sahabat: salam..klu xkeberatan nk mtk share mcm mn nk b'dkwah di tpt praktikal..syukran
13 Jan 10, 20:57
Begitulah pesanan yang aku terima melaui cbox di ‘taman’ku. Entah siapa sebenarnya individu tersebut tetapi aku sangat menghargai permintaan sebegini. Permintaan untuk mengetahui sesuatu yang boleh memberi manfaat bukan sahaja kepada pembaca umum tetapi diri yang menulis. Namun harus diakui aku bukan sebenarnya orang yang layak bagi membicarakan apa yang diminta. Terdapat ramai individu yang lebih arif di luar sana tetapi dengan meminjam kata-kata Ustaz Hasrizal, ERTI HIDUP PADA MEMBERI, diharapkan agar penjelasan dari sudut pandangku mengenai dakwah dapat dikongsi bersama.
Sebelum membincangkan tentang kaedah berdakwah yang merupakan tajuk cabang, mari kita lihat dahulu gambaran besar mengenai dakwah itu sendiri.
Dakwah berasal daripada perkataan Arab yang jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu akan diertikan sebagai mengajak atau menyeru. Mereka yang menjalankan kerja dakwah akan digelar sebagai da’i manakala golongan sasarnya dikenali sebagai mad’u.
serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.
Surah An-Nahl ayat 125
Ayat di atas bermula dengan kalimah ادْعُ yang bereti SERULAH atau boleh juga kita ertikan sebagai berDAKWAHlah. Dakwah ialah suatu proses yang memerlukan hubungkait antara elemen agar ianya sempurna. Pertanyaan berikut perlu ditumbulkan :
1) Dakwah tanggungjawab siapa?
2) Apa isi kandungan yang patut didakwahkan?
3) Bagaimana kaedah dakwah perlu dilakukan?
Ketiga-tiga pertanyaan tersebut telah lengkap dijawab oleh ayat ini.
1) Dakwah adalah tanggungjawab antara manusia sesama manusia. Mana mungkin manusia boleh menerima nasihat daripada bintang dan mana mungkin manusia boleh menasihatkan seekor binatang. Sebab itulah Allah SWT mengutuskan Nabi dan Rasul dari kalangan manusia bagi menyandang jawatan besar ini. Oleh sebab itu kerja dakwah ini menjadi mulia. Secara tidak langsung orang yang melakukan kerja dakwah juga adalah orang yang mulia.
2) Bagi menjawab soalan kedua, ayat tersebut memberitahu supaya ke ‘jalan Tuhanmu’ yang sepatutnya kita seru. Sama seperti di dalam surah Al-Fatihah ayat 6 yang bermaksud “Tunjukilah kami jalan yang lurus”. Terjemahan jalan di sini adalah lambang kepada perlunya hidup manusia itu dipandu di atas suatu panduan yang jelas. Inilah kurikulum atau silibus yang perlu dikedepankan apabila berdakwah. Kurikulum Allah melalui kitab Al-Quran serta pengajaran dari Nabi Muhammad SAW samada perkataannya, perbuatannya atau ikrarnya yang kita simpulkan sebagai hadis atau sunnah. Oleh yang demikian, ilmu untuk menyeru ke arah ‘jalan Tuhanmu’ perlu dipelajari terlebih dahulu.
3) Jawapan kepada soalan terakhir ialah dakwah hendaklah disampaikan dalam keadaan berhikmah. Hikmah tidak boleh disamakan dengan baik/ lemah-lembut kerana kadangkala dakwah perlu disampaikan dalam keadaan keras/kasar. Ianya bergantung kepada faktor sekeliling. Samada menyampaikan dengan baik/lemah-lembut atau keras itu adalah hikmah.
Setelah persoalan di atas telah dijawab, kini mari tumpukan kepada persoalan kaedah (uslub) dakwah pula. Dalam menghadapi persoalan kaedah, kepentingan yang perlu dikedepankan ialah apa matlamat yang ingin kita capai dari dakwah yang dijalankan. Semakin besar matlamat akhir kita maka makin banyak kerja yang perlu dilakukan. Ianya seumpama membina sebuah rumah. Jika yang diimpikan ialah sebuah rumah banglo maka bahan yang diperlukan makin banyak, kosnya akan menjadi makin tinggi dan memakan masa yang lama untuk disiapkan. Sebaliknya jika hanya rumah teres yang menjadi impian, maka kuranglah serba-serbinya dibandingkan daripada banglo itu tadi.
Tidak semstinya anda meletakkan hanya satu matlamat akhir. Matlamat ini boleh disusun secara berperingkat. Mungkin matlamat jangka pendek, sederhana dan panjang sebagai contoh. Lalu apabila matlamat telah dikenalpasti maka mudahlah untuk strategi disusun.
Namun suka aku ingatkan bahawa sebelum meletakkan matlamat dalam kerja besar seumpama dakwah ini, diri perlu dipersiapkan dengan satu ‘perkakas’@ tool yang cukup penting yang aku namakan sebagai kemahiran menganalisis persekitaran. Persekitaran di sini termasuklah komponen manusia yang menjadi sasaran dakwah, budaya mereka, kehidupan sosial mereka, tahap pendidikan mereka dan perkara-perkara lain yang boleh menjadi kayu pengukur terhadap kaedah dakwah yang bakal dilakukan. Atau dalam kata lainnya anda perlu melakukan sedikit ‘kerja rumah’ terhadap persekitaran anda. Ini bagi mengelakkan timbulnya nanti masalah di dalam proses kerana kesilapan memilih kaedah hasil dari kurangnya pemahaman kita terhadap persekitaran dakwah.
Komponen yang terpenting dalam dakwah ialah manusia itu sendiri. Manusia hanya ada dua pilihan-MEMPENGARUHI atau DIPENGARUHI. Yang jelas selalunya manusia itu sering DIPENGARUHI daripada MEMPENGARUHI.
Saiful Islam pernah menceritakan bagaimana terdapat sebahagian daripada masyarakat yang sering menjadikan keadaan sekeliling sebagai punca maslah mereka.
“Aku mencarut (menggunakan perkataan tidak sopan) ni sebab aku orang Melaka”
“Kalau cuaca mendung macam ni memang aku jadi pemalas”
“Aku tak dapat jawab soalan peperiksaan tadi sebab dewan tu sejuk sangat. Beku otak aku”Itulah antara sebahagian dialog yang pernah dituturkan. Maka atas kapasiti manusia mudah dipengaruhi oleh sesuatu, maka pendakwah hendaklan mempersiapkan diri mereka sebagai bahagian yang MEMPENGARUHI. Perkasakan kemahiran berkomunikasi, semaikan sifat peramah, ambil tahu, berbudi bahasa dan perbaiki akhlak agar ianya dapat MEMPENGARUHI orang lain. Untuk mengukue sejauh mana kejayaan proses mempengaruhi adalah apabila orang mula PERCAYA kepada anda. Pada ketika itu, anda akan menjadi tempat rujukan, berkongsi masalah, meminta pertolongan dan segala apa yang mereka inginkan. Anda bukan sahaja berjaya memegang jasadnya tetapi yang lebih utama ialah hatinya.
Ketika inilah anda perlu bijak menyelitkan elemen dakwah. Apabila mereka meminta nasihat, selitkan kisah-kisah motivasi acuan sirah, sejukkan hati mereka dengan nyanyian zikrullah dan kuatkan semangat mereka dengan falsafah jihad.
Tetapi dalam proses berdakwah itu jangan jadi seperti lilin. Itu nasihat Saiful Islam. Lilin itu sifatnya menerangi orang lain dengan cara dirinya sendiri terbakar. Sebaliknya anda perlulah menjadi seperti pelita. Bukan sahaja dirinya menerangi orang lain dan ia tidak terbakar, malahan untuk sentiasa menerangi minyak tanah perlu selalu diisi. Rujuk di sini. Falsafahnya adalah dalam menasihati orang lain jangan lupa untuk diri sendiri dinasihati. Dalam memberikan ilmu kepada orang lain jangan lupa diri sendiri juga perlu ditambah ilmunya.
Aku ingin menamatkan perkongsian hanya setakat ini. Memang banyak lagi sebanarnya yang perlu dikupas bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang dakwah. Penyampaian dua hala (ceramah, diskusi) sepatutnya menjadi program terbaik namun tidak ada salahnya penyampaian melalui tulisan mengambil alih. Cuma penulisan adalah berbentuk ‘emosionless’. Kurang bisa dan sengatnya juga mungkin salah pentafsiran daripada pembaca.
Moga perkongsian ini bermanfaat untuk anda dan saya.
No comments:
Post a Comment