Alhamdulillah, dah boleh bersuara. Dua tiga hari yang lepas aku mengalami batuk yang teruk sehingga suara menjadi serak basah. Selama itulah aku menjadi pendiam di dalam kelas. Rakan sekelas menjadi pelik kerana kebiasaannya aku adalah antara pelajar yang banyak bercakap dan bertanya soalan. Sekali-sekala mendiamkan diri seronok juga. Maka ramai yang datang menegur dan bertanya khabar. Tidak kurang yang memberi simpati (biasanya perempuan-aku tak minta pun).
Setiap perkara yang terjadi setiap hari ada pengajaran di sebaliknya. Dalam keadaan ini aku sekurang-kurangnya dapat merasa perasaan menjadi seorang yang bisu. Mana taknya, semasa aku ingin membeli modul untuk subjek matematik IV, aku seperti orang bisu sepenuhnya. Ketuk pintu pensyarah, memberi salam hanya dengan isyarat menganggukkan kepala, apabila ditanya tujuan datang aku hanya menunjuk ke arah modul yang kebetulan berada di atas meja. Isyarat dua menggunakan jari aku tunjukkan kepada pensyarah tersebut sebagai tanda aku ingin membeli dua buah modul. Selepas membayar aku sekali lagi menganggukkan kepala serta senyum. Nasib baik sepanjang proses itu pensyarah tersebut tidak bertanya apa-apa kepadaku. Kalau tidak susah juga untuk aku jelaskan.
Rupa-rupanya besar peranan suara dalam kehidupan seharian. Kadangkala manusia tidak tahu untuk bersyukur dengan nikmat tersebut. Mulut diguna untuk menabur fitnah, mengumpat, membohong, mngutuk atau berkata perkataan kesat. Mengapa tidak suara ini digunakan untuk menyebarkan salam, memuji dan berzikir atau berkata sesuatu yang boleh mendamaikan jiwa. Manusia memang pelupa. Lupa kepada pencipta, lupa tujuan mereka hidup di dunia, lupa peranan, lupa diri dan lupa segala-galanya. Sudahlah manusia. Kembalilah kepada fitrah asalmu.
No comments:
Post a Comment