Cuti selama seminggu ini begitu meletihkan. Bukan letih kerana melakukan aktiviti harian seperti kebiasaan tetapi letih menghitung waktu yang berlalu. Lambakan tugasan tidak dapat diselesaikan seperti yang dijadualkan. Inilah antara penyakit yang dihadapi oleh kebanyakan mahasiswa. Apabila perkataan MAHASISWA aku ucapkan teringat rakan-rakan seperjuangan di seluruh Malaysia.
Gelaran mahasiswa bukan satu gelaran yang biasa. Gelaran ini membawa satu makna yang besar kepada yang memahami. Seperti juga gelaran-gelaran lain; Yang Berhormat, Tuan Guru, Professor dan pelbagai lagi bentuk gelaran membawa makna dan tanggungjawab tertentu. Melayari internet pada waktu sebegini memberi peluang untuk aku melayari laman web streaming seperti kelantan tv dan tv pas. Bukan tidak mahu menonton media arus perdana, mana ada siaran informatif ketika ini. Semangat ketika ini adalah melihat berita yang khusus melibatkan mahasiswa. Jika para pembaca khususnya para mahasiswa peka, banyak perkembangan mengenai mahasiswa berlaku di seluruh negara. Saya senaraikan antaranya :
1) Pelajar UiTM Berdemostrasi Bantah Kenyataan MB Selangor
2) 3,518 Mahasiswa UIAM Bantah Pemakaian Songkok Baru Konvokesyen
3) Mobilisasi 5000 mahasiswa ke Permatang Pauh
4) Helwani GAMIS serah memorandum batal konsert Avril Lavigne
5) 500 Mahasiswa gempur Parlimen
Soalan : adakah antara rakan-rakan di sini yang peka dengan berita dia atas? Secara jujur aku sangat kagum dengan keberanian rakan-rakan mahasiswa di kampus lain. Mereka berani menyuarakan suara hati mereka terhadap isu-isu yang secara langsung melibatkan mahasiswa. Inilah idea yang cuba aku lontarkan. KUASA APABILA BERKUASA.
Golongan mahasiswa bukanlah pelajar sekolah rendah atau sekolah menengah. Kemasukan mereka ke Institusi Pengaian Tinggi Awam atau Swasta sebenarnya merupakan medan latihan bagi mengasah bakat kepimpinan mereka sebagai peneraju Malaysia akan datang. Oleh yang demikian aku sangat tidak setuju apabila suara mahasiswa disekat, peranan mahasiswa sebagai penegur pemerintah dan pemimpin politik dianggap menghasut, demostrasi mahasiswa haram malah meminta penjelasan daripada pihak berkenaan dianggap sebagai menentang. Mahasiswa perlu diasah sifat kepimpinan dalam diri mereka supaya mereka tidak jumud dan duduk dalam kepompong dunia remajanya sahaja. Mereka perlu diberi latihan untuk mengkritik, membahas, menegur serta membuat keputusan demi kebaikan kampus dan rakan-rakan mahasiswa yang sama menuntut di dalamnya.
Siapa kata mahasiswa lesu? Aku tidak melihat ini sebagai satu isu besar. Mahasiswa tidak pernah lesu tetapi media arus perdana yang melesukan aktiviti mereka. Mereka tetap bergerak kerja. Lihat pada laman web seperti Mahasiswa Kini dan GAMIS daily memotivasikan diri. Jangan kata aku pembangkang hanya kerana aku menjadikan laman web seperti ini sebagai rujukan. Media arus perdana tidak menyediakan ruangan mahasiswa sebaik mereka ini.
Mahasiswa harus terbuka mindanya. Proses membaca hanyalah sebagai proses sehala. Mahasiswa matang harus memiliki proses berhala-hala (jika perkataan ini boleh digunakan). Proses menerima, membahas, menapis, memproses dan akhirnya menghasilkn output yang diterima sebagai keputusan matang.
Apabila bergelar graduan, gelaran mahasiswa akan lucut. Pada ketika ini gelaran lain akan menggantikan mereka. Pada ketika ini kuasa mahasiswa tidak lagi boleh diguna pakai. Pada ketika ini suara mereka dianggap hanya sebagai suara rakyat yang mungkin didengar atau tidak. Malangnya hidup jika bergraduan tanpa ada kenangan manis sebagai seorang MAHASISWA.
Selamat Berkonvokesyen kepada rakan-rakan!!!