Ia datang lagi

Ia datang lagi

jom hebohkan

Tuesday 28 April 2009

Catatan Perjalanan II

Seperti yang aku janjikan, kali ini aku akan cuba sedikit sebanyak mengulas pengalaman kali pertama ke Pesta Buku Antarabangsa KL 09 baru-baru ini.

Kami memulakan kembara dari Parit Raja bermula seawal jam 7 pagi. Bersarapan di Jentayu selama setengah jam sebelum meneruskan perjalanan menggunkan Lebuhraya Utara-Selatan. Tidak banyak perkara yang dapat dilakukan semasa di dalam bas kecuali bersembang atau tidur mengumpul tenaga (agaknya) supaya tidak penat semasa berjalan sepanjang hari di dalam bangunan PWTC nanti. Jam 11 pagi kami selamat tiba di PWTC. Alhamdulillah...

Ketua rombongan memberi sedikit taklimat sebelum melepaskan kami ke dalam pesta. Hati sebenarnya sudah berada di dalam dewan memandangkan mengikut tentatif sepatutnya ketika ini Ust Hasrizal sedang berforum di ruang utama tentang buku baru beliau-Bercinta Sampai Ke Syurga. Selesai taklimat, aku terus berjalan laju mencari pentas utama. Sempat juga mendengar forum walaupun sudah ketinggalan beberapa ketika.

Setelah forum selesai sejam kemudian, aku dan beberapa orang teman terus mencari gerai Galeri Ilmu. Inilah antara matlamat aku ke Pesta Buku kali ini, untuk mendapatkan karya terbaru Ust Hasrizal Abd Jamil. Misi pertama berjaya. Lengkap dengan tandatangan beliau.



Forum tentang Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang menampilkan Pak Samad, Faisal Tehrani dan seorang wakil kementerian pelajaran mengambil tempat di ruang utama. Sempat mengutip beberapa isi-isi penting bahawa pejuang bahasa seperti Pak Samad dan Faisal Tehrani sememangnya tidak bersetuju dengan pendekatan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik (PPSMI). Mereka berdua dengan tegas atas paksi seorang seniman masih memperjuangkan supaya PPSMI ditukar kepada keadaan asal. Ramai juga hadirin yang bersorak dan bertepuk tangan ketika mereka menyatakan pendirian masing-masing. Dalam keadaan riuh itu aku terpandang saudara Zaid Akhtar, penulis novel Salju Sakinah dan Rona Bosphorus sedang duduk di kerusi bersama hadirin lain. Mungkin ramai yang tidak perasan beliau di sana.


"Ini sudah baik", aku bermonolog sambil berjalan menghampiri beliau.

"Assalamualaikum, abang Zaid? Abang apa khabar?", aku memulakan bicara.

"Waalaikumsalam, Ya saya Zaid. Awak dari mana?", beliau menjawab dengan mesra.

Tak ku sangka beliau semesra ini. Sempat aku bertanya beberapa perkara kepada beliau dan menyatakan hasrat untuk menjemput beliau ke kampus untuk bicara tentang novel Salju Sakinah.

"Insyaallah", beliau memberi harapan.

Naik ke tingkat dua aku berkunjung ke gerai Al Ameen Publishing. Syarikat ini adalah antara syarikat yang banyak menerbitkan karya penulis kegemaran aku, Faisal Tehrani. Tidak diduga beliau ada di sana untuk melayan peminat. Peluang itu aku gunakan untuk mengambil tandatangan. Novel Tunggu Teduh Dulu menjadi kanvas coretan beliau.

Pada sebelah petang, kumpulan Raihan menguasai pentas utama melancarkan VCD animasi Raihan Rangers. Sudah pasti ramai kanak-kanak mengambil kesempatan untuk beramah dengan mereka di atas pentas. Aku pula berjalan sehingga puas di tingkat tiga melihat gerai pameran.

Jam 5 petang merupakan waktu yang paling istimewa. Penulis terkenal Indonesia yang menulis novel 'best seller' Ayat-Ayat Cinta diundang untuk mempromosikan filem terbaru yang juga diangkat dari karya beliau iaitu Ketika Cinta Bertasbih. Kedatangan beliau ditunggu-tunggu oleh ramai peminat. Bukan senang untuk bertemu dengan penulis dari jauh. Kelembutan dan keramahan beliau menjawab soalan hadirin sangat memukau. Memang gaya seorang pendakwah. Setiap butir bicara diselitkan dengan ayat Al-Quran dan hadis Nabi SAW. Secara jujur aku belum pernah membaca satu pun daripada novel karangan beliau tetapi petang itu aku telah membeli senaskah novel Ketika Cinta Bertasbih episod 1 sebagai permulaan untuk mengenali beliau serta karyanya. Acara wajib ialah sesi autograf. Sesak peminat mengerumuni meja tempat beliau duduk namun setelah bersabar sekian lama aku juga berjaya mendapat tandatangan beliau sebagai kenang-kenangan.

Catatan ini akan berakhir di sini tetapi seribu satu kenangan di Pesta Buku Antarabangsa KL 09 ini akan menjadi antara kenangan terindah sepanjang hidupku sebagai seorang mahasiswa. Mungkin di lain kali jika aku berkesempatan sekalipun untuk Pesta Buku seterusnya, mungkin ketika itu aku hadir bukan lagi sebagai mahasiswa. Tentu suasananya sudah berbeza. Kembara bersama teman-teman merupakan saat terindah yang pastinya tidak dapat dibeli dan dicari di mana-mana. Lima buah buku telah bertambah menjadi koleksi peribadi :

1) Aku Terima Nikahnya - Ust Hasrizal Abd Jamil

2) Bercinta Sampai Ke Syurga -Ust Hasrizal Abd Jamil
3) Rindu Bau Pohon Tin -Ust Hasrizal Abd Jamil
4) Novel Tunggu Teduh Dulu - Faisal Tehrani
5) Novel Ketika Cinta Bertasbih - Habiburrahman El Shirazy

Harap-harap pelaburan ilmu yang aku lakukan ini tidak menjadi suatu yang sia-sia bahkan menjadi peransang kepada diri untuk terus melakukan yang terbaik dan berterusan dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan.

Sunday 26 April 2009

Catatan Perjalanan 1

Salam peperiksaan,


Hati puas walaupun penat seharian berjalan di Pesta Buku Antarabangsa KL 09. Alhamdulillah misi KLIBF09 kali ini tercapai. Boleh dikatakan aku berjaya membeli beberapa buah novel baru seperti aku war-warkan sebelum ini dan yang lebih menggembirakan aku dapat berjumpa hampir dengan kesemua penulis kegemaran - Ust Riduan Mohd Nor, Ust Hasrizal Abd Jamil atau Saiful Islam, Faisal Tehrani, Zaid Akhtar dan penulis novel "Ayat-Ayat Cinta" dari Indonesia, Habiburrahman El-Sharazy. Dan yang paling tidak disangka-ayah, ibu dan adik kecilku turut hadir pada pameran ini. Rindu sebuah nama menjadi realiti dan ia merupakan peristiwa yang tidak disangka-sangka. Syukur padaMu ya Allah.

Bersama penulis novel Salju Sakinah-Saudara Zaid Akhtar

Memang rugi sahabat yang tidak dapat bersama pada kali ini. Maaf kalau aku terlalu berlebihan dalam hal ini namun inilah satu-satunya hobi (ketika ini dan diharapkan kekal selamanya) yang menjadi obsesi atau kegilaan anak muda ini -BUKU,BUKU dan BUKU.

Insyaallah cerita penuh tentang perjalanan harian ini akan aku tulis sedikit masa lagi. Harap anda dapat bersabar dan memberikan sedikit masa.

Aku pasti sahabat lain yang turut bersama dalam lawatan, dalam masa terdekat akan menjadikan perjalanan ini sebagai catatan peristiwa dalam blog masing-masing. Teruskan usaha kalian dalam bidang penulisan. Bagai pesanan Ust Hasrizal-istiqamah adalah kunci kepada kejayaan.

Saturday 18 April 2009

Rindu Sebuah Nama

Sudah seminggu lebih aku masih mengalami penyakit seperti mana sebelum ini - tidak dapat tidur pada waktu yang sepatutnya. Walaupun minggu ulangkaji sudah tiba, aku masih gagal memanfaatkan minggu tersebut bukan dek kerana kemalasan tetapi dek kerana kesibukan. Pada minggu inilah aku terpaksa bertungkus-lumus menyiapkan power point untuk pembentangan Projek Sarjana Muda (PSM1) pada hari Rabu lepas seterusnya power point untuk pembentangan subjek kejuruteraan asas keesokan harinya. Selesai dengan pembentangan, hari Jumaat aku gunakan seluasnya untuk mencuri sedikit tenaga sebelum meneruskan projek Rekabentuk Struktur Konkrit-Insyaallah projek terakhir yang perlu aku siapkan dalam semester ini.

Bulan April sepertimana tahun-tahun sebelumnya merupakan bulan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur @ KL Book Fest. Dan seperti mana tahun-tahun sebelumnya bulan April juga merupakan bulan aku menghadapi peperiksaan akhir semester. Keinginan untuk menjejakkan kaki ke pesta buku wujud sejak lama dahulu. Melihat buku sahaja sudah cukup mengujakan apatah lagi jika buku tersebut adalah buku terbaru karangan penulis kegemaran seperti Zaid Akhtar, Nisah Haron, Faisal Tehrani dan yang terbaru Ust Hasrizal Abd Jamil atau SaifulIslam.com. Pada kali ini Ust Hasrizal telah membuat dua kejutan dengan pelancaran dua buah buku terbaru beliau iaitu :



1) Bercinta Sampai ke Syurga -sambungan Aku Terima Nikahnya
2) Rindu Bau Pohon Tin-Travelog Tarbiah

Melihat kulit depan dua buah buku tersebut sahaja sudah membuat perasaan ini teruja, sama sepertimana pertama kali melihat buku Aku Terima Nikahnya. Aku merasakan bahawa hasil tangan Ust hasrizal adalah cukup istimewa di kala lambakan pelbagai jenis buku yang merapu di kedai. Walaupun beliau bukanlah seorang penulis profesional, pengalaman beliau ber'asimilasi' dengan penduduk negara Eropah seperti Ireland dan Turki selama lebih 11 tahun menjadi modal yang paling berharga yang secara rela beliau kongsikan bersama pembaca. Seolah-olah pembaca dapat turut merasai apa yang beliau rasa lebih-lebih lagi dalam situasi aku sebagai seorang pelajar ketika ini.

Aku berkira-kira untuk ke PWTC pada 25 April 09 ini ketika Ust Hasrizal menjadi panel dalam slot Wacana Buku. Harap buku baru beliau tidak kehabisan stok seperti mana yang berlaku kepada buku Aku Terima Nikahnya.

Buat sementara ini, aku 'mengubat rindu' dengan melayari laman maya beliau di http://saifulislam.com/. Membaca artikel kiriman terbaru beliau menyebabkan aku sayu dan menitiskan air mata. Aku lampirkan perenggan daripada artikel penuh beliau :


Kenapa Ummi Mengandung? oleh Saiful Islam

FIZIKAL, RASIONAL, EMOSIONAL

Jika difikirkan beban mengandung, bukankah lebih wajar Allah Subhanahu wa Ta’aala jadikan para suami yang mengandung. Mereka ada kekuatan fizikal. Mahu mengangkat tong gas di atas bahu kanan dan kiri pun tidak punya masalah. Sepatutnya kekuatan fizikal itu digunakan untuk memikul tugas yang berat ini… hamil dan seterusnya melahirkan anak.
Tetapi saya terkenang kepada kata-kata Imam al-Ghazzali, bahawa “lelaki diciptakan Allah 9 rasional 1 emosi dan perempuan diciptakan Allah 1 rasional 9 emosi”. Ya, kekuatan wanita itu adalah pada emosinya. Tinggi EQ!

Emosi itulah kelayakan untuk seorang manusia hamil.

Emosi untuk sabar dengan berat dan payahnya 9 bulan mengandung. Emosi untuk membelai, memberi makan kepada kandungan seperti memberi makan kepada diri sendiri. Emosi yang kerana emosi itulah, alam bayi di dalam kandungan digelar ALAM RAHIM, iaitu ‘alam kasih sayang’.

Kasih sayang yang sulit untuk ditemui dalam jiwa lelaki, biar pun fizikalnya sasa dan mentalnya berkuasa. Aduhai anak-anak, sesungguhnya engkau tidak lahir ke dunia ini, melainkan engkau pernah dipeluk kasih dan sayang seorang ‘ibu yang rahim’ di ALAM RAHIM.


“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung keletihan demi kekeletihan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)” [Luqman 31: 14]

Terkenang keluarga lebih-lebih lagi IBU di rumah. Alhamdulillah IBUku masih sihat. Baru beberapa hari yang lepas aku menghubungi beliau. Dengan kedatangan minggu peperiksaan, janganlah kita lupa untuk meminta ampun dan restu daripada keluarga terutamanya IBU yang banyak berkorban untuk kita. Untuk IBUku, doakanlah kejayaan anakmu ini. Insyaallah aku akan cuba sedaya upaya untuk membalas segala pengorbananmu selama ini. Ya Allah, bantulah aku supaya aku dapat membantu IBU dan bapaku.....

Friday 17 April 2009

Minggu Peperiksaan Datang Lagi...

Selepas hampir empat bulan bertungkus lumus menyiapkan projek, tugasan, menghadiri kuliah dan juga Projek Sarjana Muda (projek tahun akhir), kini tiba minggu terakhir yang merupakan antara minggu terpenting dalam kehidupan seorang pelajar universiti.

Seperti biasa untuk peperiksaan kali ini aku adalah antara pelajar yang terpaksa menghadapi LIMA subjek peperiksaan akhir. Memang berat. Baru selesai membentang hasil projek kepada panel penilai baru-baru ini, terpaksa pula bersedia untuk menghadapi "perang" besar yang bakal menentukan pencapaian semester ini. Berikut adalah subjek yang perlu aku duduki :

1) Pengurusan Persekitaran-Isnin (20 april 09)
2) Kejuruteraan Asas-Rabu (22 april 09)
3) Rekabentuk Konkrit-Khamis (23 april 09)
4) Perkhidmatan Bangunan-Rabu (29 april 09)
5) Kejuruteraan Alam Sekitar-Rabu (6 mei 09)

Hambamu ini memohon kepadamu YA RABBI, permudahkanlah urusanku. Janganlah kau biarkn aku menentukan nasib diriku sendiri walaupun pada kadar sekelip mata atau pada kadar yang lebih pendek dari itu...
KEPADA SEMUA SAHABAT SEPERJUANGAN..
BERUSAHALAH LEBIH GIGIH LAGI.
BERIKAN USAHA 100% JIKA MAHUKAN HASIL 200%

Thursday 9 April 2009

Silalah berkunjung....

Dalam dunia teknologi dan ICT pada hari ini, maklumat boleh diperolehi dalam pelbagai sumber. Kecanggihan yang wujud ini tidak lain dan tidak bukan adalah hasil daripada ciptaan "orang-orang bijak" yang dikurniakan akal oleh ALLAH SWT. Ini menolak dakwaan bahawa sains dan teknologi itu datangnya dari barat dan merekalah golongan yang harus 'dipuja' dan diagungkan kerana pada hakikatnya ilmu itu asalnya daripada tuhan yang satu iaitu ALLAH SWT walau apapun agama dan kepercayaan seseorang itu.

Kita sebagai umat Islam yang menjadi pengguna pula seharusnya menggunakan peluang ini dengan sebaiknya dalam apa cara sekalipun bagi memenuhi tuntutan amal (kerja) yang boleh membawa kepada keredhaan ALLAH SWT. Saya cukup tertatrik dengan perkembangan pelbagai blog-blog samada bersifat berkumpulan, organisasi atau individu yang wujud pada hari ini. Sedikit sebanyak kewujudan blog-blog seperti ini membuka ruang untuk saya menjadi lebih kritis dalam memahami sesuatu isu yang berlaku.



Kemunculan blog Mursyiul Am Parti Islam Semalaysia, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat cukup mengujakan. Secara peribadi saya menghormati beliau sebagai antara salah seorang ulama yang masyhur di Malaysia. Secara tidak langsung ia mempelbagaikan lagi kaedah dakwah beliau yang sedia ada seperti kuliah, ceramah, khutbah dan buku. Tahniah diucapkan kepada TG Nik Abdul Aziz dan kumpulan yang bertungkus-lumus mengendalikan blog beliau. Semoga dengan kewujudan blog tersebut akan menjadi suatu medan untuk menghapuskan salah faham terhadap pandangan beliau selama ini...

Saya menyesorkan anda untuk melawat blog beliau di http://www.blogtokguru.com/

Tuesday 7 April 2009

Dalam seminggu yang lepas, aku telah dijangkiti satu penyakit yang tidak boleh diubati dengan ubat kimia (ubat hospital). Mungkin pakar psikologi yang dapat membantu untuk menyembuhkan penyakit ni. Walau bagaimanapun aku yakin penyakit ini masih di tahap 'tidak merbahaya' dan merupakan penyakit wajib bagi seorang penuntut tahun akhir.

Nak tahu penyakit apa??
Aku tidak boleh tidur sepanjang malam untuk mengulangkaji pelajaran atau menyiapkan laporan Projek Tahun Akhir.

Apa pendapat kalian? Ada cadangan penyelesaian?

Selain itu dua pengalaman baru turut aku alami dalam dua ujian berasingan minggu lepas. Ujian pertama-rekabentuk konkrit. Seawal jam 8 malam kami semua berkumpul di dewan peperiksaan F2 sementara menanti kertas peperiksaan diedarkan. Menjadi kebiasaan dalam sesuatu masa, dewan peperiksaan F2 digunakan sebagai tempat ujian untuk pelbagai subjek.

Pensyarah mula memanggil pelajar. Subjek demi subjek dipanggil tetapi subjek rekabentuk tidak ada. Batang hidung pensyarah pun tidak kelihatan. Pelajar mula merungut. Minit berganti minit. Pukul 9 malam kami masih di luar dewan. Biasanya ujian akan bermula pukul 8 atau 8.30 malam.

"Semua pelajar yang mengambil subjek rekabentuk sila turun ke dewan F2 tingkat bawah", laung En Zurisman, seorang penyokong kuat pasukan Liverpool.


Bergegas kami turun kerana menyangka pusat peperiksaan bertukar ke bahagian bawah.

"Saya minta maaf. Salah faham telah berlaku. Dewan telah penuh dan kita hanya ada dua pilihan. Satu-kita mula ujian pada pukul 10 malam. Dua-Ujian ini ditangguh ke minggu hadapan", laung En Zurisman yang sedang berdiri di atas meja. Seolah-olah seorang yang sedang berucap di "speaker corner".

Pelajar mula berbisik-bisik. Macam lebah dalam sarang bunyinya.
"Kami sanggup untuk tunggu sampai pukul 10", kata seorang pelajar. Semua setuju. Maka malam itu, pertama kali dalam sejarah aku di UTHM, menduduki ujian pada pukul 10 malam dan tamat pada pukul 12 tgh malam...

Selang sehari kemudian, ujian Kejuruteraan Asas pula menyusul. Selepas solat Maghrib, aku membelek buku sementara menunggu untuk menduduki ujian yang dijadualkan pada pukul 8.30 malam.

Tret..Tret...
Nama Anuksin terpampang pada skrin telefon.

"Hello. Ada apa?", aku bertanya.
"Kau kat mana. Kami dah duduk kat meja dah. Kertas ujian dah diedarkan", jawab Anuksin.


Hah, kata mula pukul 8.30. Aku cemas. Tanpa membuang masa aku mencapai beg dan terus bertolak menuju ke dewan peperiksaan. Setibanya di sana memang rakan-rakanku sudah berada di meja masing-masing. Kertas ujian sudah sedia di atas meja. Aku melangkah masuk dan mencari tempat duduk. Nasib baik masih ada satu meja kosong di belakang.

Setelah menulis butiran peribadi pada muka depan kertas jawapan, aku selak kertas soalan.


THIS PAPER CONTAIN 7 PAGES INCLUDING THIS COVER

Aku makin gelabah. Kertas soalan aku hanya mengandungi 5 mukasurat. Dua mukasurat lagi hilang. Aku pun
mengangkat tangan bagi menarik perhatian pensyarah bertugas.

"Cik, kertas soalan saya tak cukup" "Awak buat soalan 1a je", balas pensyarah.
Takkan aku nak jawab satu soalan je. Mana cukup.
"Semua orang dapat kertas soalan sama macam awak. Sekarang kami tengah tunggu lagi dua mukasurat", sambung pensyarah tadi.

Baru aku faham. Rupanya kertas soalan malam tu tersalah cetak. Semua pelajar dapat kertas soalan seperti mana yang aku dapat. Memang tak boleh nak jawab apa-apa. Gambarajah takda, maklumat apa pun takda. Hampir setengah jam kami tunggu hinggalah dua mukasurat tambahan tadi tiba. Nasib baik soalan senang.


Bila ada masa lapang, aku buka blog, tapi bukan nak hantar artikel. Cuma nak tengok perkembangan pelawat. Mana tahu ada komen baru atau pesanan melalui cbox. Ada satu komen baru aku terima. Individu ni komen mengenai artikel "Krisis Identiti".


Cup said...

kita tidak tau apa sebenarnya yang blaku pada dia..tidak adil bagi kita untuk menilainya hanya drpd penampilan dan luarnya sahaja..mana tahu,itu hanya sekadar penampilan luarannya saja,tetapi ha
ti masih lagi dengan pegangan agama yang tetap utuh....masih lagi tidak tinggalkan solat dan sebagainya...kita hanya manusia kerdil..siapa lah kita untuk menilai orang lain...don't talk about someone else either it true or not...because its like no different between u n others reported at outside...peace brother..
05 April 2009 01:42


Tujuan aku menulis artikel tersebut bukanlah untuk menilai, mengutuk atau menguji sesiapa. Aku suka melihat sesuatu isu dan mengambil pengajaran di sebaliknya. Aku baca kembali artikel yang aku kirimkan. Rasanya tiada dalam artikel tersebut bahagian yang mana aku memperkecilkan bekas penyanyi nasyid tersebut.
Aku sebenarnya cuba mengaitkan apa yang berlaku dengan sistem akhlak dalam Islam. Bukankah Islam agama yang cukup indah hingga mencipta satu sistem akhlak untuk memandu manusia menjadi insan yang baik. Apa yang berlaku kepada penyanyi tersebut bukan contoh terbaik untuk dikaitkan dengan sistem akhlak. Akh
lak mengajar manusia supaya menjadi lebih baik. Bukankah Rasuullah SAW pernah bersabda :

Manusia yang hari ini lebih baik daripada hari semalam - orang yang berjaya
Manusia yang hari ini lebih teruk daripada hari semalam - orang yang celaka
Manusia yang hari ini lebih sama seperti hari semalam - orang yang terpedaya

Jadi di manakah kita meletakkan diri kita. Memang kita boleh kata, itu hanya penampilan luaran. Hatinya masih baik dan berpegang kepada agama. Ingin aku nyatakan bahawa Islam mementingkan perbezaan. Akhlak Islam menyebabkan kita berbeza dengan manusia lain yang tidak beragama Islam. Itupu
n jika kita berpegang dengan ajaran Islam yang sahih. Mana mungkin hati seorang muslim yang berpegang kepada akhlak Islam tetapi luarannya tidak menggambarkan akhlak Islam. Satu lagi hadis Rasulullah perlu diamati :


"Ingat! Dalam badan manusia ada seketul darah, jika baik darah itu maka baiklah keseluruhan jasadnya sebaliknya jika buruk darah itu maka buruklah kesluruhan jasadnya. Ingat! Darah itu ialah HATI"

Ini jelas menunjukkan bahawa faktor luaran berkaitan dengan faktor dalaman iaitu hati. Mana mungkin hati yang penuh dengan kefahaman agama bertindak sebaliknya pada luaran. Mungkin perkara ini perlu dibahaskan dalam majlis ilmu dan difahami oleh semua.


Aku bukanlah orang yang pandai tetapi dengan ilmu dan kefahaman yang sedikit ini jika dipegang teguh dan terus diamalkan ia akan menjadi satu benteng yang kukuh untuk menjawab segala persoalan kehidupan. Ilmu ISLAM sudah cukup lengkap dan mencakupi semua bidang dalam kehidupanmanusia. Hanya manusia yang rajin mencari dan tetap teguh untuk beramal dengannya akan merasai indahnya sebuah agama bernama ISLAM.

Salah silap harap dimaafkan....


Create Fake Magazine Covers with your own picture at MagMyPic.com

Tazkirah : Al-Alaq (The Clot)


اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

96:1 Proclaim! (or read!) in the name of thy Lord and Cherisher, Who created-

خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَق

96:2 Created man, out of a (mere) clot of congealed blood:

اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ

96:3 Proclaim! And thy Lord is Most Bountiful,-

الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ

96:4 He Who taught (the use of) the pen,-

عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

96:5 Taught man that which he knew not.