Suasana raya masih hangat di mana-mana. Sudah menjadi budaya masyarakat Malaysia, raya disambut selagi mana syawal masih ada. Rumah terbuka masih rancak di sana-sini. Bagi aku ia merupakan suatu budaya yang sihat kerana rumah terbuka atau jemputan beraya ke rumah mampu untuk mengeratkan tali silaturrahim antara satu sama lain. Cumanya janganlah hingga berlaku pembaziran dalam mengendalikannya.
Hari ini aku ingin berkongsi sedikit pengalaman ketika mahu pulang setelah cuti beraya di Bangi. Oleh kerana tiket bas dari Seremban ke Batu Pahat telah habis, aku membuat keputusan untuk menaiki bas dari stesen Shah Alam untuk ke Batu Pahat. Untuk itu aku perlu menaiki komuter dari stesen UKM ke KL Sentral sebelum menukar komuter ke stesen Shah Alam. Alhamdulillah, pergerakan dengan komuter pada pagi itu lancar. Tiada sebarang masalah berlaku.
Setelah lebih 80 minit berada di dalam komuter aku akhirnya tiba di Shah Alam, terus mengambil teksi menuju ke stesen bas. Suasana di stesen bas sangat sesak. Penuh dengan lautan manusia menunggu ketibaan bas untuk menuju ke detinasi masing-masing. Bas aku dijadualkan bertolak pada jam 11 pagi. Ini bermakna aku perlu menunggu lagi setengah jam sebelum bas tiba.
Kawasan menunggu sangat sesak. Jadi aku mengambil keputusan untuk menunggu di lorong belakang atau lebih tepatnya di kawasan meletak kenderaan kerana di situ lebih lapang. Nak membaca keadaan langsung tidak selesa. Nak duduk pun tiada kerusi yang kosong. Apa yang boleh aku buat hanyalah berdiri sambil melihat gelagat manusia di sekeliling.
Aku kemudiannya dihampiri oleh seseorang.
"Bas pukul berapa", sapa lelaki tersebut.
Daripada pakaian dan perwatakannya, andaian pertama aku adalah beliau merupakan anggota polis. Bukannya susah nak kenal anggota polis. Kacamata hitam, seluar jeans, kasut kulit.
"Pukul 11 pagi", aku menjawab selamba.
"Ikut saya ke sana sekejap", arah lelaki tersebut sambil tangannya menunjuk ke arah satu kumpulan manusia yang duduk di bawah payung.
"Kenapa pula ni. Kesalahan apa yang aku dah buat", aku berbisik dan jantung mula berdebar. "Nak buat apa?", sempat aku lontarkan pertanyaan.
"Buat ujian air kencing", tegasnya.
"Saya dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan. Kami buat ujian air kencing secara rambang", beliau menyambung bicara. Mungkin untuk lebih meyakinkan aku yang nampak keliru."Oh. Lama tak? Bas saya lagi 15 minit bertolak." Aku sebenarnya malas nak melakukan ujian tersebut. Entah mengapa aku yang dia pilih. Agaknya muka macam aku ni ada muka penagih rasanya. Ketawa kecil sendiri dalam hati.
"Sekejap je. 5 minit dah boleh tahu keputusan"
"Boleh la...", aku akhirnya mengalah.
Setibanya aku di meja, seorang perempuan yang bertugas untuk merekodkan data meminta kad pengenalan. Kemudian satu botol bertutup kuning diberi dan lelaki tadi mengiringi aku ke tandas. Sepatutnya untuk masuk ke tandas setiap orang dikehendaki membayar 30 sen tetapi disebabkan ini adalah tugas rasmi AADK, aku masuk secara percuma. Seronok juga. Dapat buang air percuma, basuh tangan dan basuh muka percuma.
Setelah itu, tiga peralatan ujian berbentuk kertas panjang dikeluarkan dan dicelup ke dalam botol. Sambil menunggu keputusan aku mengambil peluang untuk bercerita dengan mereka yang bertugas. Menurut mereka, operasi ini telah dijalankan selama seminggu yang lepas. Anggota AADK ditempatkan di seluruh stesen bas bertujuan untuk mengenalpasti pemandu yang menggunakan dadah semasa memandu. Di Shah Alam sahaja sebanyak 8 orang pemandu telah ditahan kerana positif dadah.
Semasa sedang rancak berborak, seorang anggota lain mengiringi seorang remaja lelaki yang digari tangannya ke temapt kami. Dia disyaki mengambil dadah tetapi dibebaskan dengan jaminan.
Selepas lima minit keputusan ujian aku pun dibaca. "Anda POSITIF..."
Ya aku POSITIF bebas dari pengaruh dadah. Alhamdulillah.
Usaha ini adalah antara usaha yang patut dipuji. Sekurang-kurangnya pihak berwajib menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Aku pula berpendapat bahawa usaha ini adalah hanya sebagai langkah pencegahan sedangkan sepatutnya punca masalah in perlu dikenalpasti dan dihapuskan. Apa yang aku maksudkan ialah pusat berlakunya proses penjualan dadah harus dihapuskan. Di mana lagi kalau bukan disko-disko, lorong-lorong pelacuran dan tempat menjual minuman keras (bar). Tempat inilah yang menjadi markas memasarkan dadah seperti ganja dan pil kuda.
Kepada rakan-rakan di luar, jauhilah diri anda dari pengaruh dadah. Bukan sahaja dadah dalam bentuk zahir tetapi yang utama ialah dadah dalam bentuk pemikiran, perlakuan dan perbuatan yang boleh mengkhayalkan dan merosakkan sistem kehidupan. Hanya Islam menawarkan ubat kepada segala penyakit kehidupan manusia.
"HIDUP SIHAT TANPA DADAH"
46 daripada 8,110 positif dadah - Sinar Harian (Selasa-29 sept 09)
KUALA LUMPUR - Seramai 46 daripada 8,110 pemandu bas ekspres yang menjalani ujian air kencing di 35 terminal bas utama di seluruh negara dalam Ops Bersepadu sempena Perayaan Aidilfitri didapati positif dadah.
Mereka yang berusia antara 19 dan 41 tahun didapati positif mengambil ganja, amphetamine dan ABS.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Abd Bakir Zin semalam berkata, dalam operasi itu juga 116 pengguna jalan raya lain turut dikesan positif dadah.
“Matlamat utama ujian air kencing itu adalah bagi membantu kerajaan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya akibat pengaruh dadah,” katanya kepada pemberita di Hentian Bas Jalan Duta di sini.
Beliau gembira kerana dalam tempoh operasi bersepadu itu, tiada nahas jalan raya yang membabitkan bas ekspres.
Operasi Bersepadu sempena musim Perayaan Aidilfitri 2009 yang bermula sejak 16 Sept berakhir hari ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak pengurusan terminal bas. - Bernama
No comments:
Post a Comment