Tatkala membaca harakah daily sebentar tadi, aku menemukan suatu pengajaran yang cukup penting terutamanya bagi mereka yang berhajat untuk menjadi ahli dalam bidang siasah/politik semasa. Dua situasi berbeza yang terjadi di dua negara- Malaysia dan Indonesia memberikan satu gambaran betapa pentingnya sesuatu kenyataan itu diteliti sebelum dikeluarkan. Ianya bukan sahaja boleh menjadi bahan provokasi media malah mungkin kenyataan tersebut boleh membawa rebah kepada individu atau parti yang didokongnya.
Kes pertama
Heboh sejak kebelakangan ini ada satu usaha untuk membawa bekas Ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng untk kembali ke Malaysia. Pelbagai pandangan sama ada daripada pihak kerajaan, pasukan polis dan tentera malah orang awam menyelar usaha ini kerana kembalinya Chin Peng ke Malaysia seperti menoreh luka lama dalam sejarah ketika usaha mencapai kemerdekaan suatu ketika dahulu. Saksikan sahaja contoh kekejaman komunis dalam filem Bukit Kepong. Paling tidak baca sahaja novel ini yang menjadi antara bahan bacaan wajib dalam Komponen Sastera (KOMSAS) sekolah menengah seluruh Malaysia.
Tidak dapat tidak, nyata sejarah hitam pernah dicoret oleh pasukan komunis dengan perilaku membunuh banyak nyawa tidak berdosa. Aku ingin membawa isu ini ke satu arah yang lebih berfokus dengan tujuan untuk mengaitkannya dengan isu utama yang ingin aku bawa.
Apabila isu ini diajukan kepada seorang tokoh ulama dalam negara, pada masa yang sama merupakan pimpinan sebuah parti politik dengan jawatan Mursyidul Am iaitu Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau tidak memberikan jawapan secara selari malah menggunakan satu kaedah menjawab yang aku namakan "satu solan, banyak jawapan".
Ketika wartawan mengajukan tentang usah membawa balik Chin peng, beliau menyatakan begini :
"Mengapa kita takut sangat hal ini. Rakyat negara ini bukannya buta sejarah, kita seharusnya sedar. Fahaman komunis hanyalah sebahagian sahaja dari pelbagai fahaman. Orang komunis dan nasionalis sama sahaja seperti adik beradik kerana sama-sama menolak hukum Islam".berita penuh
Jawapan ini bukan sahaja menjawab soalan mengenai usaha membawa balik Chin peng tetapi dasar jawapan beliau dipaku oleh agama dan syariat. Dalam beliau menolak usaha tersebut, ada isi penting lain yang beliau ingin sampaikan. Iaitu apa sahaja yang menolak Islam perlu ditentang tidak kira komunis, nasionalis atau kapitalis.
Kenyataan ini pastinya tidak mengelirukan bahkan aku yakin semakin ramai yang akan menghormati tuan guru kerana kenyataan ilmiah seperti ini.
Kes Kedua
Lain pula halnya yang terjadi kepada Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia. Jika sebelum ini PKS dilihat sebagai sebuah parti yang mempunyai potensi besar untuk kembali membawa sinar cahaya Islam kepada warganya namun hasil kenyataan dalam satu majlis jamuan.
Pada jamuan Silatulrahim dan Dialog Antara Keluarga Pahlawan Nasional yang diadakan pada November 2008 ketika pilihanraya umum (pemilu) semakin hampir, beberapa pimpinan PKS telah hadir ke jamuan ini yang bertujuan untuk menyanjung jasa tokoh yang pernah berbakti kepada Indonesia termasuklah salah seorang daripada pemimpin itu ialah Suharto. Mengikut sejarah, zaman pemerintahan Suharto adalah zaman pemerintahan kuku besi. Kes Tanjung Periuk dan peristiwa lain yang mengganggu gugat keselamatan Islam khususnya terjadi pada zaman Suharto.
Apa yang terjadi ialah terdapat sesetengah pemimpin PKS memuji bekas Presiden tersebut. Dikahabarkan juga ada pemimpin PKS yang ingin mengadakan hubungan dengan parti Suharto iaitu Golkar yang kini dipimpin oleh Jusuf Kalla. Ketika majlis berlangsung kelihatan juga anak perempuan Suharto, Titiek Suharto duduk semeja dengan Ketua Dewan Syura PKS, Hilmy Aminuddin dan Setiausaha Agung PKS, Anis Matta. Kejadian ini memberikan gambaran buruk kepada rakyat yang meletakkan harapan tinggi kepada PKS untuk membawa mereka keluar dari belenggu masalah yang sekian lama dihadapi.
Akhirnya ketidakpuasan ini diterjemahkan apabila kalahnya calon-calon PKS di tempat yang dulunya mereka kuasai pada tahun 2004. Disebutkan generasi muda adalah antara golongan yang paling kecewa dengan perubahan sikap PKS ini.sumber rujukan
Kesimpulan
Jelas daripada dua kes di atas, perlunya seorang pemimpin itu meneguhkan dasar dan prinsip perjuangannya di atas paksi akidah dan Islam. Walaupun atas alasan strategi, namun perkara itu bukanlah sebab kita terpaksa mengeluarkan kenyataan dengan bahasa yang disenangi oleh lawan. Lihat sahaja kes muqabalah suatu ketika dulu ketika mana ada cadangan menggabungkan UMNO-PAS, pimpinan yang berpegang teguh atas dasar Islam mengeluarkan kenyataan bahawa ISlam dan nasionalis tidak boleh bercampur. Sampai bila-bila pun. Dan ketika timbul pula isu Ulama-Profesional sekali lagi jawapan yang dipandu Islam muncul-tiada pemisahan antara ulama dan profesional. Inilah peri pentingnya sebuah jemaah Islam itu melatih ahlinya supaya "faham dan hadam" prinsip serta dasar perjuangan. Berjuang bukan kerana parti, bukan kerana pangkat, harta, masyhur dan gila kuasa. Perjuangan akidah dan Islam jelas. Islam bukan kosmetik untuk ditempek pada muka untuk kelihatan cantik pada pandangan orang ramai.
Ayuh golongan muda, bersihkan akidah dan prinsip perjuangan!!!
Ia datang lagi
Thursday, 28 May 2009
Kenyataan membawa padah
Posted by M.Firdaus at 3:17 pm
Friday, 22 May 2009
Moga Kamu Menjadi Insan Yang Berfikir
Bertemu penghulu segala hari-hari Jumaat. Membelek laman web berita maya menemukan aku pada berita berikut.
ADUN Manik Urai Kelantan Meninggal Dunia
Bolehkah anda jangka kesan daripada peristiwa di atas? Semacam ada banyak pengajaran yang Allah SWT nak tunjuk kepada mereka yang beriman dan yang mahu berfikir.
Ingat tak ketika Peristiwa tiga adun Pakatan Rakyat di Perak "melompat" ke pihak Barisan Nasional. DS Nizar minta DUN dibubarkan dan pilihanraya diadakan semula? BN kata tak mahu. Akhirnya Allah SWT takdirkan ada juga pilihanraya kecil di Bukit Gantang selepas YB Roslan Sharum meninggal dunia.
Kali ini ceritanya berbeza. Selepas DUN Penanti dikosongkan oleh bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, pilihanraya kecil akan diadakan pada 31 Mei 2009 nanti. BN telah mengambil keputusan untuk tidak bertanding atas alasan-alasan tertentu. Dengan berita kematian Adun MAnek Urai di Kelantan bermakna satu lagi pilihanraya kecil bakal berlaku. Apa jangkaan anda? Adakah BN akan meletakkan calon atau tidak? Nampak gaya Biro Politik BN kena mesyuarat sekali lagi.
Sebagai rakyat yang peka, anda seharusnya melihat kejadian semasa dengan pandangan mata serta pandangan hati. Kematian adalah kerja Allah. Dalam kegawatan politik semasa, ramai di kalangan ADUN dan Ahli Parlimen meninggal hingga memaksa pilihanraya kecil diadakan. Rakyat pula semakin celik dan sedar untuk mengundi calon yang sepatutnya. Tidakkah mereka yang berkenaan menyedari hakikat ini. Cukuplah dengan gagasan baru yang cuba nak diperkenalkan. Agenda yang perlu diperjuangkan telah lama digagaskan. Agenda agama, agenda ummah yang digagaskan oleh Nabi Muhammad SAW. Kembalilah untuk bersama-sama memperjuangkan agenda ini. Selagi mana ada agenda atau gagasan lain yang ingin diperjuangkan sambil mengkesampingkan agenda agama, agenda ummah ini, selagi itulah akan ada pertentangan dan perjuangan tidak boleh bersatu walaupun atas nama bangsa atau keluarga.
ٌ الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمْ فَلاَ تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِين
Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridai Islam itu jadi agama bagimu
Posted by M.Firdaus at 11:10 am
Thursday, 21 May 2009
aku dilamun CINTA
Ini cerita betul. Aku sedang dilamun CINTA. Sungguh sukar untuk aku gambarkan perasaan yang bernama CINTA ini. Tidak tahu bila dan bagaimana perasaan ini datang. Zupppp....Ia menusuk ke dalam hati.
Oh CINTA. Hadirmu tidak ku jangka. Terasa seperti badanku melayang bila CINTA menyapa. Kadangkala kepala terasa pening memikirkan masalah bernama CINTA. Atau mungkin benar kata pujangga, CINTA boleh membuatkan manusia menjadi GILA.
Aku tidak maksudkan cinta kepada ibu bapa, bukan juga kepada negara dan bangsa tetapi cinta sesama manusia berlainan jantina.
Anda tidak percaya aku sedang dilamun CINTA. YA..CINTA, L.O.V.E.
Jangan ambil serius. Aku cuma bergurau. Memang cinta akan datang tetapi sekarang bukan masa yang sesuai. Sebenarnya dalam usaha mencari bahan untuk dimuatkan dalam artikel baru, aku menghilangkan rasa jemu dengan melawat laman web Youtube untuk mendengar berita melalui TVPas. Secara tidak sengaja aku terjumpa trailer @ video pendek tentang filem baru keluaran syarikat Metrowealth Movie yang diberi tajuk SYURGA CINTA. Menampilkan Awal Ashaari sebagai teraju utama bergandingan dengan si manis bertudung yang merupakan produk keluaran 'kilang' Akademi Fantasia entah musim ke berapa bernama Heliza. Secara kasar aku boleh katakan filem ini adalah filem stereotaip Melayu Malaysia.
Jalan ceritanya sudah boleh dibaca. Awal Ashaari merupakan seorang lelaki liar. Mungkin anak Dato atau Tan Sri yang bergaya dengan kereta mewah dan pakaian berjenama. Menghabiskan masa di disko, kaki perempuan dan menjalani segala macam kehidupan sosial yang melampau di kota besar. Dia memiliki seorang adik atau sepupu atau teman kecil (aku pun tak pasti) lakonan adik Haziq (yang popular dalam rancangan Tom Tom Bak). Setiap hari (agaknya) dia menjemput si Haziq ni pulang dari sekolah. Nak jadi penyedap cerita, ada seorang guru bersopan-santun (lakonan Heliza) yang rapat dengan adik Haziq ni. Secara 'tidak sengaja' Awal pun minat dengan cikgu tersebut. Lepas tu mula melakukan perubahan. Nak pikat Heliza punya pasal. Sampai satu keadaan, Awal digambarkan memakai serban dan jubah (langkah terdesak) semata-mata untuk berkenalan dengan cikgu Heliza. Dalam nak berkenalan tu macam-macam la terjadi (yang selalu tengok filem Melayu terutamanya terbitan Metrowealth mesti dah boleh agak) sehingga sampai satu masa Awal akan kecewa sebab Heliza tolak cintanya. Dan Awal pun berazam nak berubah menjadi seorang lelaki yang baik. Tak nak dah jadi kaki disko, kaki perempuan dan segala macam kaki. Di akhir cerita nanti mesti Heliza suka balik pada Awal (selalunya macam tu).
Inilah taraf filem Melayu Malaysia. Cinta menjadi tema utama. Itu bukan persoalan penting tetapi cara tema itu digarap dan dibawa ke dalam bentuk penceritaan adalah kurang sesuai. Aku tidak dapat menerima kenyataan bagaimana yang dikatakan KUASA CINTA itu dengan sekelip mata boleh merubah perwatakan manusia.
Aku tertarik untuk membandingkan filem ini dengan sebuah filem Indonesia - KETIKA CINTA BERTASBIH. Ya, tema CINTA sekali lagi dingkat dalam filem ini. Jadi apa bezanya?
Jika dalam SYURGA CINTA hanya ada dua watak utama, filem Melayu Indonesia ini pula menampilkan lima watak utama. Adaptasi daripada novel karya Habiburrahman El-Shirazy atau lebih dikenali sebagai Kang Abik, filem ini mengangkat tema CINTA ke satu peringkat yang pada mulanya sukar untuk difahami. Watak Khairul Azam, seorang mahasiswa Universiti Al-Azhar yang begitu menjaga prinsip dalam pergaulan tegas menolak bentuk pergaulan yang melanggar syariat. Satu contoh di mana ketika Eliana, anak Duta Besar Indonesia ingin memberikan hadiah berupa ciuman kepada Azam atas bantuannya, Azam dengan tegas menolak perbuatan itu sehingga Eliana menjadi tersangat marah.Namun kemarahan itu berjaya dikendurkan apabila Azam membuat penjelasan kepada Eliana dalam satu situasi ketika mereka pulang di dalam bas. Eliana terkesan dengan penerangan Azam sehingga menitiskan air mata.
Dalam situasi yang lain pula, apabila Azam berminat untuk melamar Anna, dia menggunakan orang tengah. Bukan dengan terang meluahkan perasaan kepada Anna atau melakukan sesuatu di luar kebiasaan (seperti memakai serban atau jubah). Walaupun akhirnya Azam dikhabarkan bahawa Anna telah dilamar oleh rakan baiknya iaitu Furqan, Azam tenang menerima kenyataan tersebut. Situasi ini menunjukkan kecantikan CINTA yang dipandu oleh syariat.
Dari segi pelakon pula, filem Melayu Malaysia lebih mengutamakan paras rupa dan populariti seseorang pelakon. Berbeza dengan filem Ketika Cinta Bertasbih, Kang Abik sendiri melakukan proses ujibakat untuk mencari individu yang betul-betul sesuai membawakan watak seperti mana yang digambarkan di dalam novel. Ini adalah satu pembaharuan dalam proses penghasilan filem bercorak dakwah di Indonesia. Memang mudah untuk aku menerima setiap watak pelakon dalam filem ini. Seolah-olah ianya benar. Anna dengan tudung labuhnya, Azam dengan sifat merendah diri, watak di dalam novel seakan dijelma dengan baik ke alam realiti.
Terpulang kepada anda samada untuk setuju atau tidak dengan pendapat di atas. Cumanya bagi diriku, secara jujur aku lebih tertarik untuk menonton filem Melayu Indonesia yang mempunyai nilai untuk diambil pengajaran berbanding filem Melayu Malaysia yang tidak lain cuma sebagai hiburan. Cukuplah dengan Gubra, Impak Maksima, Rempit, Bohsia dan sebagainya. Mungkin nanti ada filem baru iaitu Ragut atau Samseng Jalanan. Itulah taraf filem di Malaysia. Mengikut perkembangan semasa tetapi tiada nilai pengajaran yang boleh diambil daripadanya.
Jom tonton filem Ketika Cinta Bertasbih. 11 Jun 2009 tayangan serentak di lapan negara termasuk di Mesir. Sungguh aku dilamun CINTA...
Posted by M.Firdaus at 12:00 am
Monday, 18 May 2009
Santai
Alhamdulillah, aku selamat pulang ke Bandar Baru Bangi. Musim cuti ini Insyaallah akan aku manfaatkan untuk kerja-kerja yang mendatangkan manfaat bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi untuk mereka yang berada di sekelilingku.
Seperti biasa banyak isu yang berlaku di sekeliling. Ianya terlalu pantas sehingga aku tidak berkesempatan untuk mengulasnya di dalam blog ini.
"Bila lagi kau nak hantar artikel baru", sapa seorang sahabat ketika bertemu di suatu hari.
"Bagi aku masa", jawabku ringkas.
Bergelumang dengan minggu peperiksaan selama lebih kurang tiga minggu memenjarakan ruang masa untuk aku menulis. Begitu juga dengan iklim politik dan bukan politik semasa memerlukan satu jangka masa yang panjang untuk aku melihat, memahami seterusnya membuat ulasan yang matang. Tiada guna jika sesuatu artikel itu ditulis namun tiada isi yang boleh diambil manfaat.
Isu hangat negeri Perak, isu "beer @ arak" halal keluaran sebuah syarikat Iran-Arpanoosh, kes selsema babi @ influenza A, konsep SATU MALAYSIA gagasan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah antara isu yang sedang cuba aku fahami untuk diulas. Masih banyak kelompongan maklumat dalam isu-isu tersebut yang perlu aku isi.
Ah, siapalah aku untuk memahami semua isu ini. Boleh sahaja aku "membakul sampahkan" isu-isu tersebut kerana ianya tidak kena mengena dengan bidang kejuruteraan sedang yang aku pelajari. Namun ingat usia muda meruapakan satu peringkat di mana akal perlu dilatih untuk berfikir dan mentafsir dalam melihat sesuatu perkara biar pun ianya tidak kena mengena dengan bidang pekerjaan kita. Jangan dibiarkan akal ini berkarat di usia muda. Batu asahnya ialah MERENUNG dan BERFIKIR. Untuk menghasilkan proses BERFIKIR yang matang maka ia perlu kepada ILMU yang digali di merata tempat. Gali dan carilah ia. Lambat laun ia akan ditemui.
Sebelum menutup entri ini aku ingin meminta supaya "Bagi aku masa"....
Posted by M.Firdaus at 5:36 pm
Create Fake Magazine Covers with your own picture at MagMyPic.com
Tazkirah : Al-Alaq (The Clot)
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ
96:1 Proclaim! (or read!) in the name of thy Lord and Cherisher, Who created-
خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَق
96:2 Created man, out of a (mere) clot of congealed blood:
اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ
96:3 Proclaim! And thy Lord is Most Bountiful,-
الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ
96:4 He Who taught (the use of) the pen,-
عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ
96:5 Taught man that which he knew not.