Ia datang lagi

Ia datang lagi

jom hebohkan

Tuesday, 31 May 2011

Catatan Hujung Mei 2011

Alhamdulillah, selepas setahun bekerja secara kontrak di Kumpulan IKRAM Sdn Bhd akhirnya aku ditawarkan untuk menyambung khidmat di sini. Rezeki yang datang hasil kerja keras dan kesungguhan sewaktu projek pemetaan cerun di Pulau Pinang dan Bukit Kanada, Miri setahun yang lalu. Maka terbuktilah perihal kata 'man jadda wa jada' ke atas diriku ini.

Aku juga merasa amat bertuah kerana berada di dalam bidang kejuruteraan geoteknikal yang walaupun sewaktu zaman pengajian dahulu merupakan antara bidang yang dianggap susah atau pun killer subject namun kini sedikit demi sedikit aku mula menyukainya.

Pengalaman yang paling berharga sehingga saat ini adalah kesempatan untuk melawat lokasi kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-Anak Yatim At-Taqwa, batu 14, Hulu Langat. Kerana tuntutan kerja, aku berada di lokasi kejadian pada hari Ahad 22 Mei 2011 yang lalu.

Setiap kejadian yang berlaku pasti memberi sejuta tafsiran yang berbeza mengikut cara seseorang individu itu memandang perkara tersebut. Rasa simpati di atas kematian 16 orang penghuni rumah tersebut menyusup ketika berada di tempat kejadian.

Tiada siapa yang patut dipersalahkan. Dari segi kejuruteraan memang terdapat beberapa faktor penyebab terjadinya runtuhan yang dasyat ini namun jangan kita lupa bumi ini makhluk Allah SWT dan dia berhak untuk memerintahkan bumi untuk melakukan apa sahaja.

Semoga adik-adik yang terkorban dalam peristiwa ini diangkat sebagai syuhada. Anak yatim dan dalam masa yang sama menjadi pemburu ilmu wahyu. Risaukanlah bagaimana rupa kematian kita kelak. Adakah dalam keadaan husnul khatimah atau su'ul khatimah??

Tuesday, 26 April 2011

Jangan Diremehkan Perihal KATA

Benar kata pepatah “Perjalanan yang jauh bermula dari langkah yang satu”. Kebijaksanaan dalam membuat keputusan sekitar cerita kehidupan sehari-hari akan mengarah ke mana hala tuju manusia selapas itu. Namun bersandarkan kebijaksanaan sendiri semata tidak cukup kerana kurangnya suatu ilmu yang dipanggil PENGALAMAN. Menerima pandangan dari yang lebih berpengalaman bakal menjadikan suatu keputusan yang akan dibuat lebih bernilai dan bermakna lebih-lebih lagi jika pandangan itu datang dari mereka yang berkuasa untuk mencorak hidup kita.

Andaikan anda berada pada situasi ini : seorang budak cemerlang lepasan sekolah rendah bercita-cita ingin menjadi seorang ahli dalam bidang teknologi. Mengikut resminya pastilah sekolah aliran sains dan teknologi harus didatangi. Namun perancangan ibunya tidak selari.

“ibu mahu kau ke sekolah pondok”.

Bagaimana perasaan anda ketika itu?

Inspirasi Kata-Kata Hikmah

Walau pepatah inggeris ada menyebut “Action Talk Louder Than Word” tetapi jangan dinafikan bahawa “Word Will Determine Your Action”. Kuasa PERKATAAN adalah kuasa yang tidak boleh diremehkan. Bahkan kadang-kadang perkataan boleh dianggap mantera sakti yang menyembuhkan. Lalu manusia boleh terinspirasi oleh sebuah rangkaian perkataan seterusnya mengubah dalam bentuk tindakan.

- man jadda wajada -
Siapa yang bersungguh-sungguh pasti berjaya

Kata-kata pertama yang didengar oleh seorang anak muda kampungan ketika memulai alam baru persekolahan di sebuah pesantren (sekolah agama). Lagak gaya seorang ustaz yang lari dari kebiasaan penampilan, berkemeja, seluar slack dan bertali leher membunuh bayangan tradisi penampilan jubah dan serban putih seperti yang dibayangkan. Jauh... Sesungguhnya jauh dari bayangan asalnya terhadap sekolah agama yang biasanya dikhabarkan mundur, sekolah kelas kedua, tempat himpunan pelajar bermasalah dan pandangan-pandangan negatif lain yang bersangkutan dengannya.

Belajar berkongsi pengalaman

Jadikanlah diri anda sebagai PENCERITA atau PEMBACA/PENDENGAR pengalaman. Anda mungkin boleh menginspirasi atau terinspirasi oleh pengalaman. Tidak semua orang boleh bersetuju dengan pendapat ini tetapi aku tergolong di dalam golongan pencinta pengalaman. Atas maksud itulah aku mengesyorkan supaya novel berikut menjadi bacaan kalian.

Mengabdikan pengalaman sendiri di dalam bentuk novel mungkin menjadi gaya kebanyakan penulis masa kini. Namun tidak semua berjaya untuk menginspirasi pengalaman mereka kepada orang lain tetapi tidak bagi novel ini. Bertemu dengan penulis, Ahmad Fuadi, dalam sesi bual santai pada slot kuliah subuh di surau an-nur pagi ahad yang lalu menjadikan aku jatuh cinta untuk meneroka novel trilogi karya penulis muda Indonesia ini.

Bagi menyemarakkan lagi tradisi ilmu dan budaya membaca khususnya bagi golongan muda, juga dengan kedatangan Pesta Buku Antarabangsa kali ke-30 di PWTC tahun ini, aku ingin mengajak kalian meneruskan tradisi keilmuan dengan memeriahkan pesta buku tahun ini. Secar peribadi aku telah Berjaya untuk menghadiri pesta buku bagi tahun 2009 dan 2010 dan Insyaallah peluang yang datang tahun ini tidak akan aku lepaskan.


Mungkin aku juga sudah mula diresapi roh - man jadda wajada -

Monday, 10 January 2011

Hikmah Kembara Episod 1

Assalamualaikum WBT,

Sudah agak lama aku menyepi dari dunia blog. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa aku sudah bosan dengan dunia penulisan. Nanti dulu, jangan terlalu awal membuat kesimpulan. Aku sebenarnya TAHU dan MAHU tetapi perubahan persekitaran membuatkan aku tidak MAMPU.

TAHU bahawa dunia penulisan merupakan antara medium paling efektif untuk berkongsi maklumat dengan orang ramai.

MAHU mengulas banyak isu yang berlaku di sekeliling serta berkongsi pengalaman baru.

Tetapi tidak MAMPU kerana kekangan masa.

Mungkin inilah antara cabaran bagi golongan yang bekerjaya lebih-lebih lagi memilih untuk bekerja dalam bidang kejuruteraan. Masa terpaksa ditumpukan sepenuhnya terhadap projek yang dijalankan. Jika berlaku kelewatan daripada apa yang dirancang akibatnya ‘masa tambahan’ harus diluangkan di pejabat.

Oleh kerana sudah hampir enam bulan tidak berkongsi cerita biarlah kesempatan ini digunakan bagi aku menceritakan kembali apa yang aku lalui sepanjang enam bulan yang lepas. Jika tidak memberi manfaat kepada para pembaca biarlah sekurang-kurangnya kisah ini dapat disimpan seumpama catatan di dalam diari peribadi.

PERTENGAHAN JUN

Jun 2010 merupakan bulan yang bermakna dalam hidup kerana aku akhirnya berjaya mendapatkan kerja pertama setelah tamat pengajian. Alhamduillah permohonan aku untuk bekerja dengan Kumpulan IKRAM Sdn Bhd telah diterima. Tarikh 15 Jun 2010 akan menjadi satu lagi tarikh istimewa dalam pengembaraan hidup. Walaupun perjanjian hanyalah sebagai pekerja kontrak itu tidak menjadi isu besar kerana pekerjaan tetap bukanlah matlamat aku ketika itu. Yang lebih penting adalah memulakan kehidupan tanpa perlu lagi bergantung kepada kewangan sumbangan keluarga. Aku diserap masuk ke dalam Projek Kajian Risiko dan Bahaya Cerun di Pulau Pinang dan Miri, Sarawak. Ini bermakna aku akan menetap di Pulau Pinang sepanjang tempoh projek (setahun). Sesuai dengan jiwa kembaraku, peluang seperti ini menjadikan aku makin teruja. Selain aku seramai 29 lagi pekerja baru turut diambil bagi melengkapkan pasukan kajian projek.Sebelum dihantar ke Pulau Pinang aku dan rakan-rakan telah mejalani sedikit latihan bagi membiasakan diri dengan skop tugas yang bakal kami jalankan nanti. Kami telah dibawa ke lapangan (site) di Ampang. Permulaan yang kekok tetapi seronok.

JULAI

Aku dan beberapa staff projek bertolak ke Pulau Pinang. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang lima jam melalui Lebuhraya Utara-Selatan sememangnya meletihkan. Melalui Jambatan Pulau Pinang untuk kali kedua selepas melaluinya buat pertama kali sekitar tahun 2007 lalu sedikit sebanyak menghilangkan lelah perjalanan. Inilah jambatan yang akan aku lalui buat kali ketiga, keempat dan seterusnya selepas ini untuk aku berulang-alik dari Pulau Pinang ke Bandar Baru Bangi.

Keesokan harinya aku melapor diri di pejabat tapak yang terletak di Sungai Tiram. Beberapa perkara harus dipersiapkan di pejabat sebelum ianya boleh beroperasi sepenuhnya. Masa yang ada tidak harus dipersiakan. Oleh yang demikian kami sekali lagi diminta untuk membuat latihan tinjauan tapak atau biasa kami sebut sebagai ‘mapping’. Kami diberikan satu kawasan mengikut kumpulan dan diminta meninjau cerun atau struktur tembok yang ada dalam kawasan tersebut. Hasil daripada latihan sewaktu di Ampang dulu, tinjauan kali ini tidak mendatangkan banyak masalah kerana kami sudah mula membiasakan diri.

OGOS

Pejabat tapak secara rasminya mula beroperasi. Selepas mesyuarat pertama antara pihak JKR Cawangan Cerun dengan Kumpulan IKRAM Sdn Bhd, satu majlis perasmian telah diadakan. Walapun majlis serba ringkas tetapi ia tetap meriah. Kebetulan bulan Ogos adalah musim buah-buahan, kami telah disajikan dengan pelbagai jenis buah antaranya rambutan, pisang dan yang paling istimewa - durian. Bukan setakat durian biasa, aku baru mengetahui bahawa ada suatu jenis durian yang hanya terdapat di Pulau Pinang. Orang tempatan memanggilnya durian ‘ah heng’ yang bermaksud kemerah-merahan.

bersambung....

Sunday, 29 August 2010

Ini cerita baru

Assalamualaikum WBT dan Salam Ramadhan,

Memang agak lama aku menyepikan diri dari alam penulisan. Faktor persekitaran yang sudah berubah mungkin boleh dijadikan alasan. Apa pun penyebabnya percayalah aku sebenarnya masih bersemangat untuk menulis. Cuma ruang dan peluang itu yang menjadi kekangan. Mungkin ada pengunjung yang tertanya-tanya ke mana aku menghilangkan diri. Dua bulan lamanya 'taman' ini sepi. Biarlah artikel ini mengubat rindu kalian dengan sedikit coretan PENGALAMAN selama dua bulan aku mengalami proses perpindahan fasa ini.

Menamatkan pengajian sekitar bulan Mac 2010 merupakan suatu saat yang sangat menyeronokkan. Apa tidaknya tiga tahun mengharungi detik suka, duka dan kepayahan di alam pengajian kini telah berakhir. Semua PENGALAMAN itu akan tetap menjadi memori indah yang akan terus disimpan.

Langkah seterusnya sudah tentu memikirkan apakah nasib di alam pekerjaan. Bukan tidak mahu menyambung ke peringkat pengajian yang lebih tinggi. Demi mendapat secebis PENGALAMAN aku membuat keputusan untuk melangkah ke alam pekerjaan. Setiap iklan yang sesuai dengan kelayakan aku mohon. Apa sahaja bidang yang aku rasakan sesuai menjadi perhatian. Karnival kerjaya aku kunjungi. Semuanya atas dasar usaha mencari tempat dalam alam pekerjaan.

Namun bak pepatah dalam lagu, penantian itu suatu penyiksaan. Aku terus menunggu dan menunggu panggilan majikan. Sebulan, dua bulan.......

Alhamdulillah akhirnya penantian membuahkan harapan. Panggilan temuduga petang itu menjadi titik tolak kepada sebuah harapan demi PENGALAMAN. Aku diterima bekerja untuk satu projek di Pulau Pinang. Kontrak setahun diikat antara aku dengan syarikat. Biarpun hanya secara kontrak aku tidak kisah kerana bukan pekerjaan tetap tetapi PENGALAMAN yang aku utamakan.

16 Jun 2010 secara rasmi aku melapor diri di ibu pejabat di Serdang. Mungkin kerana pernah menjalani Latihan Industri hari pertama tidak menjadi kejutan. Ini semua disebabkan PENGALAMAN.

1 Julai 2010 aku beserta beberapa orang teman berangkat ke Pulau Pinang. Bayan Lepas secara khususnya. Sesuai dengan jiwa kembaraku setiap tempat asing menjadi suatu keghairahan. Bagaimana orangnya? bagaimana budayanya? semua itu persoalan yang aku sendiri harus mencari jawapan.


Skop tugas aku sangat banyak tetapi dilakukan secara berperingkat.
Peringkat 1 : Proses Mengumpul Data dan Mengisi Borang
Peringkat 2 : Membuat Lakaran Cerun
Peringkat 3 : Melukis Bentuk Cerun pada Peta
Peringkat 4 : Menyediakan Slaid P.Point untuk Pembentangan
Peringkat 5 : Memasukkan Data ke Dalam Sistem
Peringkat 6 : Proses Menambahbaik Sebelum Data Diluluskan


Pengurusan masa adalah suatu yang sangat perlu diberi perhatian. Jangka masa projek yang hanya memakan masa setahun dibandingkan dengan jumlah cerun yang perlu direkodkan memaksa suatu mekanisma pengurusan masa yang sangat teliti. Namun PENGALAMAN menyelamatkan aku setakat ini. Semasa di alam pengajian aku aku telah membiasakan diri melakukan pelbagai kerja dalam masa yang mendesak. Menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan, kerja organisasi, aktiviti sini dan situ menjadi rutin aku sebagai mahasiswa dahulu.

Selain aku ada 28 orang lagi graduan yang baru menamatkan pengajian terlibat dengan projek ini. Mereka juga menjalankan skop tugas yang sama denganku. Mereka datang dari pelbagai IPT awam dan swasta. Sepanjang pemerhatian, aku sangat tidak bersetuju dengan cara mereka bekerja. Walaupun memiliki ijazah daripada universiti terkemuka dalam negara namun personaliti mereka menampilakan refleksi sebaliknya.

PENGALAMAN aku berinteraksi dengan ramai orang ketika di alam pengajian membantu aku mengenali watak manusia dengan singkat. Personaliti dan pembawakan 28 orang lagi rakan sekerjaku dapat aku tangkap dengan mudah. Tidak keterlaluan jika aku katakan aku boleh meneka watak mereka ketika di alam kampus dahulu. Manakan tidak dengan tekanan kerja yang sedemikian mereka masih boleh berehat dan tidur ketika waktu bekerja!!!

Bagi menutup artikel kali ini aku ingin menasihatkan kepada rakan-rakan yang sedang menuntut di alam pengajian gunakan masa anda di kampus untuk meraih sejuta PENGALAMAN yang berharga. Mungkin ada yang akan berpandangan sinis bahawa kerja yang anda lakukan adalah di luar bidang anda sebagai seorang mahasiswa tetapi percayalah bahawa PENGALAMAN itulah suatu hari nanti akan membantu dalam menghadapi kehidupan yang kita sendiri belum tahu hujung pangkalnya.

Tidak ada harta yang dapat membeli sebuah PENGALAMAN maka raihlah ia ketika anda mampu berbuat demikian.

Monday, 14 June 2010

Kitaran Hidup

Kebanyakan individu terutamanya bagi yang bekerja sudah pasti ternanti-nanti kehadiran hujung minggu. Bagi mereka inilah masa emas yang harus dimanfaatkan untuk berehat bersama rakan-rakan dan keluarga. Namun sejak kebelakangan ini corak masyarakat telah berubah terutamanya di bandar yang mana mereka menggunakan peluang hujung minggu tersebut sebagai masa untuk mengadakan majlis samada akikah, walimah, kenduri kesyukuran dan sebagainya. Kemampuan orang bandar untuk menyewa khemah dan menggunakan khidmat katering menyumbang kepada faktor berlakunya peristiwa ini.

Sesuatu majlis itu tidak akan berjaya hanya kerana penganjur tetapi tetamu turut memainkan peranan. Mana mungkin sesuatu majlis itu dianggap berjaya jika tiada tetamu yang hadir sebagai penyeri majlis. Rasulullah SAW juga berpesan kepada kita, PENUHILAH UNDANGAN JIKA KAMU DIJEMPUT. Menyahut seruan itu pada hujung minggu yang lalu, aku telah menghadiri beberapa majlis yang diadakan di Negeri Sembilan dan sekitar Bangi.

Sabtu - 12 Jun 2010

Trut...truttt.....Nama Hasri Serdang tertera pada skrin telefon. Pantas butang hijau pada telefon ditekan tanda menyambut panggilan.

"Assalamualaikum wbt, Firdaus ada di mana? Jom ke Rembau", Hasri melontarkan hasrat.
"Waalaikumsalam wbt, boleh juga. Nak tunggu di mana?", hasrat bersambut.
"Tunggu di rumah. Nanti ana datang ambil".

Sebuah kereta Honda berwarna biru masuk ke kawasan rumah. Kelihatan satu susuk tubuh di dalam kereta. Aku cukup pasti itu Hasri, senior ketika menuntut di universiti dulu. Selepas menjemput aku, kami menuju ke stesen komuter UKM untuk menjemput Sar Imran yang sudah berjanji dengan Hasri untuk turut serta.

Perjalanan ke rumah pengantin tidak berapa sukar. Lebuhraya Utara-Selatan menjadi pilihan. Keluar ke Simpang Ampat lalu menuju ke pekan Rembau. Dalam pukul 3.00 petang kami sudah berada di sana.


Majlis diadakan sederhana tetapi meriah. Pasangan pengantin merupakan senior kami semasa di universiti dulu. Kepada pasangan JOHAN@JOE dan IZZATUL : Barakallah hu lakuma, Wa Baraka Alaikuma....


Belakang dari kiri : Hasri, Joe, Hannan
Depan dari kiri : Sar Imran, Hanafiah dan Sairudin


Dalam masa yang sama majlis walimah seperti ini menjadi medan untuk bertemu senior-senior yang lain seperti Abang Sairudin, Hannan dan Hanafiah beserta isteri dan anak masing-masing. Mendengar cerita dan pengalaman mereka terasa jauh lagi perjalanan hidup yang harus aku lalui. Mereka telah memasuki fasa lain dalam hidup sedangkan aku baru mula bertatih setelah menamatkan alam pengajian.

Apa yang lebih menarik, perjalanan kami ke Rembau ini menghadirkan peluang untuk kami bertemu dengan Zulkarnain, seorang lagi rakan lama yang kini bertugas sebagai guru di Sekolah Agama Yayasan Sofa, Rembau. Setelah menamatkan pengajian beliau mengambil peluang mengajar sementara di sekolah ini sebelum diserap menjadi guru tetap. Begitulah warna dan corak hidup manusia. Masing-masing sudah tersedia rezeki oleh Allah SWT.


Ahad - 13 Jun 2010

Satu jemputan untuk menghadiri majlis akikah diterima oleh ayahku sejak minggu lepas. Pukul 11.00 pagi majlis tersebut dijadualkan untuk bermula.

Sebelum ke majlis tersebut tanpa diduga satu panggilan diterima daripada pengerusi surau kariah kami memaklumkan tentang kematian adik kepada seorang ustaz yang selalu mengisi ruang kuliah di surau kami. Beliau memaklumkan jenazah akan diuruskan dan disolatkan pada jam 3.00 petang.

Memenuhi saranan Rasulullah SAW, sekali lagi kami sekeluarga ke majlis akikah pada sebelah pagi seterusnya menghadiri acara pengurusan jenazah di sebelah petang.

Kesimpulan Hujung Minggu

Balik dari ketiga-tiga majlis, baru aku sedar bahawa kesemua majlis itu merupakan sebahagian daripada kitaran hidup seseorang manusia. Kita bermula dengan dua pasangan manusia iaitu Adam dan Hawa, berkahwin dan dikurnikan cahaya mata. Hidup di dunia dalam jangka masa tertentu seterusnya diakhiri dengan kematian untuk berpindah ke alam yang kekal abadi.

Berakhirnya satu lagi hujung minggu bagiku...

Thursday, 10 June 2010

Cerita 5 babak

"Assalamualaikum. Firdaus dah kerja dah?" sapa jiran yang ku kenali sebagai Ejan. Ketika itu aku baru selesai menunaikan solat asar.

"Waalaikumsalam. Permohonan kerja dah banyak isi tapi belum ada yang panggil temuduga", jawabku jujur dan bersahaja.

"Ada tempat nak 'guna orang'. Boleh la cuba minta. Siapkan resume lepas tu call nombor ni", Ejan memberitahu tanpa diminta. Dalam masa yang sama nombor telefon bertukar tangan.

"Terima kasih. Nanti aku cuba...."

TAMAT BABAK 1

Isnin-17 Mei 2010

"Assalamualaikum, ni Encik Azmawi ke?"

"Waalaikumsalam, ye saya. Siapa ni?"

Setelah memperkenalkan diri aku pun menyatakan tujuan menelefon beliau. Tidak sukar untuk beliau menangkap maksud yang ingin aku sampaikan.

"Buat cover letter dengan resume esok datang pejabat hantar kepada Cik Basirah", arah Azmawi di hujung perbualan.

TAMAT BABAK 2

"Assalamualaikum. Ini Basirah bercakap. Petang esok boleh tak awak datang ke pejabat untuk sesi temuduga", laung suara di hujung talian.

"Waalaikumsalam. Insyaallah. Pukul berapa? Di mana tempatnya?", lontaran soalan untuk aku mendapat kepastian.

Setelah mendapat segala butiran dan menyatakan persetujuan talian diputuskan.

TAMAT BABAK 3

"Sila perkenalkan diri".

"Nama saya sekian, sekian. Umur sekian,sekian. Pendidikan sekian, sekian dan seterusnya..."

"Ok semua bagus. Awak boleh bekerja di luar kawasan? Saya tak memaksa awak untuk menjawab dengan segera tetapi jawapan awak boleh mempengaruhi keputusan temuduga ini", suatu soalan yang agak mengejutkan.

"Boleh", aku menjawab setelah berfikir seminit dua. Apa salahnya mencari pengalaman mengembara ke tempat orang. Itulah kata hati ketika itu.

"Kalau begitu awak lengkapkan borang ini sekarang juga supaya esok saya dapat hantar ke bahagian pentadbiran untuk diproses", arahan spontan menuntut pelaksanaan.

"Secepat itu", fikirku di dalam hati. Tanpa bangkangan tangan menari mengisi butiran.

POSITION : ........................??
EXPECTED SALARY : ...................??
Antara butiran yang perlu diisi di dalam borang.

Aku kebingungan. Bantuan Cik Basirah sangat berguna di saat begini. Meminta pertolongan daripada yang tahu.

TAMAT BABAK 4

"Hello. Encik Firdaus. Saya Ayu dari Bahagian Pentadbiran. Boleh tak awak datang ke pejabat pentadbiran petang ni untuk selesaikan beberapa urusan".

"OK. Pukul 3.30 saya akan ke sana".

Tiba di tempat dijanjikan, sepucuk surat telah bertukar tangan. Ku buka lalu di baca. Arahan untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

TAMAT BABAK 5

Prosedur demi prosedur. Akhirnya sepucuk surat lain aku terima selepas laporan pemeriksaan aku serahkan kepada Kak Ayu.

Pantas ku buka. Baca.

Alhamdulillah. Sudah pasti anda dapat meneka.......


Ahli sunnah wal Jamaah berpegang kepada kaedah bahawa kita sebagai
manusia harus berusaha tetapi yang meluluskan usaha tersebut adalah Allah SWT

- Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri-

Sunday, 16 May 2010

Semalam aku telah berjaya ke Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) di PWTC, Kuala Lumpur. Maklumlah belum ada syarikat yang sudi untuk memanggil aku bekerja dengan mereka. Jadi perlu ada sedikit usaha untuk memasarkan diri sendiri.

Jujurnya memang ada sedikit tekanan apabila belum mendapat kerja. Maklum sahaja ada yang sudah mula bising. Namun dalam tekanan itu aku tidak menyangka bahawa sebenarnya kerjaya sebagai seorang Jurutera Awam dikategorikan sebagai kerja yang berpendapatan tinggi tetapi kurang tekanan kerja. Berikut adalah buktinya :

5 High-Paying, Low-Stress Jobs
klik untuk bacaan lanjut

1) Physical Therapist

2) Computer Software Engineer

3) Civil Engineer

Civil engineers design and build our nation's infrastructure, from public buildings and roads to water supply and pollution control systems. Obviously, these projects aren't pressure-free, but civil engineers generally work in teams, which helps alleviate some of the stress. As a bonus, these experts also enjoy long deadlines. As a matter of fact, most engineers have a few years to design and plan out a project before the construction company even breaks ground.

Even less stressful? Civil engineers don't have to work too hard to hunt down jobs. According to the Bureau of Labor Statistics, civil engineers are expected to see a 24% spike in employment growth over the next 10 years - well above average for all U.S. occupations. Civil engineers bring home a respectable $50,000-115,000 a year.

4) Massage Therapist

5) Technical Writer

Walau apapun aku masih juga tertekan selagi belum mendapat kerja. Aku mensasarkan supaya sebelum majlis konvokesyen nanti sekurang-kurangnya aku sedah mempunyai kerja walaupun ianya secara kontrak ataupun tidak bersesuaian dengan bidang kejuruteraan. Doa-doakanlah ye....


Create Fake Magazine Covers with your own picture at MagMyPic.com

Tazkirah : Al-Alaq (The Clot)


اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

96:1 Proclaim! (or read!) in the name of thy Lord and Cherisher, Who created-

خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَق

96:2 Created man, out of a (mere) clot of congealed blood:

اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ

96:3 Proclaim! And thy Lord is Most Bountiful,-

الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ

96:4 He Who taught (the use of) the pen,-

عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

96:5 Taught man that which he knew not.