Ia datang lagi

Ia datang lagi

jom hebohkan

Sunday, 26 April 2009

Catatan Perjalanan 1

Salam peperiksaan,


Hati puas walaupun penat seharian berjalan di Pesta Buku Antarabangsa KL 09. Alhamdulillah misi KLIBF09 kali ini tercapai. Boleh dikatakan aku berjaya membeli beberapa buah novel baru seperti aku war-warkan sebelum ini dan yang lebih menggembirakan aku dapat berjumpa hampir dengan kesemua penulis kegemaran - Ust Riduan Mohd Nor, Ust Hasrizal Abd Jamil atau Saiful Islam, Faisal Tehrani, Zaid Akhtar dan penulis novel "Ayat-Ayat Cinta" dari Indonesia, Habiburrahman El-Sharazy. Dan yang paling tidak disangka-ayah, ibu dan adik kecilku turut hadir pada pameran ini. Rindu sebuah nama menjadi realiti dan ia merupakan peristiwa yang tidak disangka-sangka. Syukur padaMu ya Allah.

Bersama penulis novel Salju Sakinah-Saudara Zaid Akhtar

Memang rugi sahabat yang tidak dapat bersama pada kali ini. Maaf kalau aku terlalu berlebihan dalam hal ini namun inilah satu-satunya hobi (ketika ini dan diharapkan kekal selamanya) yang menjadi obsesi atau kegilaan anak muda ini -BUKU,BUKU dan BUKU.

Insyaallah cerita penuh tentang perjalanan harian ini akan aku tulis sedikit masa lagi. Harap anda dapat bersabar dan memberikan sedikit masa.

Aku pasti sahabat lain yang turut bersama dalam lawatan, dalam masa terdekat akan menjadikan perjalanan ini sebagai catatan peristiwa dalam blog masing-masing. Teruskan usaha kalian dalam bidang penulisan. Bagai pesanan Ust Hasrizal-istiqamah adalah kunci kepada kejayaan.

Saturday, 18 April 2009

Rindu Sebuah Nama

Sudah seminggu lebih aku masih mengalami penyakit seperti mana sebelum ini - tidak dapat tidur pada waktu yang sepatutnya. Walaupun minggu ulangkaji sudah tiba, aku masih gagal memanfaatkan minggu tersebut bukan dek kerana kemalasan tetapi dek kerana kesibukan. Pada minggu inilah aku terpaksa bertungkus-lumus menyiapkan power point untuk pembentangan Projek Sarjana Muda (PSM1) pada hari Rabu lepas seterusnya power point untuk pembentangan subjek kejuruteraan asas keesokan harinya. Selesai dengan pembentangan, hari Jumaat aku gunakan seluasnya untuk mencuri sedikit tenaga sebelum meneruskan projek Rekabentuk Struktur Konkrit-Insyaallah projek terakhir yang perlu aku siapkan dalam semester ini.

Bulan April sepertimana tahun-tahun sebelumnya merupakan bulan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur @ KL Book Fest. Dan seperti mana tahun-tahun sebelumnya bulan April juga merupakan bulan aku menghadapi peperiksaan akhir semester. Keinginan untuk menjejakkan kaki ke pesta buku wujud sejak lama dahulu. Melihat buku sahaja sudah cukup mengujakan apatah lagi jika buku tersebut adalah buku terbaru karangan penulis kegemaran seperti Zaid Akhtar, Nisah Haron, Faisal Tehrani dan yang terbaru Ust Hasrizal Abd Jamil atau SaifulIslam.com. Pada kali ini Ust Hasrizal telah membuat dua kejutan dengan pelancaran dua buah buku terbaru beliau iaitu :



1) Bercinta Sampai ke Syurga -sambungan Aku Terima Nikahnya
2) Rindu Bau Pohon Tin-Travelog Tarbiah

Melihat kulit depan dua buah buku tersebut sahaja sudah membuat perasaan ini teruja, sama sepertimana pertama kali melihat buku Aku Terima Nikahnya. Aku merasakan bahawa hasil tangan Ust hasrizal adalah cukup istimewa di kala lambakan pelbagai jenis buku yang merapu di kedai. Walaupun beliau bukanlah seorang penulis profesional, pengalaman beliau ber'asimilasi' dengan penduduk negara Eropah seperti Ireland dan Turki selama lebih 11 tahun menjadi modal yang paling berharga yang secara rela beliau kongsikan bersama pembaca. Seolah-olah pembaca dapat turut merasai apa yang beliau rasa lebih-lebih lagi dalam situasi aku sebagai seorang pelajar ketika ini.

Aku berkira-kira untuk ke PWTC pada 25 April 09 ini ketika Ust Hasrizal menjadi panel dalam slot Wacana Buku. Harap buku baru beliau tidak kehabisan stok seperti mana yang berlaku kepada buku Aku Terima Nikahnya.

Buat sementara ini, aku 'mengubat rindu' dengan melayari laman maya beliau di http://saifulislam.com/. Membaca artikel kiriman terbaru beliau menyebabkan aku sayu dan menitiskan air mata. Aku lampirkan perenggan daripada artikel penuh beliau :


Kenapa Ummi Mengandung? oleh Saiful Islam

FIZIKAL, RASIONAL, EMOSIONAL

Jika difikirkan beban mengandung, bukankah lebih wajar Allah Subhanahu wa Ta’aala jadikan para suami yang mengandung. Mereka ada kekuatan fizikal. Mahu mengangkat tong gas di atas bahu kanan dan kiri pun tidak punya masalah. Sepatutnya kekuatan fizikal itu digunakan untuk memikul tugas yang berat ini… hamil dan seterusnya melahirkan anak.
Tetapi saya terkenang kepada kata-kata Imam al-Ghazzali, bahawa “lelaki diciptakan Allah 9 rasional 1 emosi dan perempuan diciptakan Allah 1 rasional 9 emosi”. Ya, kekuatan wanita itu adalah pada emosinya. Tinggi EQ!

Emosi itulah kelayakan untuk seorang manusia hamil.

Emosi untuk sabar dengan berat dan payahnya 9 bulan mengandung. Emosi untuk membelai, memberi makan kepada kandungan seperti memberi makan kepada diri sendiri. Emosi yang kerana emosi itulah, alam bayi di dalam kandungan digelar ALAM RAHIM, iaitu ‘alam kasih sayang’.

Kasih sayang yang sulit untuk ditemui dalam jiwa lelaki, biar pun fizikalnya sasa dan mentalnya berkuasa. Aduhai anak-anak, sesungguhnya engkau tidak lahir ke dunia ini, melainkan engkau pernah dipeluk kasih dan sayang seorang ‘ibu yang rahim’ di ALAM RAHIM.


“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung keletihan demi kekeletihan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)” [Luqman 31: 14]

Terkenang keluarga lebih-lebih lagi IBU di rumah. Alhamdulillah IBUku masih sihat. Baru beberapa hari yang lepas aku menghubungi beliau. Dengan kedatangan minggu peperiksaan, janganlah kita lupa untuk meminta ampun dan restu daripada keluarga terutamanya IBU yang banyak berkorban untuk kita. Untuk IBUku, doakanlah kejayaan anakmu ini. Insyaallah aku akan cuba sedaya upaya untuk membalas segala pengorbananmu selama ini. Ya Allah, bantulah aku supaya aku dapat membantu IBU dan bapaku.....

Friday, 17 April 2009

Minggu Peperiksaan Datang Lagi...

Selepas hampir empat bulan bertungkus lumus menyiapkan projek, tugasan, menghadiri kuliah dan juga Projek Sarjana Muda (projek tahun akhir), kini tiba minggu terakhir yang merupakan antara minggu terpenting dalam kehidupan seorang pelajar universiti.

Seperti biasa untuk peperiksaan kali ini aku adalah antara pelajar yang terpaksa menghadapi LIMA subjek peperiksaan akhir. Memang berat. Baru selesai membentang hasil projek kepada panel penilai baru-baru ini, terpaksa pula bersedia untuk menghadapi "perang" besar yang bakal menentukan pencapaian semester ini. Berikut adalah subjek yang perlu aku duduki :

1) Pengurusan Persekitaran-Isnin (20 april 09)
2) Kejuruteraan Asas-Rabu (22 april 09)
3) Rekabentuk Konkrit-Khamis (23 april 09)
4) Perkhidmatan Bangunan-Rabu (29 april 09)
5) Kejuruteraan Alam Sekitar-Rabu (6 mei 09)

Hambamu ini memohon kepadamu YA RABBI, permudahkanlah urusanku. Janganlah kau biarkn aku menentukan nasib diriku sendiri walaupun pada kadar sekelip mata atau pada kadar yang lebih pendek dari itu...
KEPADA SEMUA SAHABAT SEPERJUANGAN..
BERUSAHALAH LEBIH GIGIH LAGI.
BERIKAN USAHA 100% JIKA MAHUKAN HASIL 200%

Thursday, 9 April 2009

Silalah berkunjung....

Dalam dunia teknologi dan ICT pada hari ini, maklumat boleh diperolehi dalam pelbagai sumber. Kecanggihan yang wujud ini tidak lain dan tidak bukan adalah hasil daripada ciptaan "orang-orang bijak" yang dikurniakan akal oleh ALLAH SWT. Ini menolak dakwaan bahawa sains dan teknologi itu datangnya dari barat dan merekalah golongan yang harus 'dipuja' dan diagungkan kerana pada hakikatnya ilmu itu asalnya daripada tuhan yang satu iaitu ALLAH SWT walau apapun agama dan kepercayaan seseorang itu.

Kita sebagai umat Islam yang menjadi pengguna pula seharusnya menggunakan peluang ini dengan sebaiknya dalam apa cara sekalipun bagi memenuhi tuntutan amal (kerja) yang boleh membawa kepada keredhaan ALLAH SWT. Saya cukup tertatrik dengan perkembangan pelbagai blog-blog samada bersifat berkumpulan, organisasi atau individu yang wujud pada hari ini. Sedikit sebanyak kewujudan blog-blog seperti ini membuka ruang untuk saya menjadi lebih kritis dalam memahami sesuatu isu yang berlaku.



Kemunculan blog Mursyiul Am Parti Islam Semalaysia, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat cukup mengujakan. Secara peribadi saya menghormati beliau sebagai antara salah seorang ulama yang masyhur di Malaysia. Secara tidak langsung ia mempelbagaikan lagi kaedah dakwah beliau yang sedia ada seperti kuliah, ceramah, khutbah dan buku. Tahniah diucapkan kepada TG Nik Abdul Aziz dan kumpulan yang bertungkus-lumus mengendalikan blog beliau. Semoga dengan kewujudan blog tersebut akan menjadi suatu medan untuk menghapuskan salah faham terhadap pandangan beliau selama ini...

Saya menyesorkan anda untuk melawat blog beliau di http://www.blogtokguru.com/

Tuesday, 7 April 2009

Dalam seminggu yang lepas, aku telah dijangkiti satu penyakit yang tidak boleh diubati dengan ubat kimia (ubat hospital). Mungkin pakar psikologi yang dapat membantu untuk menyembuhkan penyakit ni. Walau bagaimanapun aku yakin penyakit ini masih di tahap 'tidak merbahaya' dan merupakan penyakit wajib bagi seorang penuntut tahun akhir.

Nak tahu penyakit apa??
Aku tidak boleh tidur sepanjang malam untuk mengulangkaji pelajaran atau menyiapkan laporan Projek Tahun Akhir.

Apa pendapat kalian? Ada cadangan penyelesaian?

Selain itu dua pengalaman baru turut aku alami dalam dua ujian berasingan minggu lepas. Ujian pertama-rekabentuk konkrit. Seawal jam 8 malam kami semua berkumpul di dewan peperiksaan F2 sementara menanti kertas peperiksaan diedarkan. Menjadi kebiasaan dalam sesuatu masa, dewan peperiksaan F2 digunakan sebagai tempat ujian untuk pelbagai subjek.

Pensyarah mula memanggil pelajar. Subjek demi subjek dipanggil tetapi subjek rekabentuk tidak ada. Batang hidung pensyarah pun tidak kelihatan. Pelajar mula merungut. Minit berganti minit. Pukul 9 malam kami masih di luar dewan. Biasanya ujian akan bermula pukul 8 atau 8.30 malam.

"Semua pelajar yang mengambil subjek rekabentuk sila turun ke dewan F2 tingkat bawah", laung En Zurisman, seorang penyokong kuat pasukan Liverpool.


Bergegas kami turun kerana menyangka pusat peperiksaan bertukar ke bahagian bawah.

"Saya minta maaf. Salah faham telah berlaku. Dewan telah penuh dan kita hanya ada dua pilihan. Satu-kita mula ujian pada pukul 10 malam. Dua-Ujian ini ditangguh ke minggu hadapan", laung En Zurisman yang sedang berdiri di atas meja. Seolah-olah seorang yang sedang berucap di "speaker corner".

Pelajar mula berbisik-bisik. Macam lebah dalam sarang bunyinya.
"Kami sanggup untuk tunggu sampai pukul 10", kata seorang pelajar. Semua setuju. Maka malam itu, pertama kali dalam sejarah aku di UTHM, menduduki ujian pada pukul 10 malam dan tamat pada pukul 12 tgh malam...

Selang sehari kemudian, ujian Kejuruteraan Asas pula menyusul. Selepas solat Maghrib, aku membelek buku sementara menunggu untuk menduduki ujian yang dijadualkan pada pukul 8.30 malam.

Tret..Tret...
Nama Anuksin terpampang pada skrin telefon.

"Hello. Ada apa?", aku bertanya.
"Kau kat mana. Kami dah duduk kat meja dah. Kertas ujian dah diedarkan", jawab Anuksin.


Hah, kata mula pukul 8.30. Aku cemas. Tanpa membuang masa aku mencapai beg dan terus bertolak menuju ke dewan peperiksaan. Setibanya di sana memang rakan-rakanku sudah berada di meja masing-masing. Kertas ujian sudah sedia di atas meja. Aku melangkah masuk dan mencari tempat duduk. Nasib baik masih ada satu meja kosong di belakang.

Setelah menulis butiran peribadi pada muka depan kertas jawapan, aku selak kertas soalan.


THIS PAPER CONTAIN 7 PAGES INCLUDING THIS COVER

Aku makin gelabah. Kertas soalan aku hanya mengandungi 5 mukasurat. Dua mukasurat lagi hilang. Aku pun
mengangkat tangan bagi menarik perhatian pensyarah bertugas.

"Cik, kertas soalan saya tak cukup" "Awak buat soalan 1a je", balas pensyarah.
Takkan aku nak jawab satu soalan je. Mana cukup.
"Semua orang dapat kertas soalan sama macam awak. Sekarang kami tengah tunggu lagi dua mukasurat", sambung pensyarah tadi.

Baru aku faham. Rupanya kertas soalan malam tu tersalah cetak. Semua pelajar dapat kertas soalan seperti mana yang aku dapat. Memang tak boleh nak jawab apa-apa. Gambarajah takda, maklumat apa pun takda. Hampir setengah jam kami tunggu hinggalah dua mukasurat tambahan tadi tiba. Nasib baik soalan senang.


Bila ada masa lapang, aku buka blog, tapi bukan nak hantar artikel. Cuma nak tengok perkembangan pelawat. Mana tahu ada komen baru atau pesanan melalui cbox. Ada satu komen baru aku terima. Individu ni komen mengenai artikel "Krisis Identiti".


Cup said...

kita tidak tau apa sebenarnya yang blaku pada dia..tidak adil bagi kita untuk menilainya hanya drpd penampilan dan luarnya sahaja..mana tahu,itu hanya sekadar penampilan luarannya saja,tetapi ha
ti masih lagi dengan pegangan agama yang tetap utuh....masih lagi tidak tinggalkan solat dan sebagainya...kita hanya manusia kerdil..siapa lah kita untuk menilai orang lain...don't talk about someone else either it true or not...because its like no different between u n others reported at outside...peace brother..
05 April 2009 01:42


Tujuan aku menulis artikel tersebut bukanlah untuk menilai, mengutuk atau menguji sesiapa. Aku suka melihat sesuatu isu dan mengambil pengajaran di sebaliknya. Aku baca kembali artikel yang aku kirimkan. Rasanya tiada dalam artikel tersebut bahagian yang mana aku memperkecilkan bekas penyanyi nasyid tersebut.
Aku sebenarnya cuba mengaitkan apa yang berlaku dengan sistem akhlak dalam Islam. Bukankah Islam agama yang cukup indah hingga mencipta satu sistem akhlak untuk memandu manusia menjadi insan yang baik. Apa yang berlaku kepada penyanyi tersebut bukan contoh terbaik untuk dikaitkan dengan sistem akhlak. Akh
lak mengajar manusia supaya menjadi lebih baik. Bukankah Rasuullah SAW pernah bersabda :

Manusia yang hari ini lebih baik daripada hari semalam - orang yang berjaya
Manusia yang hari ini lebih teruk daripada hari semalam - orang yang celaka
Manusia yang hari ini lebih sama seperti hari semalam - orang yang terpedaya

Jadi di manakah kita meletakkan diri kita. Memang kita boleh kata, itu hanya penampilan luaran. Hatinya masih baik dan berpegang kepada agama. Ingin aku nyatakan bahawa Islam mementingkan perbezaan. Akhlak Islam menyebabkan kita berbeza dengan manusia lain yang tidak beragama Islam. Itupu
n jika kita berpegang dengan ajaran Islam yang sahih. Mana mungkin hati seorang muslim yang berpegang kepada akhlak Islam tetapi luarannya tidak menggambarkan akhlak Islam. Satu lagi hadis Rasulullah perlu diamati :


"Ingat! Dalam badan manusia ada seketul darah, jika baik darah itu maka baiklah keseluruhan jasadnya sebaliknya jika buruk darah itu maka buruklah kesluruhan jasadnya. Ingat! Darah itu ialah HATI"

Ini jelas menunjukkan bahawa faktor luaran berkaitan dengan faktor dalaman iaitu hati. Mana mungkin hati yang penuh dengan kefahaman agama bertindak sebaliknya pada luaran. Mungkin perkara ini perlu dibahaskan dalam majlis ilmu dan difahami oleh semua.


Aku bukanlah orang yang pandai tetapi dengan ilmu dan kefahaman yang sedikit ini jika dipegang teguh dan terus diamalkan ia akan menjadi satu benteng yang kukuh untuk menjawab segala persoalan kehidupan. Ilmu ISLAM sudah cukup lengkap dan mencakupi semua bidang dalam kehidupanmanusia. Hanya manusia yang rajin mencari dan tetap teguh untuk beramal dengannya akan merasai indahnya sebuah agama bernama ISLAM.

Salah silap harap dimaafkan....

Saturday, 28 March 2009

Tuhan, Hujan dan Ujian

Artikel santai ketika ketandusan idea sambil melihat hujan petang.....

Tuhan

Perkataan tuhan ini umum. Orang Melayu guna tuhan, orang India panggil tuhan, orang Cina kata tuhan, orang Barat guna istilah God. Pendek kata semua manusia percaya tuhan. Hanya golongan Atheis dan komunis sahaja yang tak percaya tuhan. Bagi mereka alam wujud dengan sendiri. Manusia terjadi hasil daripada teori evolusi.

Namun tuhan adalah berbeza mengikut agama dan kepercayaan. Mengikut pandangan Islam tuhan itu dirujuk kepada ALLAH yang esa, tiada dua tiada berbilang kewujudannya. Tuhan Kristian pula wujud dalam keadaaan trinity, tiga tuhan dalam satu unsur-Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Ruh Kudus. Agama hindu pula kata tuhan itu dewa-dewa perang, dewa kekayaan, dewa hujan dan pelbagai lagi.

Hingga jadi kecoh Malaysia apabila ada pihak yang meminta kebenaran untuk menggunakan perkataan ALLAH padahal mereka sendiri tidak mengenali siapa itu ALLAH swt dari ertikata yang sebenar. Mereka faham dari sudut pandangan mereka sahaja.

Hujan

Mustahil orang tak tahu apa itu hujan. Hujan...Air turun dari langit.


Masa belajar subjek hidrologi, kita akan tahu tentang kitaran hidrologi. Bagaimana proses hujan terbentuk. Sesetengah orang kata hujan itu rahmat tetapi ada juga kata hujan itu bala. Hujan pula ada macam-macam jenis. Ada hujan renyai, ada hujan lebat, ada hujan disertai ribut petir, ada hujan disertai angin kencang. Itulah sifat hujan.

Ujian

Cubaan....Eh ini betul-betul, bukan cubaan. Cubaan...

Mesti biasa dengar dialog di atas. Ujian ni sebagai indikator untuk melihat sejauh mana manusia dapat menjadi rasional dalam ketika dilanda masalah. Kematian, kemalangan, kehilangan, kesusahan semua boleh dikategorikan sebagai ujian.

Ada yang diuji dengan kesenangan hingga lupa diri serta bongkak. Ada pula diuji dengan kesusahan sehingga putus asa. Ada yang boleh bersabar dengan ujian, ada pula yang tidak tahan apabila diuji. Pasti semua pernah diuji dengan ujian yang pelbagai. Ujian inilah yang mematangkan dan menambah asam garam dalam keidupan manusia.

Kesimpulan

Allah sebagai zat yang Maha Agung menciptakan manusia dan seluruh alam. Allah berupaya mentadbir alam mengikut kehendakNya tanpa perlu meminta pertolongan daripada makhluk. Sebagai manusia tidak kira apa bangsa dan keturunan, mempercayai Allah sebagai tuhan yang esa adalah tunjang akidah. Mana mungkin sah kesaksian dalam syahadah tanpa mengakui keesaan Allah.

Mempercayai Allah sebagai ilah (tuhan) bermakna kita perlu yakin bahawa setiap kejadian yang berlaku adalah ketentuan dariNya. Hujan lebat beserta ribut yang melanda Kolej Kediaman Tun Dr Ismail kelmarin bukanlah satu bencana alam yang biasa. Pasti ada sesuatu yag ingin Allah tunjukkan kepada kita. Hujan yang sepatutnya turun sebagai rahmat kadangkala mengandungi peringatan dan amaran yang perlu diselidiki. Sukar untuk mempercayai bagaimana angin yang tiada rupa dan warna itu bisa menerbangkan atap genting asrama. Bukan sedikit jumlahnya.

Jangan pula kita lupa dengan kisah Nabi Nuh as, Allah menurunkan hujan untuk menenggelamkan umat Nabi Nuh yang tidak beriman serta menyelamatkan yang lain melalui bahtera yang besar.


فَكَذَّبُوهُ فَأَنجَيْنَاهُ وَالَّذِينَ مَعَهُ فِي الْفُلْكِ وَأَغْرَقْنَا الَّذِينَ كَذَّبُواْ بِآيَاتِنَا إِنَّهُمْ كَانُواْ قَوْماً عَمِينَ

Maka mereka mendustakan Nuh, kemudian Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (mata hatinya). Surah Al-A'raf ayat 64



Tiga minggu yang lepas, seorang kawan kematian ayah kesayangan. Seminggu lepas pula Hisham patah tulang bahu ketika main bola. Semalam Fadhli kemalangan ketika nak pergi solat Jumaat. Semua itu adalah ujian. Bagi seorang muslim ujian ini ada kaitan dengan keimanan, bukan ujian yang tiada nilai sepertimana ujian yang dilalui oleh manusia lain :


أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ""Kami telah beriman"", sedang mereka tidak diuji lagi?" Surah Al-Ankabut ayat 2


"Senang la kau kata, bukan kau yang kena."

Memang. Sesungguhnya ujian itu datang dalam pelbagai bentuk. Jangan melihat ujian sebagai satu perkara yang susah semata. Kadangkala ujian itu datang dalam bentuk kesenangan yang melalaikan serta melupakan kita terus dari mengingati Allah. Sekurang-kurangnya manusia apabila dia susah dia ingat juga kepada penciptanya.

SABAR SAHABATKU. SESUNGGUHNYA ALLAH SEDANG MENGUJI IMAN KALIAN!

Saturday, 21 March 2009

Alhamdulillah. Sambutan 10 Tahun Kelab Iqra telah selamat melabuhkan tirainya hari ini. Secara peribadi boleh aku katakan program ini berjaya mencapai objektif penganjurannya. Segala penat lelah berprogram selama tiga hari cukup memberikan kepuasan peribadi kepada diri. Melihat kesungguhan sahabat-sahabat lain bermesyuarat, berlari ke HEP dan Pusat Islam untuk mendapat kelulusan, mengatur gerai pameran dan pelbagai lagi bidang kerja yang dilakukan memberi gambaran bahawa KERJASAMA dan KOMITMEN adalah dua elemen penting yang perlu ada pada setiap individu yang bergerak di dalam organisasi - dalam kes ini Kelab Iqra.

Sempat bergambar kenangan dengan Sdr Azhan Atan

Dalam kesibukan berprogram aku sempat membeli sebuah buku baru hasil tangan penulis yang cukup aku kagumi iaitu Ust Riduan Mohamad Nor; seorang aktivis dakwah yang patut dijadikan ikutan teladan kepada para remaja hari ini. Dalam kesibukan tugas sebagai seorang guru, aktivis kemanusiaan dan pendakwah, beliau masih sempat mengarang dua buah buku baru iaitu
1) Gaza Menangis
2) Tokoh-Tokoh Gerakan Islam Abad Moden



Ketika ini aku hanya menumpukan kepada sebuah buku sahaja iaitu buku Tokoh Gerakan Islam Abad Moden. Walaupun telah kedapatan banyak judul buku di pasaran tentang tokoh-tokoh gerakan Islam moden namun aku rasa buku ini adalah lebih relevan dengan para pemuda kerana isinya yang ringkas tetapi padat dengan maklumat yang sedikit sebanyak boleh menaikkan semangat dalam diri.

Cumanya aku sedikit terkilan ketika bertugas menjaga gerai buku dan mempromosikan buku ini.

"Cuba saudara sebutkan nama-nama tokoh yang saudara kenal", aku menyoal seorang pengunjung sambil menunjukkan muka depan buku yang dipenuhi gambar yang pelbagai.

"Tak kenal la bang"....
"Ini macam...macam... tak tau la saya"
"Tak pernah tengok pun muka diaorang ni"
Tak tahu apa yang harus aku ungkap. Sedih mungkin melihat generasi masa kini yang tidak kenal malah tidak menghargai jasa-jasa tokoh yang meneruskan agenda dakwah Rasulullah SAW.

"Ini Imam Hassan Al-Banna", kata salah seortang pengunjung yang lain.
Terubat juga kesedihan hati.

Selain sejarah tokoh, penulis juga menyelitkan beberapa kata-kata hikmah tokoh tersebut yang pernah dinukilkan ketika mereka masih hidup. Sebagai contoh Dr Abdullah Azam telah berkata :

"Saya tidak akan meninggalkan jihad kecuali dengan tiga alasan. Pertama, saya terbunuh Di Afghanistan. Kedua, saya terbunuh di Peshawar. Ketiga atau saya keluar dari Afghanistan dengan kedua tangan saya digari" (mukasurat 35).

Kata-kata seperti ini merupakan kata-kata oarang yang benar-benar faham dengan Islam dan tuntutannya. Sukar untuk mencari tokoh zaman ini yang boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian kecuali beberapa tokoh yang memang terkenal sebagai ulama di Malaysia.

Oleh yang demikian aku mengajak semua untuk memiliki buku ini sebagai koleksi peribadi. Harga promosi cuma RM 10 berbanding Rm 25 jika dibeli di pasaran luar. Bagi yang berminat boleh berhubung samada melalui e-mail fdaus@yahoo.com atau hubungi 013-7597907.

Wednesday, 18 March 2009

Krisis Identiti

Letih aku menaip laporan untuk Projek Tahun Akhir. Bermacam jenis buku dan jurnal aku semak dan cuba untuk difahami. Agak sukar kerana terlalu banyak rujukan. Aku perlu memilih rujukan yang benar-benar boleh membantu dalam penghasilan laporan ini. Masa pula semakin menghimpit. Bab 1 dan 2 hampir selesai. Hanya bab 3 terdapat beberapa masalah yang sedang menanti penyelesaian.

Untuk merehatkan minda, aku membuka beberapa blog dan laman web untuk membaca isu terkini. Akhirnya aku berjumpa dengan satu berita yang cukup mengejutkan. Kisah bagaimana seorang penyayi kumpulan nasyid yang boleh dikatakan terkenal mengubah identiti asalnya kepada identiti baru yang kurang senang dipandang mata. Aku rasa tak perlu aku selindungkan nama dan siapa individu tersebut. Lama-kelamaan pasti orang ramai akan tahu hasil penyebaran maklumat di era teknologi kini.

Beliau yang aku maksudkan ialah Khairul Idzwan Baharin, bekas vokalis utama kumpulan nasyid Saujana yang dulunya popular dengan lagu-lagu seperti Sepohon Kayu, Bulan Bintang dan Suci Sekeping Hati. Dua kejutan yang beliau lakukan ialah :

(1) Menyertai ujibakat rancangan realiti One in A Million
* bagi aku ini bukanlah satu kejutan yang besar kerana sebelum ini sudah banyak artis yang mencuba nasib dalam rancangan realiti ini seperti Dayang Nurfaizah dan Shahila.



(2) Menukar imej daripada seorang lelaki 'sejati' kepada lelaki lembut
* aku bukan anti kepada lelaki lembut. Sebagai seorang manusia aku meraikan kepelbagaian sifat manusia tetapi dalam kes ini beliau telah melakukan satu perubahan 'sonsang' daripada imej baik kepada imej yang kurang baik.

Rasulullah SAW contoh ikutan

Para Nabi dan Rasul diutus oleh Allah SWT untuk menyeru manusia memilih jalan kebaikan dan meninggalkan jalan kejahatan. Kita beriman bahawa setiap nabi dan rasul wajib seorang lelaki yang dilantik dari kalangan manusia seperti kita, memikul satu tanggungjawab yang cukup besar untuk menyelematkan umat manusia daripada kesesatan dan kejahilan.

Betapa syukurnya kita dilahirkan dari kalangan umat Nabi Muhammad SAW yang merupakan penutup segala nabi serta kekasih Allah SWT. Baginda hadir menyeru manusia mentauhidkan Allah di masa masyarakat Jahiliah telah terpesong jauh daripada ajaran yang dibawa Nabi Ibrahim a.s. Segala macam kemaksiatan telah dilakukan oleh masyarakat Arab Jahiliah seperti membunuh bayi perempuan hidup-hidup, bertawaf sekeliling kaabah dalam keadaan telanjang dan menjadikan sistem hamba sebagai satu sistem untuk menindas golongan miskin.

Pertanggungjawaban seorang insan bernama Muhammad ketika usia 40 tahun sebagai seorang Rasulullah telah mengubah masyarakat arab menjadi satu entiti yang dihormati serta dicemburui samada dalam sejarah moden mahupun sejarah Islam itu sendiri. Dengan kedatangan Rasulullah SAW dan agama Islam yang dibawa, mereka berubah daripada

SEORANG JAHIL KEPADA SEORANG YANG BERILMU,

SEORANG YANG PEMARAH KEPADA SEORANG YANG PEMAAF,

SEORANG YANG HINA KEPADA SEORANG YANG MULIA.....

Semua perubahan ini berlaku kerana ajaran dan sistem yang terkandung dalam agama Islam.

Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah Al-Anbiya ayat 107 :


وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.(21:107)

Oleh yang demikian apa yang ingin aku bawakan ialah Islam bukan sekadar satu agama peribadatan semata tetapi datang dalam satu pakej membawa satu sistem kehidupan lengkap yang dinamakan AD-DIN.

Di dalam sistem AD-DIN inilah terkandungnya sistem perundangan, sistem muamalat, sistem ekonomi, sistem pendidikan, sistem kekeluargaan dan apa sahaja sistem yang diperlukan oleh manusia di atas muka bumi.

Namun di sini aku ingin membincangkan tentang sistem akhlak sebagai salah satu sistem di dalam pakej AD-DIN ini.

Sistem Akhlak Islam

Apa yang berlaku kepada saudara Khairul Idzwan Baharin merupakan antara kegagalan sistem nilai yang dibawa oleh manusia. Modal Insan, Permata Negara dan pelbagai lagi sistem yang cuba diperkenalkan oleh manusia tidak mampu untuk menyelesaikan persoalan hidup kerana sistem manusia hanya menilai aspek luaran (jasmani) tanpa menilai sistem dalaman (rohani).

Sebagai contoh seseorang individu itu dikatakan seorang anak yang baik kerana ringan tulang membantu ibu ke kedai atau rajin mencuci kereta setiap petang. Dia masih dianggap anak yang baik dan bertuah walaupun sukar dikejutkan untuk solat subuh atau jarang membaca Al-Quran dalam sehari. Dia juga masih anak yang baik walaupun penampilannya berubah daripada penyanyi nasyid kepada mat rock atau mat lembut (tiada kena mengena dengan sesiapa). Ini kerana penilaian dilakukan menggunakan aspek jasmani bukan rohani.

Tanyalah sistem agama mana sekalipun, pasti mereka tiada 'silibus' untuk membersihkan rohani. Hanya Islam yang berjaya sejak awal kedatangannya memperkenalkan 'silibus' ini. Mana mungkin ada satu sistem yang boleh mengubah manusia daripada

SEORANG PEMARAH KEPADA SEORANG PENYABAR

SEORANG KASAR KEPADA SEORANG YANG BERSOPAN-SANTUN

SEORANG YANG HINA KEPADA SEORANG YANG MULIA.....

PLKN?? BTN??

Hanya satu perkara yang berjaya melakukan semua ini iaitu SISTEM AKHLAK ISLAM yang di bawa melalui KHEMAH IBADAH RASULULLAH. Mana mungkin mereka yang menjadikan Rasulullah SAW dan ajaran Islam yang ibawanya sebagai sistem dalam hidup sanggup berubah dari satu keadaan yang baik kepada keadaan yang jahat. Sepanjang sejarah Rasulullah SAW tidak pernah berubah prinsip perjuangan iaitu meyeru daripada kebenaran kepada kejahatan, tidak pernah Rasulullah SAW berubah daripada hukum Allah kepada hukum manusia, tidak pernah Rasulullah SAW merubah peribadinya daripada yang sedia ada kepada suatu peribadi yang lain. Ini semua kerana SISTEM AKHLAK ISLAM yang dibentuk melalui TARBIYAH ROHANI.


لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.(33:21)

Aku tidak berniat menyalahkan sesiapa tetapi apa yang berlaku memberi satu bukti bahawa menyanyi nasyid bukan jaminan untuk menjadi seorang yang baik. Lagu tidak membentuk sistem akhlak Islam keran ia tiada nilai rohani. Islam tidak pernah mensyariatkan nyanyian sebagai 'topik' dalam 'silibus' pembersihan rohani. Oleh itu jika kita mahu terus istiqomah dalam Iman dan Islam, cari-carilah guru yang betul-betul mahir dan boleh dipercayai untuk menuntut ilmu pembersihan Rohani dan berusahalah membentuk sistem akhlak Islam dalam diri anda.

Monday, 16 March 2009

Hebahan

Dah masuk minggu kedua bulan Mac. Memang terasa terlalu pantas masa berlalu sehingga tidak sempat untuk menghantar artikel PERTAMA untuk bulan ini. Nasib baik aku bukan seorang penulis tetap sebuah majalah, jika tidak tentu elaun sudah dipotong.

Minggu ini satu lagi program besar Kelab Iqra akan diadakan - Sambutan 10 Tahun Kelab Iqra. Seperti kebiasaan pasti ada satu dua tanggungjawab yang diberikan kepada aku. Kali ini aku ditugaskan sebagai AJK Teknikal semasa malam perasmian pembukaan dan konsert Azhan Atan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM. Jemputan VIP ialah Naib Canselor. Aku membayangkan satu suasana yang cukup mencabar bagi kami barisan AJK program untuk melakukan yang terbaik kerana sedikit kesilapan akan memberi gambaran buruk bukan sahaja kepada individu tetapi kepada kelab itu sendiri.

Kepada sahabat seperjuangan, ayuh persiapkan diri anda untuk menghadapi hari istimewa ini. Kejayaan program ini melambangkan ILTIZAM DALAM PERJUANGAN DAKWAH KAMPUS.

Thursday, 26 February 2009

Darah....

Alhamdulillah, semalam aku telah selamat menjalani satu lagi proses pendermaan darah. Kali ini Hospital Kluang menjadi pusat pengumpulan. Walaupun sudah lima kali aku menderma perasaan gementar ketika jarum dimasukkan ke dalam lengan masih ada. Entah mengapa.

Tuesday, 24 February 2009

Terkejut tatkala membaca kisah bapa termuda di Britain - seorang pelajar yang hanya berusia 13 tahun. Menurut sumber tersebut beliau mendapat status bapa selepas TEMAN WANITANYA yang berusia 15 tahun melahirkan seorang bayi perempuan. Mereka melakukan hubungan intim ketika budak lelaki itu berusia 12 tahun. Tambah sumber itu lagi ibu bapa kepada budak lelaki tersebut tidak marah dan terkejut apabila menerima berita kelairan bayi itu malah memberi galakan dan semangat kepada anak-anak mereka.


Apa perasaan anda bila mengetahui perkara ini?

"Biasa la tu kalau berlaku di Britain. Mereka berfikiran terbuka" kata si A.

"Memang untung budak lelaki tu. Masa umur 12 tahun dah ada teman wanita. Dapat anak pula tu". tambah si B.

"Ish.ish.. Teruk betul dunia akhir zaman ni. Macam-macam perkara boleh berlaku" si C berpendapat.

Bagi mereka yang beriman, itu bukanlah jawapan yang sepatutnya diberi. Analisis isu ini perlu diperhatikan begini :

1) Budak lelaki dan teman wanitanya masih di bawah umur.
2) Budak lelaki tersebut belum berkahwin dengan teman wanitanya.
3) Anak yang dilahirkan adalah anak yang tidak sah taraf.

Akhlak dan moral

Salah satu slot dalam kursus perkahwinan yang aku hadiri baru-baru ini ada menyentuh tentang akhlak dalam perkahwinan. Bila menyentuh bab akhlak pastinya ada dalil naqli yang bersumberkan Al-Quran dan Hadis yang menyokong perkara tersebut.


لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٌ۬ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأَخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا
21. Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (Surah Al Ahzab)


Menurut satu hadis Nabi SAW :
"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak"

Akhlak berbeza dengan moral. Akhlak merupakan tindakan dan perbuatan yang lahir hasil daripada kefahaman dan pembentukan peribadi yang mulia. Moral pula diasaskan mengikut tempat dan budaya. Sebagai contoh di Malaysia seseorang itu dikatakan tiada moral (adab) sekiranya memakai pakaian yang menutup kedua alat sulitnya sahaja tetapi di Barat memakai pakaian tersebut (boleh diistilahkan sebagai bikini) adalah perkara yang bermoral dan diterima umum. Oleh yang demikian boleh dikatakan bahawa moral boleh berubah mengikut tempat. Ia berbeza dengan akhlak. Akhlak yang dipraktikkan tidak berpandukan tempat dan budaya sebaliknya berasaskan iman dan kefahaman. Lihat sahaja dalam sirah Nabawi bagaimana Rasulullah SAW mempamerkan akhlak yang cukup agung hasil daripada didikan wahyu Allah SWT. Ketika Rasulullah SAW berdakwah di Taif misalnya, baginda telah diejek dan dilempar dengan pelbagai objek seperti batu dan kayu sehingga berdarah batang tubuh baginda. Apabila malaikat Jibril meminta keizinan daripada Rasulullah SAW untuk menghancurkan kaum tersebut, dengan lembut Rasulullah menolak dan berdoa "semoga mereka melahirkan generasi yang tunduk kepada Islam". Inilah yang dinamakan akhlak. Ketika apa keadaan sekalipun akhlak menjadi pemandu kepada sikap seseorang individu.

Dalam kes bapa termuda tersebut, kayu pengukur perbuatan beliau ialah moral dan bukannya akhlak. Jika akhlak yang dijadikan kayu pengukur sudah pasti kita boleh mengatakan bahawa perbuatan tersebut ialah zina dan salah.

Islam menjaga lima perkara

Kemunculan Islam menjaga lima perkara asas yang menjadi dasar kepada kehidupan manusia.

1) Agama
2) Akal
3) Nyawa
4) Harta
5) Maruah dan keturunan

Oleh sebab yang demikian jika ada diantara salah satu perkara diatas yang dilanggar maka hukuman kepada kesalahan tersebut ditetapkan sendiri oleh Allah SWT. Sebagai contoh mreka yang berzina jika belum berkahwin akan dirotan sebanyak 100 kali manakala jika sudah berkahwin akan direjam sehingga mati. Hukuman inilah yang kita panggil sebagai hukum hudud @ had sebagai kaedah pencegahan sebelum maslah tersebut menjadi wabak dan penyakit dalam masyarakat.

Tidak hairan jika di negara bukan Islam menolak penggunaan hukum hudud tetapi adalah menjadi suatu yang pelik apabila negara yang menggelarkan dirinya 'ISLAM' tidak menggunapakai malah memperlekehkan hukum ini. Bukan berniat berlagak pandai tetapi apa yang benar tetap benar. Menolak hukum hudud sebagai sistem perundangan dikhuatiri boleh menjejaskan aqidah. Maka nanti jangan dipersalahkan sesiapa jika masalah anak luar nikah menjadi beban yang sukar untuk diselesaikan.

"Ya Allah Ya Tuhanku, Kurniakanlah aku isteri dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata kepada diriku"

Monday, 9 February 2009

Rumahku Syurgaku

Baru-baru ini aku berkesempatan bersama dengan sahabat-sahabat ke majlis perkahwinan Abang Karyah Ezwan bersama pasangannya Kak Normala. Majlis telah diadakan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar, Melaka. Alhamdulillah kami dipermudahkan untuk ke tempat tersebut. Ramai juga sahabat-sahabat dari kampus lain turut hadir.
Kahwin? Bila sebut pasal kahwin senyuman naik sampai ke telinga. Baik lelaki ataupun yang perempuan. "Salmah, rombongan Saiful datang nak meminang kau. Kau setuju?", tanya si ayah. Tanpa membalas pertanyaan, Salmah pun mulakan adegan senyum sini, senyum sana. Tengok atas, tengok bawah. "Orang perempuan kalau diam tu tandanya setuju la tu pakcik", ujar wakil rombongan pihak lelaki. Adegan biasa yang puas kita tonton di kaca TV.


Kahwin = tanggungjawab
Sebelum kahwin semuanya indah. Masa bercinta tiada yang cacat cela. Semua sempurna. Tiada yang salah semuanya betul.

Kalau ayang adalah bulan, abang adalah bintangnya.
kalau ayang adalah bunga, abang adalah kumbangnya.
kalau ayang adalah padi, abang adalah pagarnya.

"Gunung yang tinggi sangup ku daki, lautan api sanggup ku harungi demi cintaku padamu Azizah"

Bagi yang belum berkahwin, mendengar ungkapan seperti di atas membuat diri teruja untuk segera menamatkan zaman bujang. Dah tak boleh nak bersabar. Kalau boleh esok kursus kahwin lusa juga nak nikah. SERONOKNYA dapat kahwin. Ada teman bergurau senda, ada teman penghibur duka lara. Ye ke seronok?

Lepas kahwin kena tanggung makan minum isteri. Eh,eh.. ahli keluarga isteri pun sama. Ayah dan emak dia - adik beradik dia + ayah emak kita - adik beradik kita pun ada hak untuk menuntut nafkah dari kita. Takkan kahwin dengan anak dia sahaja seluruh keluarga kena ambil juga.

Lepas kahwin insyaallah dikurniakan cahaya mata. Susu anak, pakaian, buaian, lampin pakai buang siapa nak beli? Kalau anak nangis tengah malam biar macam tu je? Anak demam panas tak bawa ke klinik ke? Baru nak rehat lepas balik kerja, anak buang air pula, siapa nak basuh?

Persoalan ini ditujukan bukan hanya kepada sebelah pihak tetapi kedua-duanya. Diakui selalunya dalam sesebuah rumahtangga telah berlaku pembahagian tugas antara suami dan isteri yang entah siapa mengatur. Tetapi perkara itu tidaklah termaktub di dalam mana-mana kitab atau perlembagaan. Akan wujud suatu keadaan di mana suatu ketika suami juga perlu memandikan anak, menukar lampin atau melayan tangisan mereka di tengah malam. Juga si isteri perlu mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk membantu suami mengurus kehidupan. SERONOK lagi ke ketika itu?

Muda-mudi ketika ini tersalah bayangan tentang cinta dan kehidupan rumahtangga. Bagi mereka cinta dan rumahtangga itu semuanya indah tanpa meyedari akan tiba satu keadaan bila mana keseronokan alam cinta dan rumahtangga itu tidak menepati bayangan mereka, ia mula menjadi bosan dan tidak seronok. Bermula dari situlah akan timbul masalah yang jika tidak bijak ditangani boleh membawa kepada perpecahan institusi kekeluargaan.



“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir” [al-Rum 30: 21]

Saturday, 24 January 2009

Hamster

Novel Baru

Selepas Salju Sakinah, dalam genggamanku kini sebuah lagi novel bakal aku tatapi. Entah seronok atau tidak tapi sahabatku (terima kasih Hazupi), menyesorkan aku supaya membaca novel tersebut. Pelik ke seorang lelaki macam aku suka baca novel?? Ada pula yang kata aku ni seorang mat jiwang. Nakal sungguh kenyataan itu. Tak kisah apa kamu semua kata, membaca memang dah jadi hobi. Aku tidak mahu mengehadkan bacaan pada kategori tertentu sahaja. Barulah pelbagai bidang ilmu dapat diteroka dan dihayati. Sastera pun ilmu juga kan??

Tautan Hati oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin.

Friday, 23 January 2009

Tiada isu yang nak aku tuliskan dalam dua tiga hari ini. Isu palestin menampakkan sedikit kekenduran apabila Israel dan Hamas bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata. Cumanaya apabila aku mengulas tentang isu Palestin di surau kelmarin, aku seolah-olah berjaya menemukan satu formula mengapa tindakan ini diambil.

Perjanjian yang diredhai

Di surau KKTDI beberapa malam yang lepas, kami bersama-sama bertadarus. Surah pilihan pada malam tersebut ialah surah Al-Fath yang membawa maksud kemenangan. Aku memilih untuk merujuk kepada tafsir semasa bertadarus.

Tiba kepada ayat ke 10, tafsir tersebut meletakkan nota kaki bahawa sebab turunnya ayat tersebut adalah sempena dengan peristiwa Baiah Ar-Ridwan yang berlaku semasa zaman Rasulullah SAW. Peristiwa ini merupakan antara peristiwa yang penting dalam sirah kerana banyak pengajaran yang boleh diperolehi daripada kisah ini.

Sebelum itu biarlah aku mencoretkan sedikit tentang kisah tersebut :Peristiwa Baiah Ar-Ridwan (perjanjian Ar-Ridwan) berlaku di Hudaibiyah ketika mana Rasulullah SAW dan golongan Muslimin menerima berita bahawa Saidina Uthman telah ditawan dan dibunuh oleh golongan Musyrikin Mekah ketika beliau menjalankan tugas untuk berunding bagi kemasukan kaum Muslimin ke Kota Mekah.

Mendapat perkhabaran tersebut, lantas Rasulullah SAW mengambil tindakan untuk mengadakan satu perjanjian taat setia (Baiah) untuk mereka berperang menghadapi kaum Quraisy sehingga mereka mencapai kemenangan. Selain itu ikrar setia turut diberikan kepada Rasulullah SAW untuk memerangi musuh serta mereka tidak akan meninggalkan medan perang dan menghadapi musuh sehingga peperangan tamat. Peristiwa ini dirakamkan di dalam Al-Quran, Surah Al-Fath ayat 10 :


إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَى نَفْسِهِ وَمَنْ أَوْفَى بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيم


48:10 Bahwasanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka, maka barang siapa yang melanggar janjinya niscaya akibat ia melanggar janji itu akan menimpa dirinya sendiri dan barang siapa menepati janjinya kepada Allah maka Allah akan memberinya pahala yang besar.


Seterusnya Allah menurunkan ayat ke 18 dalam surah yang sama untuk menunjukkan bahawa Allah redha di atas tindakan mereka.


لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

48:18 Sesungguhnya Allah telah rida terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dengan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya).

Hasilnya, Baiah ini telah menggentarkan kaum musyrikin sehingga mereka melepaskan Saidina Uthman dan mengirim utusan bagi mengadakan perjanjian damai dengan kaum muslimin. Perjanjian ini dinamakan SULHUL HUDAIBIYAH.

Rantaian perkaitan
Boleh dirumuskan daripada peristiwa ini bahawa terdapat empat elemen penting yang harus dipandang bagi menjayakan sesuatu urusan. Aku simpulakn begini :


Pertama : Ada SEBAB mengapa tindakan diambil.

Kedua : Ada TINDAKAN yang dibuat

Ketiga : Ada KEREDHAAN daripada Allah SWT

Keempat : Ada KESAN yang dapat diperhatikan.


Rantaian SEBAB-TINDAKAN-KEREDHAAN-KESAN inilah yang menjadi kejayaan sesuatu urusan. Mana mungkin sesutu tindakan diambil jika tiada sebab dan musabab. Sebagai contoh mana mungkin seseorang itu makan jika dia tidak lapar atau mana mungkin seseorang itu tidur jika dia tidak mengantuk. Maka elemen sebab dan tindakan ini saling berkait. Namun ramai antara kita yang terlepas pandang mengenai elemen ketiga iaitu keredhaan Allah. Tanpa keredhaan Allah kesan yang bakal terjadi hasil daripada tindakan yang diambil tidak bermakna. Tidak boleh dinafikan kita merancang tindakan dengan begitu baik dan strategis. Harus diingat bahawa Alllah adalah sebaik-baik perancang. Jika Allah redha dengan perancangan dan tindakan kita, Insyaallah kesan yang bakal timbul adalah baik walaupun pada pandangan kebanyakan orang ianya tidak berkesan.
Cukup setakat ini dulu. Jika apa yang aku kongsikan ini terdapat kesilapan, sudi-sudikanlah menegur.

Tuesday, 13 January 2009

Amanah sifat Nabi

Assalamualaikum WBT,
Alhamdulillah. Segala puji dipanjatkan ke hadrat Allah SWT. Kedatangan tahun baru hijrah 1430 dan juga tahun masihi 2009 menyaksikan tampuk kepimpinan Kelab Iqra UTHM bertukar. Sudah menjadi rutin bagi sesebuah kelab untuk membubarkan organisasi lama untuk diganti dengan tenaga baru yang diharap dapat membawa idea dan pendekatan baru dalam menyampai dakwah kepada warga kampus.

Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Iqra UTHM telah selamat diadakan seperti mana yang dirancag. Tarikh 11 Januari 2009 memahat satu lagi sejarah apabila boleh dikatakan keseluruhan kepimpinan lama diganti oleh saf kepimpinan yang terdiri daripada muka baru. Sistem pemilihan secara syura telah diadakan antara pihak kepimpinan lama dengan pihak Pusat Islam untuk memastikan mereka yang diberikan amanah berat ini adalah orang yang benar-benar layak dan bertanggungjawab.

Kepada seluruh warga UTHM, marilah membantu Kelab Iqra UTHM dalam usaha untuk menyebarluaskan kesedaran dan kefahaman Islam kepada warga kampus.

Ucapan sulung Pengerusi Baru Kelab Iqra

Tahniah dan takziah saya ucapkan kepada saf kepimpinan yang baru. Seluruh tenaga akan saya sumbangkan dalam rangka untuk MEMBINA GENRASI AL-QURAN di kampus tercinta ini.

Monday, 12 January 2009

Orang Gila Yang Cerdik

"Aku orang gila, kau orang cerdik"
"Aku makan sampah, kau makan makanan enak"


"Orang gila tak solat tak berdosa, orang cerdik tak solat masuk neraka"
"Orang gila masuk syurga tanpa hisab, orang cerdik kena hisab"
Semalam aku mendapat 'kuliah' percuma dari orang gila.
YA-ORANG GILA!!!

Ini bukan cerita rekaan tapi aku benar-benar bertemu orang gila yang cerdik.

Walaupun gila tapi setiap butir perkataan yang dituturkan adalah hikmah. Aku terkesima. Mana mungkin orang gila boleh sebijak ini. Sedangkan aku yang kononnya cerdik tak pernah sedar akan hakikat setiap apa yang diucapkan.

Ahh..Nasihat orang gila mana mungkin boleh dipercaya. Entah mana sumber rujukan, entah mana kitab panduan yang dia guna. Mungkin orang ni dulunya gila dunia, bila dah gila betul baru nak ingat akhirat. Orang cerdik macam aku tak layak terima nasihat orang gila.

"Kamu orang cerdik yang malas. Malas melambatkan proses untuk berjaya"

"Kamu terpesona dengan dunia tapi dunia tarafnya hanyalah seperti sampah, sampah yang menjadi makanan rutin aku"

Betul. Malas melambatkan proses berjaya. Aku leka dengan dunia sehingga meninggalkan suruhan solat, arahan menutup aurat aku ingkar, dengan merokok aku rasa tenang. Tapi...
Tapi nasihat ini datang dari orang gila. YA-ORANG GILA!!!



"Berubahlah wahai orang cerdik. Tak malu ke kamu pada orang gila seperti aku."

Apa pendapat kalian, boleh atau tidak aku terima nasihat orang gila ini?

Tuesday, 6 January 2009

Tak ada penghujungnya

Salam kedamaian buat saudaraku di Malaysia,
Salam peperangan buat saudaraku di Bumi Palestin.

Ketika anda sedang bersorak riang melihat kemeriahan bungan api sempena tahun 2009, mereka bersorak ketakutan melihat kedatangan roket membedil rumah kediaman.

Ketika anda sedang tertawa melihat karenah keluarga dan rakan-rakan, mereka di sana menangis hiba melihat bergelimpangan mayat di atas jalan.

Ketika anda berehat di atas tilam empuk sambil menonton televisyen, mereka berduka di atas kasarnya jalan akibat cedera terkena tembakan.

Ketika anda enak menikmati McDonald, KFC dan Pizza Hut malah mungkin dalam khayal menghembus asap Malboro, Dunhill atau Salem, mereka dihujan dengan roket dan peluru hasil sumbangan kalian.

Palestin. Tak pernah aman. Jika ada yang mengajukan bilakah akan damainya sebuah negara yang bernama PALESTIN, jawapannya hanya apabila entiti bernama ISRAEL, YAHUDI dan ZIONIS lenyap dari muka bumi.

Apalah daya kita dalam membantu umat Palestin.
Himpunkan DOA sebanyak-banyaknya memohon ALLAH memberi kesabaran kepada mereka dalam mengharungi perjuangan.

Bangkitkan kesedaran rakan, keluarga dan orang sekeliling tentang isu Palestin.

Boikot serta merta produk israel (McDonald, KFC, Pizza Hut dan semua rokok yang berada di pasaran)

Monday, 22 December 2008

Salju Ketenangan

Salam pertemuan...

Di waktu cuti begini tentunya pelbagai aktiviti boleh dilakukan oleh sahabat-sahabat semua. Samada bekerja secara sambilan untuk mengumpul sedikit duit poket, duduk di rumah membantu ibu bapa atau pun melakukan kerja-kerja sukarela pastikan apa yang anda lakukan memberi manfaat kepada diri anda dan orang lain. Biarlah kehadiran kita di mana jua lapangan untuk beraktiviti meringankan sedikit-sebanyak beban orang di sekeliling.

Aku menghabiskan cuti kali ini dengan aktiviti yang pelbagai. Menjadi rutin untuk aku membantu ibu bapa melakukan kerja di rumah seperti menyapu, mencuci kerete dan sebagainya. Itu tidak perlu aku huraikan. Namun ada yang lebih menarik untuk aku kongsikan bersama di sini. Yang pertamanya mengenai buku yang sedang aku tatapi dan yang kedua mengenai jaulah @ perjalanan @ musafir ke negeri Terengganu Darul Iman.

Salju Sakinah
Semasa dalam perjalanan untuk ke Tanjung Karang bagi merayakan Raya Korban, aku sempat melilau dalam Hentian Puduraya. Pada jangkaan awal aku, tiket bas ke Sabak Bernam boleh diperolehi setiap satu jam. Pada jam 10 pagi aku sudah berada di Hentian Puduraya. Kesesakan puduraya di waktu cuti begini sangat tidak menyenangkan diriku. Sejurus ke kaunter untuk membeli tiket, aku diberitahu bahawa pada hari itu hanya ada satu bas yang akan bergerak ke Sabak Bernam-secara tepanya pada pukul 2 petang.

2 petang???? Sekarang baru pukul 10 pagi.

Walaupun terkejut namun tidak ada lternatif lain yang boleh aku lakukan selain membeli sekeping tiket dan menunggu di dalam kesesakan manusia.

Merasa tidak senang untuk duduk di celahan pelbagai ragam manusia, aku melangkah kaki menuju ke kedai buku. Aku lebih selesa melihat kedai yang sesak dengan buku daripada melihat sesaknya manusia. Duit tidak seberapa dalam poket tapi aku bercadang untuk membeli juga sebuah buku yang boleh dijadikan teman istimewa sepanjang perjalanan ke Tg Karang.

Setelah mencari sekian lama, aku menemui sebuah buku yang aku rasakan cukup ringkas tetapi berguna lebih-lebih lagi sebagai bahan usrah semester hadapan. Buku karangan Dr Mustafa As-Sibai'e - "Riwayat Hidup Rasulullah SAW" diterbitkan oleh Pustaka Salam pada tahun 2004. Aku kemudian ke bahagian novel. Buku karangan Faisal Tehrani cuba ku cari.(Banyak perkara yang aku masih belum jelas tentang penulis ini. Tentang jalur pemikirannya yang menjadi perdebatan sesetengah pihak). Sebuah novel tebal berwarna biru dengan gambar sepasang mata menarik perhatianku. Hah... Inilah buku yang aku ingin beli semasa awal semester dulu tetapi hasrt itu tertangguh akibat kesibukan bergelumang dengan buku-buku akademik.

"Mahal juga harganya, tapi kalau tidak dibeli hari ni, entah bila lagi aku akan ke kedai buku", aku berbisik. Akhirnya kedua-dua buku tersebut aku bawa ke kaunter pembayaran. Dalam perkiraan asal, RM 41 akan masuk ke dalam akaun pekedai tersebut.

"RM 36 dik. Diskaun 10 peratus", kata abang kedai dengan loghat utara. Ini sudah baik. Ada diskaun. Mungkin rezeki aku pada hari itu.

Mengapa novel ini menjadi pilihan?
Entah. Tiada jawapan tepat yang dapat aku beri. Namun mungkin kerana peribadi penulis ini yang menyebabkan aku memilih. Zaid Akhtar merupakan seorang yang berkelulusan Bahasa Arab daripada Universiti Yarmouk, Jordan. Kini beliau menjadi guru Bahasa Arab di sekolah di mana beliau menuntut ketika sekolah menengah dahulu iaitu di Sek Men Agama Segamat.

Sepertiga membaca novel ini aku merasa cukup seronok walaupun watak utamanya adalah seorang muslimah cekal bernama Sumayyah. Aku merasa teruja kerana latar belakang cerita yang bermula di Jordan semasa Sumayyah belajar seterusnya balik ke kampung di Seggarang setelah tamat pengajian seolah-olah dapat aku rasai sendiri. Pertama mungkin kerana ketika ini aku sendiri melalui kehidupan sebagai seorang mahasiswa. Maka sedikit sebanyak apa yang dilalui oleh watak utama ini ada kena mengena dengan kehidupanku di kampus. Kedua kerana kampung Sumayyah berada di Senggarang. Tempat ini tidak jauh dari kampusku di Parit Raja. Maka beberapa tempat yang disebut oleh penulis dapat aku selami dan hayati.

Aku menyesyorkan kepada peminat novel untuk memiliki senaskah hasil tulisan yang bermutu ini. Sekurang-kurangnya bagi aku ada terselit suatu semangat motivasi daripada penceritaan kisah Sumayyah yang tabah menghadapi segala cabaran dalam hidup.

Nota : kisah aku ke Terengganu akan dikongsi pada tulisan seterusnya.

Friday, 14 November 2008

T.A.K.U.T

Salam Peperiksaan,

Lama tak mencurah idea dalam arena blog. Maaf, aku 'disibukkan' dengan 'perang' minda dan perasaan sepanjang minggu peperiksaan ini berlansung. Banyak isu yang berlaku yang aku cukup teruja untuk memberi maklumbalas melalui blog tetapi terpaksa dipendam atas alasan 'perang'. Alhamdulillah, tiga daripada lima subjek yang perlu aku duduki telah diselesaikan.

Isu politik merupakan isu majoriti dan bagi aku isu 'wajib' bagi mana-mana suratkhabar. Bukankah politik itu berkaitan pengurusan manusia, sumber manusia, agama, ekonomi bahkan sukan itu juga adalah isu politik. Jangan anda berfahaman bahawa politik itu mesti dikaitkan dengan parti sekian-sekian atau menteri sekian-sekian, tetapi politik sebenarnya adalah berkaitan PENGURUSAN. Makan juga adalah politik. Bukankah kita memilih untuk makan nasi lemak atau telur separuh masak sebagai contoh untuk sarapan pagi? Itulah politik makanan. Ahh...pagi ni aku tak nak mengarut mengenai politik(mulai sekarang baca PENGURUSAN). Ada dua isu yang bagi aku cukup penting untuk diulas dan dikongsi bersama pengunjung setia blog.

Isu yang aku maksudkan ialah :
1) Fatwa pengharaman perawakan tomboy
2) Penayangan video Sajak Kematian kepada pelajar sekolah rendah

Ikut hati mahu saya aku mengulas kedua-dua isu ini sekaligus. Ye la, tengah panas. Kalau lambat nanti sejuk dan tak relevan untuk dibincangkan. Namun aku rasa untuk kali ini adalah lebih baik untuk aku fokus kepada satu isu terlebih dahulu untuk diulas. Atas maksud itu aku memilih untuk mengulas isu kedua (politik=pengurusan juga ni).

Sajak Kematian
Isu ini timbul selepas satu laporan polis dibuat oleh ibu kepada seorang pelajar berumur tujuh tahun mengenai sikap anaknya yang berubah selepas satu tayangan video di sekolah. Ibu tersebut mendakwa anaknya mengalami perubahan sikap yang mendadak iaitu tidak mahu meninggalkan solat. Setelah disiasat ibu tersebut mendapati perubahan itu berlaku setelah anaknya didedahkan kepada satu video yang dinamakan sebagai Sajak Kematian di sekolah.

Apa salahnya Sajak Kematian?
Mengikut pencarian aku terhadap artikel dan tulisan yang pelbagai mengenai isu ini, aku mendapat gambaran bahawa secara kasarnya video ini menayangkan perkara yang berkaitan dengan alam kubur dan soalan-soalan 'bocor' ketika dalam kubur. Secara jujur aku belum melihat video ini sepenuhnya. Video dimulakan dengan perarakan mayat ke kubur, proses penanaman dan bahagian yang terpenting ialah gambaran proses soal jawab manusia-malaikat.

Perkara yang ditayangkan ini adalah pemaparan secara visual tentang penceritaan secara lisan oleh ustaz dan ustazah seperti mana kebanyakan kita pernah dengar sewaktu bergelar pelajar sekolah rendah dan menengah satu waktu dahulu. Jadi secara dasarnya gambaran ini tidaklah salah walaupun ada pendapat yang mengatakan bahawa kita tidak tahu bagaimana suasana sebenar alam kubur. Kadangkala tidak cukup dengan penerangan secara lisan semata-mata. Kaedah visual boleh digunakan bagi menyampaikan maksud yang sama bahkan ianya lebih berkesan. Perkara ini boleh dilihat begini : Filem mengenai dakwah Rasulullah SAW ada dibuat. Filem Ar-Risalah contohnya mengisahkan sejarah bermula Rasulullah SAW menerima wahyu pertama sehinggalah baginda wafat. Dari mana penerbit filem itu tahu begitulah sejarah hidup Rasulullah SAW? Tentunya secara lisan dan tulisan lalu diterjemah ke bentuk visual. Tujuannya, bagi menambah pemahaman tentang sirah itu sendiri. Begitulah boleh diumpakan dengan video Sajak Kematian ini.

Ketakutan sebagai anugerah Allah
Dakwaan bahawa pelajar akan menjadi takut setelah melihat video ini bagi diriku adalah benar. Bukan sahaja pelajar, aku yakin sesiapa sahaja yang melihat pasti merasa takut. Ketika perasaan itu anda rasai, ucapkanlah Alhamdulillah kerana ia adalah anugerah Allah. Takut merupakan satu perasaan yang dialami oleh semua manusia. Tidak normal jika dikatakan bahawa manusia tidak memiliki perasaan ini. Yang menjadi perbezaan ialah ke arah mana ketakutan ini disalurkan. Tercetusnya takut akan menghasilkan tindakbalas. Umpamanya apabila kita takut kepada kebakaran kita akan berhati-hati ketika menyalakan dapur gas, apabila kita takut dimarah kita akan berhati-hati dalam melakukan suatu tugasan.

Teringat ketika masih kanak-kanak aku cukup takut untuk pergi ketandas berseorangan atas alasan takutkan hantu. Semasa belajar di sebuah sekolah aliran agama di Kajang pula, aku takut kepada seorang ustaz yang mengajar Bahasa Arab kerana ketegasannya mendidik. Kali kedua aku ke kolam renang aku berasa takut kerana aku pernah hampir lemas. Senarai takut dan takut dan takut ini akan berterusan selagi mana seseorang itu hidup. Anda seorang pembohong dan egoistik jika berkata saya TAK PERNAH TAKUT!! Dasar penipu.


Pencandu hiburan televisyen juga pastinya biasanya dengan tajuk berikut :
Saka, Kekasihku seru, Puaka Nang Rapik, Pontianak Harum Sundal Malam, Waris Jari Hantu

Bagi penggemar alam mistik pula, terminologi ini pasti mengujakan mereka :
pontianak, pocong, hantu bungkus, balan-balan dan jin

Orang-orang lama atau 'otai' juga sering menggunakan ayat sebegini :
Jangan main sampai lewat maghrib nanti disorok hantu tetek (maafkan saya. saya tidak dapat mencari ayat lain bagi menggantikan perkataan ini sebab inilah yang selalu disebut kepada saya suatu ketika dahulu)

Perkara ini juga akan menjurus kepada tercetusnya perasaan takut. Cuma persoalannya wajarkah ia ditakuti?

Apa yang nak aku katakan ialah perasaan takut itu perlu dihalakan ke arah yang benar. Allah mencipta perasaan takut sebagai medium untuk manusia menjauhi laranganNya. Masakan tidak, manusia diancam dengan azab kubur yang pedih dan siksaan api neraka jika tidak solat. TIDAKKAH INI MENAKUTKAN???

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

66:6 "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."
At-Tahrem (The Banning)

Sebelum aku menyelesaikan entri kali ini, kita perhatikan ayat ini:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللّهِ مَنْ آمَنَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاَةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ اللّهَ فَعَسَى أُوْلَـئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ الْمُهْتَدِينَ

9:18 Hanyalah yang memakmurkan mesjid-mesjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan salat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.
At-Tauba (The Repentance)

Inilah sifat sebenar yang Allah mahu hasil daripada pengurniaan perasaan takut tersebut. Kesimpulan yang dapat aku buat ialah apa-apa sahaja perkara yang boleh mencetus kepada perasaan takut kepada Allah SWT adalah wajar sepertimana penayangan video Sajak Kematian.


Create Fake Magazine Covers with your own picture at MagMyPic.com

Tazkirah : Al-Alaq (The Clot)


اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

96:1 Proclaim! (or read!) in the name of thy Lord and Cherisher, Who created-

خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَق

96:2 Created man, out of a (mere) clot of congealed blood:

اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ

96:3 Proclaim! And thy Lord is Most Bountiful,-

الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ

96:4 He Who taught (the use of) the pen,-

عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

96:5 Taught man that which he knew not.