Ia datang lagi

Ia datang lagi

jom hebohkan

Tuesday 28 April 2009

Catatan Perjalanan II

Seperti yang aku janjikan, kali ini aku akan cuba sedikit sebanyak mengulas pengalaman kali pertama ke Pesta Buku Antarabangsa KL 09 baru-baru ini.

Kami memulakan kembara dari Parit Raja bermula seawal jam 7 pagi. Bersarapan di Jentayu selama setengah jam sebelum meneruskan perjalanan menggunkan Lebuhraya Utara-Selatan. Tidak banyak perkara yang dapat dilakukan semasa di dalam bas kecuali bersembang atau tidur mengumpul tenaga (agaknya) supaya tidak penat semasa berjalan sepanjang hari di dalam bangunan PWTC nanti. Jam 11 pagi kami selamat tiba di PWTC. Alhamdulillah...

Ketua rombongan memberi sedikit taklimat sebelum melepaskan kami ke dalam pesta. Hati sebenarnya sudah berada di dalam dewan memandangkan mengikut tentatif sepatutnya ketika ini Ust Hasrizal sedang berforum di ruang utama tentang buku baru beliau-Bercinta Sampai Ke Syurga. Selesai taklimat, aku terus berjalan laju mencari pentas utama. Sempat juga mendengar forum walaupun sudah ketinggalan beberapa ketika.

Setelah forum selesai sejam kemudian, aku dan beberapa orang teman terus mencari gerai Galeri Ilmu. Inilah antara matlamat aku ke Pesta Buku kali ini, untuk mendapatkan karya terbaru Ust Hasrizal Abd Jamil. Misi pertama berjaya. Lengkap dengan tandatangan beliau.



Forum tentang Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang menampilkan Pak Samad, Faisal Tehrani dan seorang wakil kementerian pelajaran mengambil tempat di ruang utama. Sempat mengutip beberapa isi-isi penting bahawa pejuang bahasa seperti Pak Samad dan Faisal Tehrani sememangnya tidak bersetuju dengan pendekatan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik (PPSMI). Mereka berdua dengan tegas atas paksi seorang seniman masih memperjuangkan supaya PPSMI ditukar kepada keadaan asal. Ramai juga hadirin yang bersorak dan bertepuk tangan ketika mereka menyatakan pendirian masing-masing. Dalam keadaan riuh itu aku terpandang saudara Zaid Akhtar, penulis novel Salju Sakinah dan Rona Bosphorus sedang duduk di kerusi bersama hadirin lain. Mungkin ramai yang tidak perasan beliau di sana.


"Ini sudah baik", aku bermonolog sambil berjalan menghampiri beliau.

"Assalamualaikum, abang Zaid? Abang apa khabar?", aku memulakan bicara.

"Waalaikumsalam, Ya saya Zaid. Awak dari mana?", beliau menjawab dengan mesra.

Tak ku sangka beliau semesra ini. Sempat aku bertanya beberapa perkara kepada beliau dan menyatakan hasrat untuk menjemput beliau ke kampus untuk bicara tentang novel Salju Sakinah.

"Insyaallah", beliau memberi harapan.

Naik ke tingkat dua aku berkunjung ke gerai Al Ameen Publishing. Syarikat ini adalah antara syarikat yang banyak menerbitkan karya penulis kegemaran aku, Faisal Tehrani. Tidak diduga beliau ada di sana untuk melayan peminat. Peluang itu aku gunakan untuk mengambil tandatangan. Novel Tunggu Teduh Dulu menjadi kanvas coretan beliau.

Pada sebelah petang, kumpulan Raihan menguasai pentas utama melancarkan VCD animasi Raihan Rangers. Sudah pasti ramai kanak-kanak mengambil kesempatan untuk beramah dengan mereka di atas pentas. Aku pula berjalan sehingga puas di tingkat tiga melihat gerai pameran.

Jam 5 petang merupakan waktu yang paling istimewa. Penulis terkenal Indonesia yang menulis novel 'best seller' Ayat-Ayat Cinta diundang untuk mempromosikan filem terbaru yang juga diangkat dari karya beliau iaitu Ketika Cinta Bertasbih. Kedatangan beliau ditunggu-tunggu oleh ramai peminat. Bukan senang untuk bertemu dengan penulis dari jauh. Kelembutan dan keramahan beliau menjawab soalan hadirin sangat memukau. Memang gaya seorang pendakwah. Setiap butir bicara diselitkan dengan ayat Al-Quran dan hadis Nabi SAW. Secara jujur aku belum pernah membaca satu pun daripada novel karangan beliau tetapi petang itu aku telah membeli senaskah novel Ketika Cinta Bertasbih episod 1 sebagai permulaan untuk mengenali beliau serta karyanya. Acara wajib ialah sesi autograf. Sesak peminat mengerumuni meja tempat beliau duduk namun setelah bersabar sekian lama aku juga berjaya mendapat tandatangan beliau sebagai kenang-kenangan.

Catatan ini akan berakhir di sini tetapi seribu satu kenangan di Pesta Buku Antarabangsa KL 09 ini akan menjadi antara kenangan terindah sepanjang hidupku sebagai seorang mahasiswa. Mungkin di lain kali jika aku berkesempatan sekalipun untuk Pesta Buku seterusnya, mungkin ketika itu aku hadir bukan lagi sebagai mahasiswa. Tentu suasananya sudah berbeza. Kembara bersama teman-teman merupakan saat terindah yang pastinya tidak dapat dibeli dan dicari di mana-mana. Lima buah buku telah bertambah menjadi koleksi peribadi :

1) Aku Terima Nikahnya - Ust Hasrizal Abd Jamil

2) Bercinta Sampai Ke Syurga -Ust Hasrizal Abd Jamil
3) Rindu Bau Pohon Tin -Ust Hasrizal Abd Jamil
4) Novel Tunggu Teduh Dulu - Faisal Tehrani
5) Novel Ketika Cinta Bertasbih - Habiburrahman El Shirazy

Harap-harap pelaburan ilmu yang aku lakukan ini tidak menjadi suatu yang sia-sia bahkan menjadi peransang kepada diri untuk terus melakukan yang terbaik dan berterusan dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan.

1 comment:

~diaNe~ said...

patutlah..
suka membaca juga rupanya..


Create Fake Magazine Covers with your own picture at MagMyPic.com

Tazkirah : Al-Alaq (The Clot)


اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

96:1 Proclaim! (or read!) in the name of thy Lord and Cherisher, Who created-

خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَق

96:2 Created man, out of a (mere) clot of congealed blood:

اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ

96:3 Proclaim! And thy Lord is Most Bountiful,-

الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ

96:4 He Who taught (the use of) the pen,-

عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

96:5 Taught man that which he knew not.