMU DIJEMPUT. Menyahut seruan itu pada hujung minggu yang lalu, aku telah menghadiri beberapa majlis yang diadakan di Negeri Sembilan dan sekitar Bangi.

Sabtu - 12 Jun 2010

Trut...truttt.....Nama Hasri Serdang tertera pada skrin telefon. Pantas butang hijau pada telefon ditekan tanda menyambut panggilan.

"Assalamualaikum wbt, Firdaus ada di mana? Jom ke Rembau", Hasri melontarkan hasrat.
"Waalaikumsalam wbt, boleh juga. Nak tunggu di mana?", hasrat bersambut.
"Tunggu di rumah. Nanti ana datang ambil".

Sebuah kereta Honda berwarna biru masuk ke kawasan rumah. Kelihatan satu susuk tubuh di dalam kereta. Aku cukup pasti itu Hasri, senior ketika menuntut di universiti dulu. Selepas menjemput aku, kami menuju ke stesen komuter UKM untuk menjemput Sar Imran yang sudah berjanji dengan Hasri untuk turut serta.

Perjalanan ke rumah pengantin tidak berapa sukar. Lebuhraya Utara-Selatan menjadi pilihan. Keluar ke Simpang Ampat lalu menuju ke pekan Rembau. Dalam pukul 3.00 petang kami sudah berada di sana.


Majlis diadakan sederhana tetapi meriah. Pasangan pengantin merupakan senior kami semasa di universiti dulu. Kepada pasangan JOHAN@JOE dan IZZATUL : Barakallah hu lakuma, Wa Baraka Alaikuma....


Belakang dari kiri : Hasri, Joe, Hannan
Depan dari kiri : Sar Imran, Hanafiah dan Sairudin


Dalam masa yang sama majlis walimah seperti ini menjadi medan untuk bertemu senior-senior yang lain seperti Abang Sairudin, Hannan dan Hanafiah beserta isteri dan anak masing-masing. Mendengar cerita dan pengalaman mereka terasa jauh lagi perjalanan hidup yang harus aku lalui. Mereka telah memasuki fasa lain dalam hidup sedangkan aku baru mula bertatih setelah menamatkan alam pengajian.

Apa yang lebih menarik, perjalanan kami ke Rembau ini menghadirkan peluang untuk kami bertemu dengan Zulkarnain, seorang lagi rakan lama yang kini bertugas sebagai guru di Sekolah Agama Yayasan Sofa, Rembau. Setelah menamatkan pengajian beliau mengambil peluang mengajar sementara di sekolah ini sebelum diserap menjadi guru tetap. Begitulah warna dan corak hidup manusia. Masing-masing sudah tersedia rezeki oleh Allah SWT.


Ahad - 13 Jun 2010

Satu jemputan untuk menghadiri majlis akikah diterima oleh ayahku sejak minggu lepas. Pukul 11.00 pagi majlis tersebut dijadualkan untuk bermula.

Sebelum ke majlis tersebut tanpa diduga satu panggilan diterima daripada pengerusi surau kariah kami memaklumkan tentang kematian adik kepada seorang ustaz yang selalu mengisi ruang kuliah di surau kami. Beliau memaklumkan jenazah akan diuruskan dan disolatkan pada jam 3.00 petang.

Memenuhi saranan Rasulullah SAW, sekali lagi kami sekeluarga ke majlis akikah pada sebelah pagi seterusnya menghadiri acara pengurusan jenazah di sebelah petang.

Kesimpulan Hujung Minggu

Balik dari ketiga-tiga majlis, baru aku sedar bahawa kesemua majlis itu merupakan sebahagian daripada kitaran hidup seseorang manusia. Kita bermula dengan dua pasangan manusia iaitu Adam dan Hawa, berkahwin dan dikurnikan cahaya mata. Hidup di dunia dalam jangka masa tertentu seterusnya diakhiri dengan kematian untuk berpindah ke alam yang kekal abadi.

Berakhirnya satu lagi hujung minggu bagiku...

Thursday 10 June 2010

Cerita 5 babak

"Assalamualaikum. Firdaus dah kerja dah?" sapa jiran yang ku kenali sebagai Ejan. Ketika itu aku baru selesai menunaikan solat asar.

"Waalaikumsalam. Permohonan kerja dah banyak isi tapi belum ada yang panggil temuduga", jawabku jujur dan bersahaja.

"Ada tempat nak 'guna orang'. Boleh la cuba minta. Siapkan resume lepas tu call nombor ni", Ejan memberitahu tanpa diminta. Dalam masa yang sama nombor telefon bertukar tangan.

"Terima kasih. Nanti aku cuba...."

TAMAT BABAK 1

Isnin-17 Mei 2010

"Assalamualaikum, ni Encik Azmawi ke?"

"Waalaikumsalam, ye saya. Siapa ni?"

Setelah memperkenalkan diri aku pun menyatakan tujuan menelefon beliau. Tidak sukar untuk beliau menangkap maksud yang ingin aku sampaikan.

"Buat cover letter dengan resume esok datang pejabat hantar kepada Cik Basirah", arah Azmawi di hujung perbualan.

TAMAT BABAK 2

"Assalamualaikum. Ini Basirah bercakap. Petang esok boleh tak awak datang ke pejabat untuk sesi temuduga", laung suara di hujung talian.

"Waalaikumsalam. Insyaallah. Pukul berapa? Di mana tempatnya?", lontaran soalan untuk aku mendapat kepastian.

Setelah mendapat segala butiran dan menyatakan persetujuan talian diputuskan.

TAMAT BABAK 3

"Sila perkenalkan diri".

"Nama saya sekian, sekian. Umur sekian,sekian. Pendidikan sekian, sekian dan seterusnya..."

"Ok semua bagus. Awak boleh bekerja di luar kawasan? Saya tak memaksa awak untuk menjawab dengan segera tetapi jawapan awak boleh mempengaruhi keputusan temuduga ini", suatu soalan yang agak mengejutkan.

"Boleh", aku menjawab setelah berfikir seminit dua. Apa salahnya mencari pengalaman mengembara ke tempat orang. Itulah kata hati ketika itu.

"Kalau begitu awak lengkapkan borang ini sekarang juga supaya esok saya dapat hantar ke bahagian pentadbiran untuk diproses", arahan spontan menuntut pelaksanaan.

"Secepat itu", fikirku di dalam hati. Tanpa bangkangan tangan menari mengisi butiran.

POSITION : ........................??
EXPECTED SALARY : ...................??
Antara butiran yang perlu diisi di dalam borang.

Aku kebingungan. Bantuan Cik Basirah sangat berguna di saat begini. Meminta pertolongan daripada yang tahu.

TAMAT BABAK 4

"Hello. Encik Firdaus. Saya Ayu dari Bahagian Pentadbiran. Boleh tak awak datang ke pejabat pentadbiran petang ni untuk selesaikan beberapa urusan".

"OK. Pukul 3.30 saya akan ke sana".

Tiba di tempat dijanjikan, sepucuk surat telah bertukar tangan. Ku buka lalu di baca. Arahan untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

TAMAT BABAK 5

Prosedur demi prosedur. Akhirnya sepucuk surat lain aku terima selepas laporan pemeriksaan aku serahkan kepada Kak Ayu.

Pantas ku buka. Baca.

Alhamdulillah. Sudah pasti anda dapat meneka.......


Ahli sunnah wal Jamaah berpegang kepada kaedah bahawa kita sebagai
manusia harus berusaha tetapi yang meluluskan usaha tersebut adalah Allah SWT

- Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri-

Sunday 16 May 2010

Semalam aku telah berjaya ke Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) di PWTC, Kuala Lumpur. Maklumlah belum ada syarikat yang sudi untuk memanggil aku bekerja dengan mereka. Jadi perlu ada sedikit usaha untuk memasarkan diri sendiri.

Jujurnya memang ada sedikit tekanan apabila belum mendapat kerja. Maklum sahaja ada yang sudah mula bising. Namun dalam tekanan itu aku tidak menyangka bahawa sebenarnya kerjaya sebagai seorang Jurutera Awam dikategorikan sebagai kerja yang berpendapatan tinggi tetapi kurang tekanan kerja. Berikut adalah buktinya :

5 High-Paying, Low-Stress Jobs
klik untuk bacaan lanjut

1) Physical Therapist

2) Computer Software Engineer

3) Civil Engineer

Civil engineers design and build our nation's infrastructure, from public buildings and roads to water supply and pollution control systems. Obviously, these projects aren't pressure-free, but civil engineers generally work in teams, which helps alleviate some of the stress. As a bonus, these experts also enjoy long deadlines. As a matter of fact, most engineers have a few years to design and plan out a project before the construction company even breaks ground.

Even less stressful? Civil engineers don't have to work too hard to hunt down jobs. According to the Bureau of Labor Statistics, civil engineers are expected to see a 24% spike in employment growth over the next 10 years - well above average for all U.S. occupations. Civil engineers bring home a respectable $50,000-115,000 a year.

4) Massage Therapist

5) Technical Writer

Walau apapun aku masih juga tertekan selagi belum mendapat kerja. Aku mensasarkan supaya sebelum majlis konvokesyen nanti sekurang-kurangnya aku sedah mempunyai kerja walaupun ianya secara kontrak ataupun tidak bersesuaian dengan bidang kejuruteraan. Doa-doakanlah ye....

Friday 30 April 2010

Sajak Kematian

Apabila matinya seorang MENTERI
Dia dipuji-seorang yang banyak berjasa, dihormati rakan dan lawan
Diberi pangkat pada pangkal nama
Dikunjungi manusia setiap lapisan

Apabila matinya seorang WAKIL RAKYAT
Masyarakat berdukacita hilangnya wakil mereka
SPR pening memikirkan tarikh pilihanraya
Yang lain menunggu adakah peluang menjadi penggantinya

Apabila matinya seorang AHLI HIBURAN
Media memaparkan kisah kehidupan
Hilangnya sebutir permata berharga itu yang didakwa
Seolah-olah hilangnya mereka terencat kehidupan manusia

Apabila matinya seorang REMAJA
Ditembak di kepala semasa memandu kereta
Yang dikesali tuduhan entah apa-apa
Harap akan ada pembelaan dan keadilan ke atas dia dan keluarga

Apabila matinya seorang ULAMA
Dihormati manusia bahkan malaikat jua
Itulah tanda dunia hampir hujung usia
Semoga penggantinya akan ada

Aku akan menemui kematian, kalian juga mesti
Entah bagaimana keadaan kita bila mati nanti
Yang pasti kita akan menemui Allahu Rabbi...

30 April 2010 (10.25 malam)
Bandar Baru Bangi

Saturday 17 April 2010

Satu, satu

abangyerm: kantoi ar lemah iman kalu pg demonstrasi...16 Mar 10, 22:11

Lama aku berhajat untuk mengulas pandangan ini yang dilontarkan di CboX. Pandangan ini dikeluarkan mungkin selepas pengunjung tersebut melihat banner demostrasi anti ISA yang aku letakkan. Salahku juga tidak menulis tentang demostarsi ini hingga ada yang terkeliru dengan apa yang cuba aku sampaikan.

Rasulullah SAW pernah mengeluarkan kenyataan berikut :

Barangsiapa yang melihat kemungkaran (kezaliman) hendaklah dia mencegah dengan tangannya, jika tidak mampu hendaklah dengan lisannya dan jika tidak hendaklah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.


Akta Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Act (ISA) merupakan aktayang telah lama diperkenalkan di Malaysia. Bukan sedikit individu pernah ditahan menggunakan akta ini antaranya Dr Burhanuddin AlHelmi, Mahfuz Omar, Anwar Ibrahim dan juga Nik Adli bin Nik Abdul Aziz. Tidak perlu aku bincangkan secara terperinci tentang akta ini cuma yang paling mudah untuk difahami ialah mereka yang ditahan di bawah akta ini tidak dibicarakan di mahkamah seperti selalunya. Kesalahan mereka pula kadangkala tidak diketahui. Kenyataan Menteri Dalam Negeri merupakan skrip yang sudah dihafal-mereka ialah militan yang membahayakan negara atau mereka mengancam keselamtan negara. Namun hakikatnya ia tidak pernah dibuktikan.

Oleh yang demikian sebuah NGO yang dianamakan Gerakan Mansuhkan ISA atau singkatannya GMI ditubuhkan bagi memperjuangkan pembebasan mangsa tahanan ISA. Kemuncaknya ialah demostrasi pada 1 Ogos 2009 tersebut.

Apa yang cuba aku sampaikan ialah kehadiran pada demostrasi tersebut merupakan suatu tindakan bagi menunjukkan kebencian terhadap kezaliman ISA. Berdasarkan hadis Rasulullah SAW di atas tindakan selemah-lemah iman ialah membenci dengan hati. Benci dengan hati perlu ditunjukkan. Bukanlah benci dengan hati bermaksud menyimpan perasaan semata-mata. Sebaliknya ianya perlulah dizahirkan dengan suatu tindakan. Maka perhimpunan aman tersebut adalah bukti hati membenci kezaliman yang dilakukan.

Ianya tidaklah bermaksud mereka yang hadir ke perhimpuan tersebut semuanya adalah golongan yang lemah imannya. Kehadiran mereka merupakan tindakan yang paling ringan dalam mencegah kemungkaran dan kezaliman.

Tidak pula aku bermaksud mereka yang tidak hadir itu tidak beriman cumanya mereka tidak berkesempatan untuk menunjukaan rasa benci melalui kaedah berhimpun.
Berhimpun atau tidak hakikatnya perasaan benci kepada kezaliman, kemungkaran dan penindasan perlulah disemai ke dalam hati. Mana mungkin orang yang beriman suka kepada kemungkaran dan kezaliman.

Israel dan 1Malaysia

Kebencian kita terhadap Israel juga pernah dizahirkan melalui demostrasi akibat kedatangan pasukan kriket Israel ke Malaysia pada tahun 1997. Himpunan yang digerakkan mewakili kebencian hati seluruh umat Islam Malaysia.

Kini timbul pula isu kerajaan Malaysia melantik syarikat yang ada kena mengena dengan Israel sebagai perunding. Hasilnya apa yang dinamakan gagasan 1Malaysia-Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dihebahkan kepada semua. Puas kabinet menafikan semakin hebat pula pendedahan demi pendedahan.
1Malaysia=One Israel dan kini 1Indonesia pula menambah bukti perkaitan. Bagaimana mahu menunjukkan rasa benci terhadap perkara ini. Sekali lagi pendekatan demostrasi telah diambil.
Demostrasi itu pada pandanganku mempunyai beberapa tujuan :
1) menzahirkan rasa benci secara kolektif
2) menarik perhatian umum terhadap sesuatu isu
3) salah satu medium penerangan kepada isu

Kesimpulan

Demostrasi hanyalah salah satu kaedah daripada pelbagai pendekatan lain yang boleh diambil. Namun biarlah demostrasi itu dilakukan secara beretika mengikut peruntukan undang-undang. Isu yang diperjuangkan haruslah isu yang relevan dan memberi kesan langsung ke arah kebaikan dan kesejahteraan umum.

Sunday 21 March 2010

Sekitar PBAKL 2010

Alhamdulillah. Allah SWT memberikan aku kelapangan untuk berkunjung ke PWTC pada hari ini. Nak cerita panjang, badan pun dah letih berjalan. Buat masa ini biarlah gambar yang menceritakan segalanya. Insyaallah pengalaman berkunjung ke Pesta Buku edisi ke 29 ini akan dikongsi pada masa yang akan datang.

Meninjau dan membuat pertimbangan - Beli atau Tidak?

Merakam kenangan

Suasana dewan pameran

Kesimpulan di akhir perjalanan

Setelah lebih kurang enam jam berpusing-pusing di dalam PWTC, lima buku di atas menambah koleksi perpustakaan peribadiku.
1) Murabbi Cinta - Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
2) Secangkir Teh Pengubat Letih - Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
3) Sepahit Jadam - Nik Mohamad Abduh
4) Denyut Kasih Medik - Dr Farhan Hadi (Suami kepada novelis Fatimah Syarha Mohd Nordin)
5) Bahlut - novel terbaru Faisal Tehrani

Sunday 14 March 2010

Dia datang lagi

Assalamualaikum WBT,

Alhamdulillah, lega!! Setelah lebih kurang dua minggu aku bekerja di luar (site survey) ke Pahang dan Kelantan, akhirnya aku kembali ke Bandar Baru Bangi. Banyak pengalaman baru yang aku perolehi sepanjang perjalanan tempoh hari. Insyaallah akan aku coretkan nanti.

Sedar atau sedar, sudah setahun Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 berlalu. Kini edisi 2010 pula kembali. Aku sudah pun teruja lebih awal untuk menghadiri pesta kali ini walaupun ianya hanya akan bermula pada 19 Mac ini sehingga 28 Mac. Tempat pesta seperti biasa-Pusat Dagangan Duni Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Dalam edisi kali ini sekali lagi Ustaz Hasrizal akan melancarkan dua buku terbaru beliau-Murobbi Cinta yang merupakan kesinambungan Aku Terima Nikahnya dan Bercinta Sampai ke Syurga serta sebuah lagi buku travelog tarbiah, Secangkir Teh Pengubat Letih yang khabarnya akan merakamkan kisah kembara beliau ke Turki semasa zaman pengajiannya dahulu.

Dalam kesempatan ini aku ingin mengajak semua pengunjung taman ini untuk bersama-sama meluangkan masa untuk ke PWTC untuk memeriahkan lagi PBAKL 2010. Sungguh besar maknanya pesta seperti ini yang diadakan hanya sekali dalam setahun bagi seluruh peminat buku di Malaysia.

Thursday 25 February 2010

Dua peristiwa Satu Kesimpulan

Assalamualaikum WBT,

Dalam kesibukan melakukan tugas sebagai pelajar praktikal, aku akui sukar untuk mencari ruang menulis di blog. Semasa masih bergelar mahasiswa, apabila aku amati kembali kebanyakan tulisanku diterbitkan pada waktu senggang samada pagi atau petang. Apabila masuk ke alam praktikal, masa senggang hanyalah selepas waktu isya'. Ditambah dengan kepenatan bekerja pada siang hari, perasaan untuk menulis selalunya dikikis oleh 'pujuk rayu' bantal dan tilam lantas mematikan hasrat jari untuk menari di papan kekunci.

Ketajaman daya fikir dan analisis serta kelincahan menyusun bahasa sedikit demi sedikit terhakis kesan daripada faktor-faktor yang disebutkan. Namun idea yang sudah lama bersarang dalam kotak pemikiranku harus dicoretkan supaya ia dapat didokumentasikan untuk rujukan akan datang.

Fokus perbincangan

Heboh 1Malaysia apabila The Herald Weekly ingin menggunkan kalimah 'ekslusif' Allah dalam penerbitan mereka. Terdapat di sana ulama yang membenarkan juga yang mengharamkan. Bukan sahaja heboh di dalam negara bahkan Syeikhul Islam Yusuf Qaradhawi turut melontar 'bola' pencerahan minda. Demostrasi yang dahulunya dianggap asing telah menjadi budaya masyarakat Melayu. Pelbagai pendekatan diambil bagi menjernihkan pertanyaan di sekitar masalah ini. Nyatanya 'mercun' yang dibaling rupa-rupanya membawa kesan lebih hebat dari 'meriam besar' dalam filem Queen of Langkasuka sehingga melibatkan ramai 'anggota penyelamat' dalam proses menanganinya.

Apabila isu ini semakin reda, timbul pula budak nakal yang melemparkan 'mercun' kedua. Kali ini mercun yang dimainkan ketika hampirnya sambutan Maulidur Rasul lebih mudah ditangani. Sebab mercun kali ini adalah mercun yang sudah tamat tarikh luput. Isunya cuma berarak atau tidak berarak. Dan sekali lagi jelas demostrasi sudah teradaptasi dalam masyarakat Melayu.

Kaitan dua peristiwa

Diamati secara terperinci, daripada dua isu ini terdapat pengajaran yang tersirat di sebaliknya. Dalam pengamatanku, penyelesai bagi dua isu ini terkandung pada kata kunci ILMU dan TINDAKAN.

Yang jelasnya dua isu ini bersangkutan dengan masalah AGAMA ISLAM itu sendiri kerana Allah dan Rasulullah SAW adalah perkara yang wajib diimani oleh setiap muslim. Maka sebelum BERTINDAK, hujah berpaksikan ILMU perlu terlebih dahulu dikaji,dikumpul, dibahas dan diresolusikan. Barulah nanti TINDAKAN yang diambil sedikit sebanyak memberi penyelesaian bukannya kecelaruan.

Yang harus dikesali ketika ini ialah TINDAKAN mendahului ILMU yang menyebabkan kekusutan yang berpanjangan.

Tidak perlu lagi aku mengulas mengenai isu penggunaan kalimah Allah oleh golongan Kristian. Bagi mereka yang 'disuap' dengan ilmu mendahului 'memuntahkan' dengan tindakan sudah pasti berjumpa jalan penyelesaian. Pandanglah isu ini dari mana-mana sudut samada AKIDAH, HUKUM atau KESAN - kesemuanya telah dibahas secara ILMIAH dan semua hujah yang digali dari Al-Quran dan Sunnah sudah diKEDEPANKAN.

Sama halnya dengan isu perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul.

Biar ILMU didahulukan PENYELESAIAN diutamakan
daripada
TINDAKAN didahulukan HURU-HARA diutamakan

Di sini aku perturunkan suatu perkongsian ILMU. Dalam hal kasih kepada Rasulullah SAW, analisis Ust Johari Ad Wahab dari Pulau Pinang sangat elok untuk diperhatikan. Kata beliau, untuk menunjukkan kasih kepada Rasulullah SAW perlu dikumpul dua komponen tindakan iaitu :

1) Mencintai Rasulullah SAW dengan sebenar-benar cinta sepenuh hati nurani
2) Mengikuti tingkah-laku Rasulullah SAW dalam segenap aspek kehidupan

Beliau menjelaskan bagaimana sirah menceritakan bahawa ada dua nama besar yang hanya mengambil salah satu daripada dua komponen yang disebutkan menyebabkan mereka menjadi penghuni neraka.

Pertamnya ialah ABU JAHAL yang merupakan bapa saudara Rasulullah SAW. Saat lahirnya RAsulullah SAW beliaulah orang yang paling gembira kerana rasa kasih beliau kepada Rasulullah SAW. Namun ketika Rasulullah SAW mengajak untuk mengikuti baginda beliau enggan.

Keduanya ialah Abdullah bin Ubay bin Salul. Beliau adalah antara manusia yang bersama-sama duduk dalam perhimpunan serta bersolat dibelakang Rasulullah SAW namun di dalam hati beliau menyimpan perasaan kesumat dendam terhadap baginda.

Pemerhatian terhadap kenyataan di atas boleh dijadikan hujah ilmiah kepada masalah pembatalan perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang. Jika dengan berarak boleh melengkapkan dua komponen tersebut maka beraraklah, sebaliknya kalau perarakan hanyalah sebagai adat yang 'dipertahankan' dari generasi ke generasi tanpa menyemai sebesar benih pun dua komponen disebutkan maka meninggalkannnya juga tiada menimbulkan apa-apa masalah besar.

Lantas apa perlu dikecohkan tentang ada atau tiadanya perarakan. Pasti banyak lagi hujah ILMIAH yang boleh kita kumpul dan bahaskan sebelum mengambil TINDAKAN 'kurang bijak' yang akhirnya memalukan diri sendiri.

Titik noktah

Islam ditegakkan dengan hujah ILMIAH. Ayat yang pertama diturunkan sebagai bukti. IQRA = BACALAH rujuk sini. Kemudian baru ayat berikut :



Hai orang yang berkemul (berselimut) (1)

قُمْ فَأَنذِرْ

bangunlah, lalu berilah peringatan!

rujuk selengkapnya surah Al Muddaththir di sini

Kalau hanya sekadar BANGUN (baca BERTINDAK) lalu meracau/mengigau tidak tentu hala pasti menyusahkan orang di sekeliling. Jadilah mereka yang bijak yang BANGUNnya untuk MEMBACAKAN (baca MENYEBARKAN ILMU) lalu menyelesaikan masalah.

Tuesday 2 February 2010

Assalamualaikum WBT,
Alhamdulillah. Sebulan praktikal di UNITEN telah berlalu. Banyak pengalaman baru telah aku perolehi. Bukan sahaja dalam bidang kejuruteraan tetapi juga dalam bidang akademik. Waktu kosong diisi dengan menemani rakan ke makmal mekanik tanah untuk mendemostrasikan penggunaan alat kepada pelajar.
Harus aku akui, perbezaan antara alam kampus dan alam pekerjaan sangat ketara. Namun seperti yang aku selalu pesan kepada rakan-rakan lain jangan anggap ianya sebagai MASALAH tetapi jadikan ia suatu CABARAN agar diri didorong mencari PENYELESAIAN.


* Elaun pertama praktikal di UNITEN

Insyaallah ada lebih kurang 2 bulan lagi aku akan berada di sini. Dalam masa yang sama aku sedang mengintai peluang-peluang pekerjaan yang boleh aku mohon agar selepas tamat praktikal di UNITEN, alam pekerjaan yang sebenar dapat aku rasai. Doakan aku agar berjaya.

Wednesday 27 January 2010

Berkongsi Pandangan Mengenai Dakwah

sahabat: salam..klu xkeberatan nk mtk share mcm mn nk b'dkwah di tpt praktikal..syukran
13 Jan 10, 20:57

Begitulah pesanan yang aku terima melaui cbox di ‘taman’ku. Entah siapa sebenarnya individu tersebut tetapi aku sangat menghargai permintaan sebegini. Permintaan untuk mengetahui sesuatu yang boleh memberi manfaat bukan sahaja kepada pembaca umum tetapi diri yang menulis. Namun harus diakui aku bukan sebenarnya orang yang layak bagi membicarakan apa yang diminta. Terdapat ramai individu yang lebih arif di luar sana tetapi dengan meminjam kata-kata Ustaz Hasrizal, ERTI HIDUP PADA MEMBERI, diharapkan agar penjelasan dari sudut pandangku mengenai dakwah dapat dikongsi bersama.

Sebelum membincangkan tentang kaedah berdakwah yang merupakan tajuk cabang, mari kita lihat dahulu gambaran besar mengenai dakwah itu sendiri.

Dakwah berasal daripada perkataan Arab yang jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu akan diertikan sebagai mengajak atau menyeru. Mereka yang menjalankan kerja dakwah akan digelar sebagai da’i manakala golongan sasarnya dikenali sebagai mad’u.

serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.
Surah An-Nahl ayat 125

Ayat di atas bermula dengan kalimah ادْعُ yang bereti SERULAH atau boleh juga kita ertikan sebagai berDAKWAHlah. Dakwah ialah suatu proses yang memerlukan hubungkait antara elemen agar ianya sempurna. Pertanyaan berikut perlu ditumbulkan :

1) Dakwah tanggungjawab siapa?
2) Apa isi kandungan yang patut didakwahkan?
3) Bagaimana kaedah dakwah perlu dilakukan?

Ketiga-tiga pertanyaan tersebut telah lengkap dijawab oleh ayat ini.

1) Dakwah adalah tanggungjawab antara manusia sesama manusia. Mana mungkin manusia boleh menerima nasihat daripada bintang dan mana mungkin manusia boleh menasihatkan seekor binatang. Sebab itulah Allah SWT mengutuskan Nabi dan Rasul dari kalangan manusia bagi menyandang jawatan besar ini. Oleh sebab itu kerja dakwah ini menjadi mulia. Secara tidak langsung orang yang melakukan kerja dakwah juga adalah orang yang mulia.

2) Bagi menjawab soalan kedua, ayat tersebut memberitahu supaya ke ‘jalan Tuhanmu’ yang sepatutnya kita seru. Sama seperti di dalam surah Al-Fatihah ayat 6 yang bermaksud “Tunjukilah kami jalan yang lurus”. Terjemahan jalan di sini adalah lambang kepada perlunya hidup manusia itu dipandu di atas suatu panduan yang jelas. Inilah kurikulum atau silibus yang perlu dikedepankan apabila berdakwah. Kurikulum Allah melalui kitab Al-Quran serta pengajaran dari Nabi Muhammad SAW samada perkataannya, perbuatannya atau ikrarnya yang kita simpulkan sebagai hadis atau sunnah. Oleh yang demikian, ilmu untuk menyeru ke arah ‘jalan Tuhanmu’ perlu dipelajari terlebih dahulu.

3) Jawapan kepada soalan terakhir ialah dakwah hendaklah disampaikan dalam keadaan berhikmah. Hikmah tidak boleh disamakan dengan baik/ lemah-lembut kerana kadangkala dakwah perlu disampaikan dalam keadaan keras/kasar. Ianya bergantung kepada faktor sekeliling. Samada menyampaikan dengan baik/lemah-lembut atau keras itu adalah hikmah.

Setelah persoalan di atas telah dijawab, kini mari tumpukan kepada persoalan kaedah (uslub) dakwah pula. Dalam menghadapi persoalan kaedah, kepentingan yang perlu dikedepankan ialah apa matlamat yang ingin kita capai dari dakwah yang dijalankan. Semakin besar matlamat akhir kita maka makin banyak kerja yang perlu dilakukan. Ianya seumpama membina sebuah rumah. Jika yang diimpikan ialah sebuah rumah banglo maka bahan yang diperlukan makin banyak, kosnya akan menjadi makin tinggi dan memakan masa yang lama untuk disiapkan. Sebaliknya jika hanya rumah teres yang menjadi impian, maka kuranglah serba-serbinya dibandingkan daripada banglo itu tadi.

Tidak semstinya anda meletakkan hanya satu matlamat akhir. Matlamat ini boleh disusun secara berperingkat. Mungkin matlamat jangka pendek, sederhana dan panjang sebagai contoh. Lalu apabila matlamat telah dikenalpasti maka mudahlah untuk strategi disusun.

Namun suka aku ingatkan bahawa sebelum meletakkan matlamat dalam kerja besar seumpama dakwah ini, diri perlu dipersiapkan dengan satu ‘perkakas’@ tool yang cukup penting yang aku namakan sebagai kemahiran menganalisis persekitaran. Persekitaran di sini termasuklah komponen manusia yang menjadi sasaran dakwah, budaya mereka, kehidupan sosial mereka, tahap pendidikan mereka dan perkara-perkara lain yang boleh menjadi kayu pengukur terhadap kaedah dakwah yang bakal dilakukan. Atau dalam kata lainnya anda perlu melakukan sedikit ‘kerja rumah’ terhadap persekitaran anda. Ini bagi mengelakkan timbulnya nanti masalah di dalam proses kerana kesilapan memilih kaedah hasil dari kurangnya pemahaman kita terhadap persekitaran dakwah.

Komponen yang terpenting dalam dakwah ialah manusia itu sendiri. Manusia hanya ada dua pilihan-MEMPENGARUHI atau DIPENGARUHI. Yang jelas selalunya manusia itu sering DIPENGARUHI daripada MEMPENGARUHI.

Saiful Islam pernah menceritakan bagaimana terdapat sebahagian daripada masyarakat yang sering menjadikan keadaan sekeliling sebagai punca maslah mereka.

“Aku mencarut (menggunakan perkataan tidak sopan) ni sebab aku orang Melaka”
“Kalau cuaca mendung macam ni memang aku jadi pemalas”
“Aku tak dapat jawab soalan peperiksaan tadi sebab dewan tu sejuk sangat. Beku otak aku”

Itulah antara sebahagian dialog yang pernah dituturkan. Maka atas kapasiti manusia mudah dipengaruhi oleh sesuatu, maka pendakwah hendaklan mempersiapkan diri mereka sebagai bahagian yang MEMPENGARUHI. Perkasakan kemahiran berkomunikasi, semaikan sifat peramah, ambil tahu, berbudi bahasa dan perbaiki akhlak agar ianya dapat MEMPENGARUHI orang lain. Untuk mengukue sejauh mana kejayaan proses mempengaruhi adalah apabila orang mula PERCAYA kepada anda. Pada ketika itu, anda akan menjadi tempat rujukan, berkongsi masalah, meminta pertolongan dan segala apa yang mereka inginkan. Anda bukan sahaja berjaya memegang jasadnya tetapi yang lebih utama ialah hatinya.

Ketika inilah anda perlu bijak menyelitkan elemen dakwah. Apabila mereka meminta nasihat, selitkan kisah-kisah motivasi acuan sirah, sejukkan hati mereka dengan nyanyian zikrullah dan kuatkan semangat mereka dengan falsafah jihad.

Tetapi dalam proses berdakwah itu jangan jadi seperti lilin. Itu nasihat Saiful Islam. Lilin itu sifatnya menerangi orang lain dengan cara dirinya sendiri terbakar. Sebaliknya anda perlulah menjadi seperti pelita. Bukan sahaja dirinya menerangi orang lain dan ia tidak terbakar, malahan untuk sentiasa menerangi minyak tanah perlu selalu diisi. Rujuk di sini. Falsafahnya adalah dalam menasihati orang lain jangan lupa untuk diri sendiri dinasihati. Dalam memberikan ilmu kepada orang lain jangan lupa diri sendiri juga perlu ditambah ilmunya.

Aku ingin menamatkan perkongsian hanya setakat ini. Memang banyak lagi sebanarnya yang perlu dikupas bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang dakwah. Penyampaian dua hala (ceramah, diskusi) sepatutnya menjadi program terbaik namun tidak ada salahnya penyampaian melalui tulisan mengambil alih. Cuma penulisan adalah berbentuk ‘emosionless’. Kurang bisa dan sengatnya juga mungkin salah pentafsiran daripada pembaca.

Moga perkongsian ini bermanfaat untuk anda dan saya.

Sunday 17 January 2010

Yang pertama di 2010

Latihan Industri
Sudah genap dua minggu aku menjalani latihan industri di Universiti Tenaga Nasional, Bangi. Aku ditempatkan di bahagian projek di bawah Pusat Pengurusan Geohazard (Geohazard Management Centre). Dua minggu pertama berjalan dengan lancar. Mudah untuk aku bersosial dengan rakan-rakan di pusat ini kerana kebanyakan mereka adalah dalam lingkungan umur yang sama. Terdapat lebih kurang 12 orang pekerja yang terdiri daripada Pembantu Penyelidik Graduan, Pembantu Penyelidik, Jurutera Penyelidik dan Pegawai Penyelidik. Pusat ini diketuai oleh Dr Rahayu Bte Omar, memfokuskan kajian mengenai tanah (geoteknik) menggunakan kaedah geofizik. Kepada rakan-rakan yang mengambil jurusan kejuruteraan awam pasti biasa mendengar kaedah ini terutamaya dalam subjek geologi, geoteknik dan kejuruteraan asas. Waktu kerja macam pejabat lain-bermula 8 pagi hingga 5.15 petang namun apa yang menarik ialah aku bekerja dalam suasana seperti di kampus dahulu. Ini kerana aku dikelilingi oleh para pelajar Uniten sehinggakan kehadiranku sebagai pelajar yang sedang menjalani latihan industri tidaklah terlalu menonjol.

Ketika Cinta Bertasbih 2
Jumaat lepas aku menerima SMS daripada Asyraf. Katanya filem Ketika Cinta Bertasbih @ KCB episod 2 sudah boleh dimuat turun melalui internet. Aku yang sememangnya telah lama menanti untuk menonton sambungan kisah Khairul Azam dalam KCB episod 1 menjadi teruja. Pulang dari Uniten, aku melayari laman web untuk membuktikan kesahihan maklumat Asyraf. Memang benar, KCB 2 telah sedia untuk di muat turun. Ada juga di kalangan rakan-rakan yang memaklumkan bahawa filem ini juga boleh ditonton melalui YouTube.

Lalu misi memuat turun filem ini dilakukan dan akhirnya aku berjaya. Ternyata menonton KCB 2 membuat aku lebih banyak bersedih berbanding episod sebelumnya. Apa tidaknya, bermula dengan pertemuan Azam dengan ibu dan adik-beradiknya, kisah hidup Anna, halangan yang ditempuhi Azam semasa mencari calon isteri dan kemuncaknya peritiwa kemalangan hingga membawa kepada matinya si ibu. Namun semua kesedihan itu ditutup dengan keceriaan apabila Azam dan Anna disatukan dengan pernikahan yang sah.

------------------------------------------------------------------------------------------------

Melalui kehidupan dalam suasana baru di tahun 2010 ini membuat aku runsing. Apa agaknya cerita hidupku selepas ini. Belum ada apa pun yang dapat aku bayangkan. Mungkinkah kisah hidupku seperi Khairul Azam daam filem KCB? Lulusan agama tetapi akirnya berjaya dalam perniagaan bakso cintanya? atau mungkin ada kisah lain yang perlu aku coretkan sendiri warnanya? Biar apa pun jalan ceritanya, aku berharap agar ianya akan menjadi kisah yang bermakna dalam diari kehidupanku.


Create Fake Magazine Covers with your own picture at MagMyPic.com

Tazkirah : Al-Alaq (The Clot)


اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

96:1 Proclaim! (or read!) in the name of thy Lord and Cherisher, Who created-

خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَق

96:2 Created man, out of a (mere) clot of congealed blood:

اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ

96:3 Proclaim! And thy Lord is Most Bountiful,-

الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ

96:4 He Who taught (the use of) the pen,-

عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

96:5 Taught man that which he knew not.