Aku kemudiannya dihampiri oleh seseorang.
"Bas pukul berapa", sapa lelaki tersebut.
Daripada pakaian dan perwatakannya, andaian pertama aku adalah beliau merupakan anggota polis. Bukannya susah nak kenal anggota polis. Kacamata hitam, seluar jeans, kasut kulit.
"Pukul 11 pagi", aku menjawab selamba.
"Ikut saya ke sana sekejap", arah lelaki tersebut sambil tangannya menunjuk ke arah satu kumpulan manusia yang duduk di bawah payung.
"Kenapa pula ni. Kesalahan apa yang aku dah buat", aku berbisik dan jantung mula berdebar. "Nak buat apa?", sempat aku lontarkan pertanyaan.
"Sekejap je. 5 minit dah boleh tahu keputusan"
"Boleh la...", aku akhirnya mengalah.
Setibanya aku di meja, seorang perempuan yang bertugas untuk merekodkan data meminta kad pengenalan. Kemudian satu botol bertutup kuning diberi dan lelaki tadi mengiringi aku ke tandas. Sepatutnya untuk masuk ke tandas setiap orang dikehendaki membayar 30 sen tetapi disebabkan ini adalah tugas rasmi AADK, aku masuk secara percuma. Seronok juga. Dapat buang air percuma, basuh tangan dan basuh muka percuma.
Setelah itu, tiga peralatan ujian berbentuk kertas panjang dikeluarkan dan dicelup ke dalam botol. Sambil menunggu keputusan aku mengambil peluang untuk bercerita dengan mereka yang bertugas. Menurut mereka, operasi ini telah dijalankan selama seminggu yang lepas. Anggota AADK ditempatkan di seluruh stesen bas bertujuan untuk mengenalpasti pemandu yang menggunakan dadah semasa memandu. Di Shah Alam sahaja sebanyak 8 orang pemandu telah ditahan kerana positif dadah.
Semasa sedang rancak berborak, seorang anggota lain mengiringi seorang remaja lelaki yang digari tangannya ke temapt kami. Dia disyaki mengambil dadah tetapi dibebaskan dengan jaminan.
Selepas lima minit keputusan ujian aku pun dibaca. "Anda POSITIF..."
Ya aku POSITIF bebas dari pengaruh dadah. Alhamdulillah.
Usaha ini adalah antara usaha yang patut dipuji. Sekurang-kurangnya pihak berwajib menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Aku pula berpendapat bahawa usaha ini adalah hanya sebagai langkah pencegahan sedangkan sepatutnya punca masalah in perlu dikenalpasti dan dihapuskan. Apa yang aku maksudkan ialah pusat berlakunya proses penjualan dadah harus dihapuskan. Di mana lagi kalau bukan disko-disko, lorong-lorong pelacuran dan tempat menjual minuman keras (bar). Tempat inilah yang menjadi markas memasarkan dadah seperti ganja dan pil kuda.
Kepada rakan-rakan di luar, jauhilah diri anda dari pengaruh dadah. Bukan sahaja dadah dalam bentuk zahir tetapi yang utama ialah dadah dalam bentuk pemikiran, perlakuan dan perbuatan yang boleh mengkhayalkan dan merosakkan sistem kehidupan. Hanya Islam menawarkan ubat kepada segala penyakit kehidupan manusia.
46 daripada 8,110 positif dadah - Sinar Harian (Selasa-29 sept 09)
KUALA LUMPUR - Seramai 46 daripada 8,110 pemandu bas ekspres yang menjalani ujian air kencing di 35 terminal bas utama di seluruh negara dalam Ops Bersepadu sempena Perayaan Aidilfitri didapati positif dadah.
Mereka yang berusia antara 19 dan 41 tahun didapati positif mengambil ganja, amphetamine dan ABS.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Abd Bakir Zin semalam berkata, dalam operasi itu juga 116 pengguna jalan raya lain turut dikesan positif dadah.
“Matlamat utama ujian air kencing itu adalah bagi membantu kerajaan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya akibat pengaruh dadah,” katanya kepada pemberita di Hentian Bas Jalan Duta di sini.
Beliau gembira kerana dalam tempoh operasi bersepadu itu, tiada nahas jalan raya yang membabitkan bas ekspres.
Operasi Bersepadu sempena musim Perayaan Aidilfitri 2009 yang bermula sejak 16 Sept berakhir hari ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak pengurusan terminal bas. - Bernama