Perjanjian yang diredhai
Di surau KKTDI beberapa malam yang lepas, kami bersama-sama bertadarus. Surah pilihan pada malam tersebut ialah surah Al-Fath yang membawa maksud kemenangan. Aku memilih untuk merujuk kepada tafsir semasa bertadarus.
Tiba kepada ayat ke 10, tafsir tersebut meletakkan nota kaki bahawa sebab turunnya ayat tersebut adalah sempena dengan peristiwa Baiah Ar-Ridwan yang berlaku semasa zaman Rasulullah SAW. Peristiwa ini merupakan antara peristiwa yang penting dalam sirah kerana banyak pengajaran yang boleh diperolehi daripada kisah ini.
Sebelum itu biarlah aku mencoretkan sedikit tentang kisah tersebut :Peristiwa Baiah Ar-Ridwan (perjanjian Ar-Ridwan) berlaku di Hudaibiyah ketika mana Rasulullah SAW dan golongan Muslimin menerima berita bahawa Saidina Uthman telah ditawan dan dibunuh oleh golongan Musyrikin Mekah ketika beliau menjalankan tugas untuk berunding bagi kemasukan kaum Muslimin ke Kota Mekah.
Mendapat perkhabaran tersebut, lantas Rasulullah SAW mengambil tindakan untuk mengadakan satu perjanjian taat setia (Baiah) untuk mereka berperang menghadapi kaum Quraisy sehingga mereka mencapai kemenangan. Selain itu ikrar setia turut diberikan kepada Rasulullah SAW untuk memerangi musuh serta mereka tidak akan meninggalkan medan perang dan menghadapi musuh sehingga peperangan tamat. Peristiwa ini dirakamkan di dalam Al-Quran, Surah Al-Fath ayat 10 :
إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَى نَفْسِهِ وَمَنْ أَوْفَى بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيم
Seterusnya Allah menurunkan ayat ke 18 dalam surah yang sama untuk menunjukkan bahawa Allah redha di atas tindakan mereka.
لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا
Hasilnya, Baiah ini telah menggentarkan kaum musyrikin sehingga mereka melepaskan Saidina Uthman dan mengirim utusan bagi mengadakan perjanjian damai dengan kaum muslimin. Perjanjian ini dinamakan SULHUL HUDAIBIYAH.
Rantaian perkaitanBoleh dirumuskan daripada peristiwa ini bahawa terdapat empat elemen penting yang harus dipandang bagi menjayakan sesuatu urusan. Aku simpulakn begini :
Pertama : Ada SEBAB mengapa tindakan diambil.
Kedua : Ada TINDAKAN yang dibuat
Ketiga : Ada KEREDHAAN daripada Allah SWT
Keempat : Ada KESAN yang dapat diperhatikan.
No comments:
Post a Comment