Tahun 2009 menghampiri ke penghujungnya. Sedar atau tidak, mahu atau tidak mahu, tahun baru 2010 tetap akan hadir. Aku percaya antara topik yang mendapat perhatian di ambang tahun baru ini ialah mengenai azam baru. Sudah pasti media cetak dan media elektronik akan mula menyiarkan azam baru penduduk Malaysia pada media mereka.
Bercakap mengenai azam baru, aku pasti ada antara pembaca sudah berkira-kira dengan rancangan masing-masing untuk tahun baru ini. Aku memandang bahawa perkara ini adalah suatu amalan yang baik. Mengapa?
Ingatkan diri kita dengan “the second habit of highly effective people – begin with the end in mind” atau bagi yang muslim kita boleh cambahkan lagi idea ini dengan hadis Nabi SAW iaitu :
Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : " Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : - ' Hanyasanya amalan-amalan itu adalah ( bergantung ) kepada niat, dan hanyasanya bagi setiap manusia itu apa ( balasan ) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya.'
Mengikut Stephen Covey, bagi sifat yang kedua ini, ada tiga aspek penting yang perlu diberi perhatian iaitu :
a) kepimpinan (leadership) – Apa yang ingin kita capai?
b) pengurusan (management) – Bagaimana cara terbaik untuk mencapainya?
c) produktiviti (productivity) – Lakukannya sepertimana yang dirancang.
Kita beri perhatian kepada soalan-soalan yang dikemukakan. Azam baru merupakan langkah pertama yang kita ambil iaitu menetapkan matlamat. Ada matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang. Ada yang ingin berjaya di dalam peperiksaan SPM, PMR atau ingin menamatkan pengajian di IPT pada tahun 2010 ini. Mungkin juga ada yang merancang untuk mendapatkan pekerjaan atau mengakhiri zaman bujang. Apa-apa sahaja azam yang kita buat ini akan dipengaruhi oleh suasana sekeliling.
Kemudian kita perlu mengenalpasti apa yang perlu dilakukan untuk membolehkan matlamat itu menjadi kenyataan. Proses membayangkan (visualisation) mungkin boleh membantu. Sebagai contoh kepada rakan-rakan mahasiswa yang menghadapi Projek Sarjana Muda (PSM 2) pada semester ini, anda perlu menetapkan matlamat akhir anda pada projek yang anda lakukan.
Matlamat 1 : Aku sekadar ingin menyiapkan PSM.
Matlamat 2 : Aku hanya ingin lulus.
Matlamat 3 : Aku ingin dapatkan keputusan A.
Matlamat 4 : Aku ingin mendapat anugerah projek terbaik.
Kesemua pilihan di atas adalah antara matlamat akhir yang ingin kita capai. Mulai sekarang anda mesti mula membayangkan bagaimana untuk mencapai matlamat tersebut. Sudah pasti jika anda hanya menetapkan matlamat 1 dan 2 sebagai pilihan, maka saya nasihatkan anda supaya tidak perlu bersusah payah namun sekiranya anda inginkan matlamat 3 dan 4, senarai perkara yang perlu anda lakukan akan menjadi semakin panjang. Ini maksudnya lebih banyak kerja yang perlu anda usahakan.
Perkara terakhir dan yang paling penting ialah menjalankan (execute) kesemua rancangan anda. Buat sebaik yang mungkin setiap rancangan tersebut.
Kita semak pula dari sudut pandang hadis Nabi SAW sepertimana yang dikemukakan di atas. Pertama kita lihat sebab adanya hadis ini ialah berkaitan dengan peristiwa hijrah Nabi SAW dan para sahabat RA dari Mekah ke Madinah. Dari perspektif hijrah kita perlu melihat di sebalik peristiwa tersebut adanya penetapan matlamat oleh Nabi SAW. Mengapa mereka perlu berhijrah? Tidak lain hanyalah kerana matlamat untuk melihat Islam berkuasa. Kemudian untuk mencapai matlamat tersebut, sirah menceritakan bagaimana strategisnya perancangan yang dilakukan dengan melibatkan ramai individu dalam pelbagai lapangan kemahiran. Lalu yang akhirnya kesemua rancangan tersebut dilaksanakan sehinggalah tertegaknya matlamat akhir Nabi SAW.
Peristiwa hijrah ini jika dikaitkan dengan Habit no 2 akan memberi kita suatu penjelasan yang sempurna. Niat sepertimana yang disebutkan dalam hadis tersebut juga adalah antara pengajaran supaya adanya matlamat dalam setiap kerja yang kita ingin lakukan.
Tanpa perlu melihat kepada orang lain, aku memastikan diriku sendiri supaya menetapkan matlamat. Kedatangan tahun 2010 aku jangka akan memberi seribu satu cabaran baru kerana perubahan suasana sekelilingku. Jika sebelum ini aku rasa aman dalam suasana kampus sebagai mahasiswa kini aku perlu berubah kerana bermula 4 Januari ni, aku akan mula menjalani praktikal di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Bangi.
Akhir kata jangan lupa bahawa dengan hadirnya 2010 maka sebenarnya makin dekat kita dengan kematian. Samada kita yang mati dahulu atau bumi akan mati bersam-sama dengan kita. Jangan lupa matlamat jangka panjang kita iaitu untuk hidup bahagia di alam yang kekal abadi yang pasti.
SELAMAT TAHUN BARU 2010
Ia datang lagi
Thursday, 31 December 2009
Masa untuk berubah
Posted by M.Firdaus at 10:30 am
Friday, 11 December 2009
Naik,naik
Entah berita baik atau buruk. Aku dengar berita TV1 sebentar tadi, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menaikkan kadar mas kahwin daripada RM80 kepada RM300 samada kepada anak dara atau janda. klik sini untuk berita lanjut.
Kepada anak-anak Selangor (termasuk aku), mulalah menabung sampai cukup RM300 kalau nak kahwin.
Posted by M.Firdaus at 11:39 am
Karnival Cuti Sekolah
Apa erti percutian pada kalian?? Berehat? Menenangkan fikiran? Bekerja sambilan?
Cuti kali ini memang cukup memenatkan. Bukan kerana kuliah dan tugasan, bukan kerana program dan organisasi tetapi kerana aku perlu menjaga dua orang anak buah yang sangat aktif. Bermain sepanjang hari tanpa penat.
Semalam adalah hari yang paling memenatkan sepanjang aku menjaga mereka. Adik perempuanku (kameela) mengajak aku ke Bukit Jalil untuk Karnival Cuti Sekolah TV3. Setakat menjaga adikku yang seorang ini tidak mengapa kerana dia sudah pun berumur 10 tahun. Tidak banyak kerenah. Namun setibanya aku di Bukit Jalil, Abe (panggilan kepada abang iparku) menelefon bertanya kami di mana. Apabila aku mengatakan aku di Bukit Jalil, dia pun berkata akan menghantar Ilyas dan Maisarah ke sana. Dapat ke aku nak jaga 3 orang dalam suasana macam ni?
Lebih kurang pukul 10.30 pagi, Ilyas dan Maisarah pun sampai. Lupa nak beritahu, Ilyas ni umur dia 6 tahun, Maisarah pula 4 tahun. Masing-masing ada kerenah tersendiri. Jadi pada permulaannya susah juga aku nak mengawal suasana kerana tidak tahu apa yang patut dilakukan di karnival itu.
Namun gerai NTV7 menyelamatkan keadaan buat sementara. Mereka mengadakan telematch untuk kanak-kanak. Aku pun menyuruh kameela dan ilyas untuk bermain sementara Maisarah pula seronok mewarna. Yang seronoknya menang atau kalah, setiap peserta akan mendapat hadiah.
Selesai telematch, mereka nampak penat. Jadi aku membelikan mereka Milo dan aiskrim. Cuaca pada hari itu sangat panas. Makin banyak kerenah mereka. Untuk meredakan suasana aku membawa mereka ke gerai Dutch Lady. Kebetulan gerai tersebut menyediakan permainan Sand Art. Aku sangat lega kerana kami tidak perlu lagi berkeliaran di tapak pesta oleh kerana permainan ini mengambil masa yang lama dan dibuat di bawah khemah.
Biarlah gambar di bawah menceritakan segalanya....
Harus aku akui memang susah menjaga kanak-kanak. Ini baru anak buah, bukan anak sendiri. Sebab itu haruslah kita sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada kedua ibu bapa yang sabar menjaga kita hingga ke saat ini. Balaslah jasa mereka dengan apa cara sekalipun.
Posted by M.Firdaus at 10:32 am
Tuesday, 17 November 2009
Pekerjaan Sangat Mudah (PSM)
Esok (18/11/2009) merupakan hari penentuan kepada Projek Sarjana Muda (PSM) yang telah aku lalui hampir dua semester. Pembentangan akhir di hadapan tiga orang panel penilai akan menentukan samada berbaloi atau tidak usaha keras yang aku lakukan selama ini. Secara jujur aku sangat berpuas hati dengan bantuan daripada penyelia PSM sehingga projek aku ini diterima untuk dibentangkan pada seminar peringkat antarabangsa bulan depan.
Masa yang masih berbaki akan aku gunakan untuk mengingati fakta dan mengasah kembali kemahiran berucap untuk pembentangan esok. Pelbagai perasaan menghuni kini :
+ suka kerana akan menamatkan penat-lelah tiga tahun di kampus
+ gementar memikirkan persolaan daripada panel penilai
+ sedih mengenangkan sahabat rakan taulan yang perlu ditinggalkan bagi meneruskan perjuangan.
Walau apapun, doakan semoga aku berjaya dalam pembentangan esok. Aku juga tidak pernah lupa mendoakan kalian semua berjaya dalam apa jua yang sedang dilakukan.
Ingat! Jadilah manusia PROAKTIF yang PRODUKTIF.
Posted by M.Firdaus at 10:25 pm
Saturday, 14 November 2009
Habit 1 : Be Proactive
Pasif - masuk ke universiti hanya untuk tujuan belajar, jawab soalan peperiksaan dan dapatkan segulung ijazah di akhir pengajian.
Posted by M.Firdaus at 5:40 pm
Friday, 13 November 2009
Mengubah paradigma
Seperti mana prinsip yang aku pegang selama ini, ilmu itu boleh datang dari pelbagai sumber. Bacalah apa juga jenis tulisan sekalipun sama ada ianya dalam versi novel, buku, artikel atau majalah kerana perkara ini telah aku kategorikan sebagai 'guru bisu' dalam proses pembelajaran. Namun apabila ianya dapat dihurai, diperjelaskan dan dalam masa yang sama dikaitkan dengan contoh persekitaran, ia menjadikan 'guru bisu' itu diberi nyawa untuk memperjelaskan lagi apa maksud sebenar isinya.
Sebab itu ia menjadi sesuatu yang mengagumkan apabila seorang Ustaz yang mendapat sarjana dalam disiplin keagamaan mengulas menggunakan apa yang beliau gelarkan 'kitab' dari Barat. Sungguh walaupun aku minat membaca namun belum terdetik untuk aku memiliki apatah lagi membongkar buku-buku motivasi dari negara luar. Pendekatan Ust Hasrizal berkuliah atau lebih tepat lagi aku namakan sebagai 'membedah' buku pengarang barat adalah suatu contoh yang baik atas nama perkongsian ilmu untuk lebih kenal-mengenal dan berkongsi sisi pandang dalam kehidupan.
Sehingga artikel ini ditulis, aku hanya sempat menghabiskan dua kuliah beliau yang mana membincangkan tabiat pertama dan kedua dari buku tersebut. Insyaallah aku akan berkongsi sedikit pandangan mengenai tabiat 1 dan 2 iaitu proactive dan begin with the end in mind
dalam artikel yang seterusnya.
Posted by M.Firdaus at 11:36 pm
Thursday, 15 October 2009
Guru Bisu
yang mengajar suka dan kesukaan; duka dan kedukaan.
Pengalaman adalah guru bisu,
yang mengajar sabar dan kesabaran; perit dan keperitan.
Pengalaman adalah guru bisu,
yang mengajar manusia dan kemanusiaan; hidup dan kehidupan.
Buku juga adalah guru bisu,
yang mengajar ilmu dan keilmuan,
yang mengajar tahu dan pengetahuan,
yang mengajar sastera dan kesusasteraan,
yang mengajar perkara tersembunyi.
Bersedialah kita untuk belajar dari buku dan pengalaman
kerana ia membantu kita celik menempuh zaman.
15/10/2009 @ 26 Syawal 1430
Lebuhraya Utara-Selatan (17:00)
Posted by M.Firdaus at 11:21 pm
Sunday, 11 October 2009
Sastera Sejarah
Pertamanya aku ingin memohon maaf kepada pengunjung setia blog ini. Hendak dikira dengan masa, memang sudah lama aku tidak menghantar artikel baru. Bukan malas alasannya, cuma sedikit sibuk dengan aktiviti di sana sini.
Saat ini aku sedang menatap novel trilogi Natasya, Julia dan Cinta Madinah. Tiga novel terbaik karangan Abu Hassan Morad yang dikompilasikan dalam satu edisi khas sempena 70 tahun Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Boleh aku katakan novel ini sudah 'berumur'. Bukan keluaran baru namun ketika ia diterbitkan, minat membaca novel belum berakar dalam diri. Baru kini aku cuba membuka sedikit ruang untuk memberi peluang kepada novel-novel terpilih untuk dijadikan teman ketika ada ruang. Tetapi aku tidak mahu mengulas mengenainya pada kali ini. Halaman pertama pun belum terusik.
Cumanya untuk kiriman kali ini, aku ingin berkongsi sebuah karya yang aku kira juga 'berumur' tetapi diterbitkan kembali dalam bentuk yang lebih kontemporari.
Surat-Surat Perempuan Johor karangan Faisal Tehrani menjadi koleksi terbaru dalam ruang bacaan. Bagiku ia bukanlah sebuah karya biasa tetapi karya sejarah yang berjaya disampaikan dalam bentuk novel. Dan ia juga bukanlah sebuah novel biasa kerana dikisahkan melalui surat-surat tidak rasmi. Satu pendekatan unik yang selayaknya menjadi antara karya sastera terhebat Faisal Tehrani.
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Perempuan itu seperti dalam pengetahuan kita, terkandung dalam enam huruf pengertiannya.
(lihat Raja Hamzah Yunus, "Perempuan Melayu: menurut takrif naskah melayu riau johor" dalam Jurnal Warisan Johor, Jilid II, Yayasan Warisan Johor, Johor Bharu, 1998)
Huruf FA itu berkaitan fasih. Lidah kita orang perempuan ini harus fasih memuji Allah dan Rasul-Nya, memuji kebaikan suami dan orang yang berbudi kepadanya.
Sedang RA itu mengenai ramah untuk bertemu jalan Allah, ramah mendapat petunjuk Rasulullah SAW serta ramah mendapat kasih suami.
Kitab itu juga mengajarkan kita huruf MIM pada perempuan itu adalah sifatnya yang malu kepada Allah dan kepada Rasul, sayugia setelah ada segan dan silu tentu juga pandai kita memelihara malu suami dan malu lain di tempat yang patut kita menaruh malu.
Perempuan itu mengamdungi dua FA, dan akan huruf FA yang kedua membawa erti percaya. Perempuan harus penuh kepercayaan, tidak mengkhianat, tidak kenal ingkar, tidak bercakap dusta-dusta dan ditegah membuka jalan yang haram.
Sedang WAU pula seperti syarah bonda Ampuan, ada perempuan itu wangi kerana haruman bidadari syurga itu kita yang warisi. Kerana wangi menyejukkan hati, mendamaikan suami dan terbendunglah kita dari menyebar pengkhabaran busuk dan umpat-umpatan berbau bangkai.
Sedang huruf akhir, NUN, membawa erti besar iaitu andalan. Seperti permata berharga, perempuan itu memelihara dan menegnal ia baik jahat, dosa da pahala hingga dapat menjadi andalan dirinya. Yang namanya perempaun itu ialah insan yang terpercayakan.
Penggunaan gaya bahasa Melayu lama amat memukau. Mungkin ada yang akan berkata ianya tidak lagi sesuai digunakan pada zaman ini namun aku amat menyenanginya. Selain itu penggunaan pantun dalam menyampaikan sesuatu perkara turut menjadi daya penarik novel ini.
Diajar puteri bunganya silat,
Perluas ilmu tajam berfikir,
Barulah Islam dapat didaulat.
Pendeta datang dari Pontian,
Mencurah ilmu membuka madrsah,
Jika yng alim menunjuk jalan,
Senang sang amir memacu arah.
Memilih nilam antara delima,
Ditempa molek jadikan pualam,
Baik-baik memilih nakhoda,
Di sebalik penggunaan laras bahasa Melayu lama yang memukau dan seni pantun dalam budaya masyarakat Melayu, fokus utama yang lebih menarik ialah tentang isu yang cuba disampaikan lewat surat dan warkah yang dipaparkan.
Pengarang cuba membawa kisah bagaimana pengaruh era kepimpinan Turki Uthmaniah cuba diadaptasi oleh Sultan Abu Bakar di Johor. Penggunaan undang-undang Islam dalam urus tadbir kehidupan rakyat diwartakan melalui Majalah Ahkam Johor seiras seperti Hukum Kanun Melaka yang memiliki ciri-ciri keIslaman di dalam penggubalannya.
Kembara Ungku Nur hingga ke Turki untuk menjejak sejarah warkah Tuk Hamidah yang dikahabarkan berkahwin dengan lelaki Turki suatu masa dahulu membuatkan rangkaian kisah semakin menarik. Hanya dengan membacanya sendiri barulah anda akan faham maksud yang cuba aku sampaikan.
Dalam kecelaruan sistem yang ada pada hari ini, novel ini semacam memberi suatu gambaran di mana sejarah telah membuktikan betapa pemerintah terdahulu komited dengan sistem pemerintahan Islam yang dirujuk kepada kerajaan Turki Uthmaniah. Mengapa kini kita berbangga dengan sistem bawaan penjajah yang telah terhakis kredibilitinya dalam menyusun atur kehidupan bermasyarakat. Bukanlah hukum itu hanya pada bab jenayahnya sahaja tetapi merangkumi seluruh sistem sosial yang menjadi teras kehidupan seharian manusia. Jika tidak menjadi kenyataan sekalipun untuk melihat tertegaknya kembali empayar khalifah, janganlah kita berhenti untuk berusaha kerana bukan hasil sahaja yang menjadi perhatian tetapi usaha juga turut menjadi perkiraan.
Posted by M.Firdaus at 12:35 am
Tuesday, 29 September 2009
+ ve atau - ve?
Aku kemudiannya dihampiri oleh seseorang.
"Bas pukul berapa", sapa lelaki tersebut.
Daripada pakaian dan perwatakannya, andaian pertama aku adalah beliau merupakan anggota polis. Bukannya susah nak kenal anggota polis. Kacamata hitam, seluar jeans, kasut kulit.
"Pukul 11 pagi", aku menjawab selamba.
"Ikut saya ke sana sekejap", arah lelaki tersebut sambil tangannya menunjuk ke arah satu kumpulan manusia yang duduk di bawah payung.
"Kenapa pula ni. Kesalahan apa yang aku dah buat", aku berbisik dan jantung mula berdebar. "Nak buat apa?", sempat aku lontarkan pertanyaan.
"Sekejap je. 5 minit dah boleh tahu keputusan"
"Boleh la...", aku akhirnya mengalah.
Setibanya aku di meja, seorang perempuan yang bertugas untuk merekodkan data meminta kad pengenalan. Kemudian satu botol bertutup kuning diberi dan lelaki tadi mengiringi aku ke tandas. Sepatutnya untuk masuk ke tandas setiap orang dikehendaki membayar 30 sen tetapi disebabkan ini adalah tugas rasmi AADK, aku masuk secara percuma. Seronok juga. Dapat buang air percuma, basuh tangan dan basuh muka percuma.
Setelah itu, tiga peralatan ujian berbentuk kertas panjang dikeluarkan dan dicelup ke dalam botol. Sambil menunggu keputusan aku mengambil peluang untuk bercerita dengan mereka yang bertugas. Menurut mereka, operasi ini telah dijalankan selama seminggu yang lepas. Anggota AADK ditempatkan di seluruh stesen bas bertujuan untuk mengenalpasti pemandu yang menggunakan dadah semasa memandu. Di Shah Alam sahaja sebanyak 8 orang pemandu telah ditahan kerana positif dadah.
Semasa sedang rancak berborak, seorang anggota lain mengiringi seorang remaja lelaki yang digari tangannya ke temapt kami. Dia disyaki mengambil dadah tetapi dibebaskan dengan jaminan.
Selepas lima minit keputusan ujian aku pun dibaca. "Anda POSITIF..."
Ya aku POSITIF bebas dari pengaruh dadah. Alhamdulillah.
Usaha ini adalah antara usaha yang patut dipuji. Sekurang-kurangnya pihak berwajib menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Aku pula berpendapat bahawa usaha ini adalah hanya sebagai langkah pencegahan sedangkan sepatutnya punca masalah in perlu dikenalpasti dan dihapuskan. Apa yang aku maksudkan ialah pusat berlakunya proses penjualan dadah harus dihapuskan. Di mana lagi kalau bukan disko-disko, lorong-lorong pelacuran dan tempat menjual minuman keras (bar). Tempat inilah yang menjadi markas memasarkan dadah seperti ganja dan pil kuda.
Kepada rakan-rakan di luar, jauhilah diri anda dari pengaruh dadah. Bukan sahaja dadah dalam bentuk zahir tetapi yang utama ialah dadah dalam bentuk pemikiran, perlakuan dan perbuatan yang boleh mengkhayalkan dan merosakkan sistem kehidupan. Hanya Islam menawarkan ubat kepada segala penyakit kehidupan manusia.
46 daripada 8,110 positif dadah - Sinar Harian (Selasa-29 sept 09)
KUALA LUMPUR - Seramai 46 daripada 8,110 pemandu bas ekspres yang menjalani ujian air kencing di 35 terminal bas utama di seluruh negara dalam Ops Bersepadu sempena Perayaan Aidilfitri didapati positif dadah.
Mereka yang berusia antara 19 dan 41 tahun didapati positif mengambil ganja, amphetamine dan ABS.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Abd Bakir Zin semalam berkata, dalam operasi itu juga 116 pengguna jalan raya lain turut dikesan positif dadah.
“Matlamat utama ujian air kencing itu adalah bagi membantu kerajaan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya akibat pengaruh dadah,” katanya kepada pemberita di Hentian Bas Jalan Duta di sini.
Beliau gembira kerana dalam tempoh operasi bersepadu itu, tiada nahas jalan raya yang membabitkan bas ekspres.
Operasi Bersepadu sempena musim Perayaan Aidilfitri 2009 yang bermula sejak 16 Sept berakhir hari ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak pengurusan terminal bas. - Bernama
Posted by M.Firdaus at 1:27 am
Sunday, 13 September 2009
Ubah-Berubah
Salam Ramadhan,
Pejam, celik, pejam, celik, Ramadhan sudah menghampiri penghujungnya. Lagu-lagu raya sudah mula dimainkan di pasaraya dan bilik-bilik kolej kediaman pelajar. Begitulah ghairahnya manusia ingin menyambut raya. Bukan sahaja manusia yang menyambut raya tetapi semua benda turut terken tempias hari raya. Baju raya, kasut raya, kad raya, kuih raya, duit raya...Pendek kata raya di mana-mana.
Tapi Ramadhan belum habis lagi. Masih ada ruang-ruang mengumpul pahala hasil daripada amal ibadah yang dilakukan. Jangan kita lupa untuk mencari satu malan yang lebih baik dari seribu bulan iaitu malam lailatul qadar. Isilah malam-malam di minggu terakhir Ramadhan dengan ibadah sunat-qiamullail, zikir, wirid, dan bertilawah Al-Quran. Jika gagal berjumpa dengan 'tetamu' lailatul qadar sekalipun, yakinlah bahawa setiap amalan yang dilakukan dengan ikhlas tersebut ada perkiraan dalam buku catatan amal.
Esok (23 Ramadhan 1430), aku diminta oleh pihak Kelab Iqra untuk mengisi slot IkoN pada program Kuliah Pembangunan Integriti Islam (KP2i). Bertungkus lumus aku cuba menyiapkan slaid powerpoint bagi pembentangan esok. Tajuk yang diberikan ialah "Pemuda Agen Perubahan". Fuhh... macam gempak je tajuk yang diberikan. Moga pembentangan esok juga akan gempak. Aku berharap agar pembentangan esok akan berjaya mengubah persepsi mahasiswa/wi untuk menjadi agen perubahan atau dalam kata lainnya menjadi seorang pendakwah yang bertugas merubah suasana kampus agar menuju ke arah yang lebih baik.
Aku mengambil serius jemputan ini. Aku tidak mahu hanya hadir untuk melepaskan tanggungjawab dan memenuhi tentatif program semata, sebaliknya aku mengharapkan kesan besar daripada pembentangan tersebut. Terima kasih aku ucapkan kepada pihak urusetia yang memberi kepercayaan kepada mahasiswa 'tua' ini untuk berkongsi sedikit buah fikiran kepada mahasiswa 'muda' di kampus ini.
Jom ramai-ramai datang untuk beri semangat dan jangan lupa doakan semoga pembentangan esok berjaya.
Posted by M.Firdaus at 2:54 am
Saturday, 29 August 2009
Dakwah Sang Mekanik
Salam Ramadahn.
Sedar atau tidak hari ini sudah lebih kurang seminggu Ramadhan menjadi tetamu kita. Pasti dalam seminggu yang lepas pelbagai kenangan telah mewarnai Ramadhan kita pada kali ini. Tidak kira apa jua yang kita lakukan, pastikan supaya ianya menjadi sebahagian daripada amal ibadah yang dikira perbuatannya sebagai amal soleh.
Pada kiriman kali ini aku ingin berkongsi sedikit mengenai peristiwa sebelah petang tadi. Mungkin aku boleh gambarnya ianya sebagai suatu usrah tidak formal antara aku dengan sahabat Sarawakku, Sahrul Khair. Perkongsian idea ini berlaku ketika kami bersama-sama membetulkan tayar basikal yang pancit.
Begini mulanya....
Lebih kurang pukul 3 petang, aku mengajak Sahrul untuk membantu menukar tiub tayar basikal kami yang pancit. Kami di sini bermaksud tayar basikal aku pancit, begitu juga tayar basikal sahrul. Jadi kedua-dunyanya perlu ditukar dengan tiub yang baru.
Sebelum memulakan tugas menukar tiub, aku sempat bertanya kepada Sahrul. "Enta pandai tak tukar tiub tayar basikal?" Aku memang biasa membahaskan diri Sahrul sebagai 'enta'.
"Sik pernah. Tok lah kali pertama", jawab Sahrul.
Aku tidak kisah sama ada Sahrul pandai atau tidak dalam hal sebegini kerana sebenarnya kerja ini memang boleh aku lakukan secara bersendirian. Cuma tidak seronok kerana tiada teman untuk berbual. Skru dilonggarkan, tayar dicabut dari posisinya. Dengan menggunakan peralatan khas, tayar dikopak supaya tiub yang sudah bocor dapat dikeluarkan. Sahrul dengan tekun turut membantu. Kemahiran memperbaiki sendiri basikal telah aku pelajari sejak lama dahulu ketika aku tinggal di Sabah. Terima kasih kepada bapaku yang menurunkan kemahiran ini.
Dalam sibuk melakukan kerja, sempat Sahrul berkata "Orang Elektrik tukar tiub basikal. Mana nak jadi". (orang elektrik di sini merujuk kepada diri Sahrul yang mengambil kursus kejuruteraan elektrik di UTHM). Aku pun menjawab spontan "Takkan mesti ambil kursus mekanikal baru boleh buat kerja ni. Itu satu pemikiran yang salah".
Terus aku teringat kepada kenyataan sahabat lamaku, Ustaz Azlan "Minda mahasiswa masa kini telah dicompartmentalizationkan @ dikotak-kotakkan. Orang agama hanya bekerja di masjid, jabatan agama. Jurutera di kilang-kilang, peguam di mahkamah. Ini suatu budaya yang tidak sihat".
Ya. Aku setuju dengan pendapat Ustaz Azlan. Mungkin Sahrul ada simptom compartmentalization tersebut. (tapi simpton pada tahap yang tidak merbahaya). Mungkin Sahrul berpendapat perlu 'menjadi' seseorang baru boleh melakukan kerja 'orang' tersebut.
------------------------------------------------------------------------------------------------
Setiap Muslim Adalah Dai'e
Gejala compartmentalization yang merebak di dalam minda masyarakat muslim adalah merbahaya. Gejala ini sudah sekian lama dipelopori di Eropah bila mana urusan agama dan urusan pengurusan keduniaan diasingkan. Lantas ideologi ini dikenali sebagai sekularisme.
"Aku bukan ambil bidang pengajian agama. Mengapa pula aku yang perlu menjadi pendakwah"
"Alah, ustaz dan ustazah lepasan Mesir kan ramai. Suruh mereka je ajarkan murid kita ni mengaji dan menulis jawi"
"Kami bukannya alim. Malulah nak solat berjemaah di surau"
Ini antara dialog akibat daripada gejala compartmentalization. Menjadikan muslim itu dipasarkan mengikut bidang pengajian di universiti. Kesannya nanti adalah kepada proses dakwah itu sendiri. Mahasiswa akan menjadi bidang pengajian mereka sebagai 'alasan kukuh' untuk tidak melakukan dakwah. Bukanlah yang dimaksudkan berdakwah di sini perlu dengan duduk di hadapan orang ramai menyampaikan ilmu semata-mata tetapi dakwah yang disampaikan dalam kaedah yang pelbagai.
Doktor dengan kaedah perubatannya
Peguam dengan hujah dan faktanya
Cuma yang perlu diberi perhatian ialah persiapan untuk berdakwah itu sendiri. Bak kata pepatah arab "Orang Yang Tiada Apa-Apa tidak Dapat Memberikan Apa-Apa".
Dakwah itu adalah medan untuk kita menyampaikan ilmu Islam kepada sesama muslim. Persipkanlah diri dengan sedikit-sebanyak ilmu tentang tauhid, akidah, ibadah, fardu ain dan ulum Al-Quran serta hadis. Insyaallah kerjaya sebagai pendakwah boleh diisi pada bila-bila masa. Tetapi sebelum tu jangan lupa jernihkan fikrah sebelum berdakwah.
Ingat saudara, kita ini umat Nabi Muhammad SAW. Mulianya kita kerana Allah SWT beri kita kesempatan untuk menyambung tugas yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW. Dapat juga kita peluang untuk merasa pedih dan peritnya ketika Nabi kita berdakwah suatu ketika dulu.
Posted by M.Firdaus at 7:24 am
Saturday, 22 August 2009
Ramadhan 1430 H
Bakar pelita malamnya dengan kelazatan berzikir dang bertahajud kepadaNya,
Mudah-mudahan acuan perisai ketaqwaan jua yang akan kita raih sebagai ganjaran.
Tarbiyyah Didahulukan,
Taqwallah Diutamakan.
In my most noble honour 'please forgive anything in the past'.
May Allah give us the best Ramadhan ever. Amin.
Tiada ibadah sindah SOLAT,
Tiada bulan seindah RAMADHAN.
Alhamdulillah. Masih dipanjang umur oleh Allah SWT untuk bertemu dengan Ramadhan kali ini. Bulan yang pada awalnya RAHMAT, pertengahannya KEAMPUNAN dan penghujungnya KELEPASAN DARI API NERAKA. Merenung kembali terowong masa yang telah berlalu terasa sangat kerdil diri ini di sisi pencipta. Terlalu banyak dosa dan maksiat yang dilakukan namun tidak pernah sang pencipta mengurangkan nikmatnya pada diri.
Nikmat kesihatan terutamanya di kala wabak penyakit menyerang, nikmat masa lapang di kala orang lain dalam kesibukan dan yang paling utama nikmat kehidupan di kala kita melihat ada insan yang dipanggil pulang ke negeri abadi.
Sempena kedatangan bulan Ramadhan kali ini, bersama kita pasakkan semangat untuk berubah:
* daripada keburukan kepada kebaikan
* daripada seorang jahil kepada seorang yang alim
* daripada seorang muslim kepada seorang mukmin
* daripada seorang manusia biasa kepada seorang hamba yang taat setia
Mudah-mudahan kehadiran Ramadhan kali ini memberi satu momentum baru kepada diri agar menemui makna hamba dan hakikat kehidupan sebenar di dunia ini.
Posted by M.Firdaus at 12:11 am
Tuesday, 18 August 2009
Jambori Amal Johor 2009
Posted by M.Firdaus at 5:38 pm
Tuesday, 4 August 2009
Pembuka bicara bulan Ogos
Bicara 1 : Anti kezaliman
Kata Mufti Perak, Dato Seri Harussani Zakaria
JIKA perhimpunan yang boleh mendatangkan huru hara, MAKA adalah haram mana-mana pihak untuk menyertainya apatah lagi perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.
JIKA undang-undang sudah mengklasifikasikan perhimpunan itu sebagai haram, MAKA hukumnya menganjur dan menyertai perhimpunan itu adalah haram.
Wajib ke atas semua pihak untuk taat pada undang-undang demi menjaga keselamatan negara, oleh itu berdosa jika undang-undang tidak dipatuhi.
Mana-mana pihak yang ingin menyertai perhimpunan itu dinasihatkan supaya membatalkan hasrat mereka, sebaliknya melakukan protes secara aman sama ada melalui surat atau mengadakan pertemuan bagi mendesak kerajaan.
Kata Aku
JIKA perhimpunan JOM HEBOH itu haram, MAKA adalah haram untuk mana-mana pihak untuk menyertainya walaupun perhimpunan itu mendapat kebenaran pihak berkuasa.
JIKA undang-undang negara mengklasifikasikan perhimpunan JOM HEBOH sebagai perhimpuan sah (kerana mendapat permit), MAKA hukumnya menganjur dan menyertai perhimpunan itu adalah halal.
JIKA meletakkan kalungan bunga di pusara itu haram, MAKA adalah haram untuk mana-mana pihak untuk meletakkannya walaupun yang dihormati itu adalah pihak berkuasa (tentera-pejuang negara).
Aku bukan orang sastera. Apatah lagi pakar bahasa. Tetapi ukuran JIKA-MAKA yang digunakan dalam hal perhimpunan haram sukar untuk aku mengerti. Apakah untuk menilai hukum sesuatu perhimpuan itu haram atau sah hanya menggunakan nilai undang-undang dalam perlembagaan negara? Aku keliru. Aku bukan ahli dalam bidang agama dan bergantung harap kepada golongan agamawan untuk mengetahui sesuatu hukum. Namun jika begini keadaaannya, aku jadi keliru. Kenyataan begini tidak menyelesaikan isu tetapi hanya menjadikan pemikiranku serabut dan kusut.
Bicara 2 : Serangan 'tentera BABI'
Kematian pertama mangsa selsema babi, kita tak peduli. Mangsa kedua meninggal, kita kata masih terkawal. Hingga kini sudah lapan orang mati akibat virus H1N1-selesema babi. Takkan masih nak berdiam diri. Tak usah nak berdebat isu penggunaan istilah mana paling sesuai-nak guna istilah H1N1 atau istilah selesema babi. Istilah apa yang digunakan sekalipun tidak menyelamatkan nyawa manusia. Kematian adalah sesuatu yang pasti. Tak semestinya kerana 'babi'. Matinya Michael Jackson dan Yasmin Ahmad tiada kena mengena dengan virus ini.
Manusia mendabik dada mendakwa mereka hebat. Cipta senjata pelbagai rupa tetapi 'tentera' tuhan yang satu ini tidak dapat mereka tewaskan. Penyakit itu suatu bala. Bala itu suatu peringatan. Peringatan kepada semua yang makin lupa akan tuhan. Bagaimana nak selesaikan?
Usaha dan jangan lupa minta pertolongan kepada tuhan yang ESa-Allah SWT.
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Apa erti aku berbicara? Bukannya ada yang hendak mendengar. Tetapi hati tetap meronta dan terus meronta. Biarlah....kerana makin banyak aku berbicara menjadikan diri makin banyak memahani perkara. Aku tutup bicara ini dengan beberapa patah kalimah :
Haruslah bijak memilih watak,
Kerana watak kita di dunia bakal menentukan anugerah apa yang kita dapat di akhirat kelak...
Posted by M.Firdaus at 12:36 am
Wednesday, 22 July 2009
Lagu = Dakwah??
1) Lagu tersebut dinyanyikan dalam empat bahasa-
Inggeris, Turki, Arab dan Urdu.
2) Latar belakang video berubah mengikut bahasa yang dinyanyikan.
3) Muzik diolah dengan memasukkan elemen empat negara tersebut.
Posted by M.Firdaus at 12:28 am
Sunday, 19 July 2009
Assalamualaikum WBT,
Aku sedar sudah agak lama blog ini tidak dikemaskini. Bukan masalah ketiadaan kemudahan internet apatah lagi sudah kekeringan idea untuk menulis. Jauh sekali hinggap perasaan malas.
Semua ini kerana komitmen aku terhadap projek sarjana muda yang sedang melalui fasa ujikaji makmal yang memenatkan. Sejak minggu lepas aku terpaksa menapis batu-batu (baca aggregat) yang akan digunakan untuk membuat bancuhan turapan jalan (asphalt pavement). Setelah aggregat tersebut ditapis mengikut saiz yang ditetapkan barulah nisbah campuran antara aggregat kasar, halus dan bahan pengisi boleh dilakukan. Dah namanya kejuruteraan, bukan sekali buat terus dapat nisbah yang tepat. Jika salah buat lagi dan lagi dan lagi......... hingga memuaskan spesifikasi ditetapkan dalam manual.
Sungguh memenatkan tetapi inilah hakikat yang harus dilalui. Tanpa kesugguhan dan pengorbanan mungkin tiada makna sebuah cita bernama kejayaan.
Sebelum menutup tulisan ini aku ingin kongsikan satu kisah lucu yang berlaku pada hari selasa lepas. Selepas kelas sebelah pagi, aku pergi ke Kafeteria Kolej Kediaman TSN untuk bersarapan. Semasa tiba di kaunter pembayaran, seorang pelajar lelaki meminta sesuatu dengan penjaga kaunter :
"Kak, minta kayu balak"
Aku melihat kakak penjaga kaunter tersebut terkebil-kebil. Mungkin hairan, pening atau sedang cuba menterjemah permintaan pelajar tersebut.
"Kayu balak? Mana ada kayu balak dekat kafe". Aku rasa ini mungkin antara monolog dalam hati kakak tersebut.
"Kak, ada ndak kayu balak?"
Aku mula ketawa sendiri kerana sudah dapat menangkap maksud permintaan tersebut.
Pada pandangan anda apa yang sebenarnya diminta oleh pelajar tersebut? Cuba teka sebelum melihat jawapan di bawah.
Dapat jawapannya? Memang itulah istilah yang digunakan rakan-rakan kita dari Sabah. Bila anda ke restoren selepas ini cuba gunakan istilah di atas. Pasti lucu melihat gelagat penjaga restoren yang terkebil-kebil cuba menafsir permintaan anda.
Tidak lupa juga ucapan tahniah aku sampaikan kepada Ust Hazrizal-penulis buku Aku Terima Nikahnya, Bercinta Sampai Ke Syurga dan Rindu Bau Pohon Tin dalam masa yang sama sebagai pengendali laman web Saifulislam.com atas kehadiran cahaya mata keempat beliau bersama ummusaif yang selamat dilahirkan pada 15 Julai yang lalu tepat jam 640 petang.klik untuk lihat gambar muizzuddin
Posted by M.Firdaus at 12:09 am
Wednesday, 1 July 2009
Sekadar Luahan Rasa
Pulang dari bertugas menjaga mahasiswa/wi baru mendaftar subjek ko-kurikulum, akhbar digital sinar harian aku buka. Niat di hati nak cari berita semalam. Ulasan Ketua Menteri Melaka yang kesal dengan 'Datuk' mereka-Shah Rukh Khan yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW, tetapi tak ketemu lagi dengan laporan itu. Sebaliknya tajuk yang bakal dipaparkan ini juga sedikit sebanyak ada kena mengena dengan apa yang ingin aku ulas berkaitan laporan semalam.
------------------------------------------------------------------------------------------------
1Malaysia kesinambungan Islam Hadhari
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan dasar Islam Hadhari yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mempunyai persamaan dan kesinambungan dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata, persamaan itu meliputi 10 prinsip dalam pelaksaan dasar Islam Hadhari yang dekat dengan konsep 1Malaysia.
“Prinsip itu ialah keimanan kepada Allah, kerajaan adil dan amanah, rakyat berjiwa merdeka, penguasaan ilmu pengetahuan, pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif, kehidupan berkualiti serta pembelaan hak golongan minoriti dan wanita, keutuhan budaya dan moral, pemuliharaan alam sekitar dan kekuatan pertahanan akhirnya melahirkan 1Malaysia di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini,” katanya.
Menurutnya, hasil kajian menunjukkan bahawa 84.8 peratus daripada responden yang mengikuti program penerangan Pendekatan Hadhari bersetuju dan menerima pendekatan Islam Hadhari.
“Seramai 2,244 orang responden terdiri daripada kakitangan kerajaan, swasta, ahli korporat, pertubuhan bukan kerajaan, pertubuhan politik, mahasiswa Institut Pengajian Tinggi, pendidik, pelajar sekolah dan anggota tentera telah terlibat dalam kajian ini.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Semenjak diperkenalkan lagi, Islam Hadhari banyak menimbulkan kontrovesi dan perdebatan. Yang mengusul terus mempertahankan dan yang tidak bersetuju terus menentang. Memang boleh diakui 10 prinsip yang diketengahkan itu tiada bercanggah dengan prinsip asal Islam. Jika begitu keadaannya mengapa perlu menggagaskan Islam Hadhari. Jadikan sahaja Islam sebagai dasar pemerintahan.
Di atas kertas ada perkara yang boleh dipersetujui tetapi bagaimana pula dengan praktikalnya. Mari sejenak kita cuba lihat satu-perstu prinsip Islam Hadhari dan lihat keberkesanan dalam perlaksanaannya di Malaysia. Aku cuma ingin mengulas beberapa prinsip sahaja yang mudah untuk kita fahami.
Prinsip 1 : Keimanan kepada Allah
Belajarlah di mana-mana sekolah sekalipun. Keimanan kepada Allah merupakan perkara pokok dalam kehidupan beragama. Mana mungkin seseorang itu digelar muslim jika dia tidak beriman kepada Allah. Salah seorang daripada guruku pernah berkata, iman dan percaya adalah dua perkara yang berbeza.
Timbulnya rasa percaya pada individu apabila dia sendiri menyaksikan perkara tersebut. Sebagai contoh kita akan percaya bahawa seekor kucing berkaki enam sekiranya kita pernah melihat dengan mata sendiri. Jika tidak ia akan menimbulkan keraguan kerana pada adat kebiasaan kucing adalah berkaki empat. Iman pula berbeza dari percaya dalam ertikata kita yakin sesungguhnya sesuatu perkara itu walaupun kita tidak pernah melihatnya. Contoh mudah ialah pahala dan dosa. Adakah sesiapa yang boleh menggambarkan pahala dan dosa dalam satu objek yang boleh dilihat dan dirasa? Mustahil. Tetapi mengapa anda yakin adanya pahala dan dosa? kerana iman.
Di alam realiti boleh dikatakan sukar untuk aku mencari contoh di peringkat pemimpin tertinggi negara yang benar-benar menghayati prinsip pertama ini. Ini bukan dakwaan. Ini bukan hasutan. Isteri perdana menteri sendiri tidak menghayati prinsip ini. Maaf kalau anda merasakan tulisan ini terlalu kasar tetapi ia memang kenyataan. Terlalau banyak perihal dalam negara ini yang masih belum memenuhi tuntutan prinsip pertama ini. Bagaimana mungkin ia boleh mengajak rakyatnya beriman kepada Allah sedangkan dia sendiri tidak melaksanakannya.
Prinsip 2 : Kerajaan adil dan amanah
Kerajaan adalah amanah yang diberikan kepada individu tertentu yang dilantik oleh rakyat untuk mengurus tadbir hal ehwal sesebuah negara atau negeri. Amanah adalah sifat yang dituntut dalam agama. Mengabaikan amanah adalah satu dosa dan dilaknat oleh Allah Swt.
Tidak dapat tidak harus diakui kerajaan yang ada pada hari ini telah banyak mengubah kehidupan rakyat. Pembangunan berlaku di setiap inci kawasan negara. Salah satu daripada amanah rakyat telah dipenuhi.
Jadi apa salahnya kerajaan pada hari ini? Ingatkah anda isu royalti negeri Terengganu yang ditarik oleh kerajaan pusat apabila kerajaan negeri bertukar tangan, sedangkan sejak dari awal royalti minyak harus diberi kepada negeri di mana minyak tersebut diperolehi. Tidakkah ini satu ketidakADILan.
Bagaimana pula dengan tahanan tanpa bicara di bawah akta ISA. Dalam artikel sebelum ini aku pernah menulis tentang kejadian di mana seorang bapa yang ditahan di bawah ISA hanya dapat bertemu dengan anaknya yang sudah meninggal tanpa sempat melihat anaknya membesar seperti kanak-kanak lain. Dan baru-baru ini bagaimana seorang tahanan ISA yang telah ditahan hampir tujuh tahun hanya sempat menatap wajah kasih seorang ibu yang telah meninggal dunia. Tidakkah ini kezaliman dan ketidakADILan?
Aku bukannya penentang bodoh yang menilai mengikut sentimen perkauman, kepartian atau seorang pelampau agama. Aku sedang cuba menjadi insan bijak yang menggunakan kelebihan akal dan fikiran untuk menafsir hasil daripada sedikit ilmu yang dikurniakan.
Apa guna aku dilatih di pusat pengajian jika hanya untuk menjadi individu yang hanya harus patuh pada peraturan sedangkan peraturan itu menyalahi prinsip kehidupan.
Apa guna aku dilatih di pusat pengajian jika hanya untuk menjadi 'pak angguk' atau 'pak turut' kepada sebuah sistem yang tidak mampu menyelamatkan hayatku sesudah mati kelak.
APA GUNANYA?
Teruskan berkata wahai pemimpin negaraku. Aku sedang menilai kalian.
Posted by M.Firdaus at 5:38 pm
Monday, 29 June 2009
Semalam (28 Jun 2009), para pelajar baru selamat mendaftar di IPTA di seluruh negara. Tidak terkecuali untuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia atau kini lebih dikenali sebagai UTHM Johor. Satu penjenamaan baru untuk meningkatkan imej universiti. Seperti kebiasaan, aku sekali lagi menawarkan diri untuk bertugas sebagai Pembantu Minggu Haluan Siswa (MHS). Bezanya kali ini aku bertugas dalam unit protokol. Lebih tepatnya bawah bahagian publisiti dan siaraya.
Posted by M.Firdaus at 8:24 am
Monday, 15 June 2009
Peluang Pekerjaan
Anda masih mencari pekerjaan?
Sila klik pautan di bawah untuk mendapatkan peluang kerjaya di kawasan Bandar Baru Bangi.
Dialog Aku : Kenapa la mereka buka iklan sekarang. Aku lagi satu sem lagi nak habis sarjana muda!! Kalau tak dah boleh isi borang dan pergi temuduga.
Posted by M.Firdaus at 9:16 am
Thursday, 28 May 2009
Kenyataan membawa padah
Tatkala membaca harakah daily sebentar tadi, aku menemukan suatu pengajaran yang cukup penting terutamanya bagi mereka yang berhajat untuk menjadi ahli dalam bidang siasah/politik semasa. Dua situasi berbeza yang terjadi di dua negara- Malaysia dan Indonesia memberikan satu gambaran betapa pentingnya sesuatu kenyataan itu diteliti sebelum dikeluarkan. Ianya bukan sahaja boleh menjadi bahan provokasi media malah mungkin kenyataan tersebut boleh membawa rebah kepada individu atau parti yang didokongnya.
Kes pertama
Heboh sejak kebelakangan ini ada satu usaha untuk membawa bekas Ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng untk kembali ke Malaysia. Pelbagai pandangan sama ada daripada pihak kerajaan, pasukan polis dan tentera malah orang awam menyelar usaha ini kerana kembalinya Chin Peng ke Malaysia seperti menoreh luka lama dalam sejarah ketika usaha mencapai kemerdekaan suatu ketika dahulu. Saksikan sahaja contoh kekejaman komunis dalam filem Bukit Kepong. Paling tidak baca sahaja novel ini yang menjadi antara bahan bacaan wajib dalam Komponen Sastera (KOMSAS) sekolah menengah seluruh Malaysia.
Tidak dapat tidak, nyata sejarah hitam pernah dicoret oleh pasukan komunis dengan perilaku membunuh banyak nyawa tidak berdosa. Aku ingin membawa isu ini ke satu arah yang lebih berfokus dengan tujuan untuk mengaitkannya dengan isu utama yang ingin aku bawa.
Apabila isu ini diajukan kepada seorang tokoh ulama dalam negara, pada masa yang sama merupakan pimpinan sebuah parti politik dengan jawatan Mursyidul Am iaitu Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau tidak memberikan jawapan secara selari malah menggunakan satu kaedah menjawab yang aku namakan "satu solan, banyak jawapan".
Ketika wartawan mengajukan tentang usah membawa balik Chin peng, beliau menyatakan begini :
"Mengapa kita takut sangat hal ini. Rakyat negara ini bukannya buta sejarah, kita seharusnya sedar. Fahaman komunis hanyalah sebahagian sahaja dari pelbagai fahaman. Orang komunis dan nasionalis sama sahaja seperti adik beradik kerana sama-sama menolak hukum Islam".berita penuh
Jawapan ini bukan sahaja menjawab soalan mengenai usaha membawa balik Chin peng tetapi dasar jawapan beliau dipaku oleh agama dan syariat. Dalam beliau menolak usaha tersebut, ada isi penting lain yang beliau ingin sampaikan. Iaitu apa sahaja yang menolak Islam perlu ditentang tidak kira komunis, nasionalis atau kapitalis.
Kenyataan ini pastinya tidak mengelirukan bahkan aku yakin semakin ramai yang akan menghormati tuan guru kerana kenyataan ilmiah seperti ini.
Kes Kedua
Lain pula halnya yang terjadi kepada Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia. Jika sebelum ini PKS dilihat sebagai sebuah parti yang mempunyai potensi besar untuk kembali membawa sinar cahaya Islam kepada warganya namun hasil kenyataan dalam satu majlis jamuan.
Pada jamuan Silatulrahim dan Dialog Antara Keluarga Pahlawan Nasional yang diadakan pada November 2008 ketika pilihanraya umum (pemilu) semakin hampir, beberapa pimpinan PKS telah hadir ke jamuan ini yang bertujuan untuk menyanjung jasa tokoh yang pernah berbakti kepada Indonesia termasuklah salah seorang daripada pemimpin itu ialah Suharto. Mengikut sejarah, zaman pemerintahan Suharto adalah zaman pemerintahan kuku besi. Kes Tanjung Periuk dan peristiwa lain yang mengganggu gugat keselamatan Islam khususnya terjadi pada zaman Suharto.
Apa yang terjadi ialah terdapat sesetengah pemimpin PKS memuji bekas Presiden tersebut. Dikahabarkan juga ada pemimpin PKS yang ingin mengadakan hubungan dengan parti Suharto iaitu Golkar yang kini dipimpin oleh Jusuf Kalla. Ketika majlis berlangsung kelihatan juga anak perempuan Suharto, Titiek Suharto duduk semeja dengan Ketua Dewan Syura PKS, Hilmy Aminuddin dan Setiausaha Agung PKS, Anis Matta. Kejadian ini memberikan gambaran buruk kepada rakyat yang meletakkan harapan tinggi kepada PKS untuk membawa mereka keluar dari belenggu masalah yang sekian lama dihadapi.
Akhirnya ketidakpuasan ini diterjemahkan apabila kalahnya calon-calon PKS di tempat yang dulunya mereka kuasai pada tahun 2004. Disebutkan generasi muda adalah antara golongan yang paling kecewa dengan perubahan sikap PKS ini.sumber rujukan
Kesimpulan
Jelas daripada dua kes di atas, perlunya seorang pemimpin itu meneguhkan dasar dan prinsip perjuangannya di atas paksi akidah dan Islam. Walaupun atas alasan strategi, namun perkara itu bukanlah sebab kita terpaksa mengeluarkan kenyataan dengan bahasa yang disenangi oleh lawan. Lihat sahaja kes muqabalah suatu ketika dulu ketika mana ada cadangan menggabungkan UMNO-PAS, pimpinan yang berpegang teguh atas dasar Islam mengeluarkan kenyataan bahawa ISlam dan nasionalis tidak boleh bercampur. Sampai bila-bila pun. Dan ketika timbul pula isu Ulama-Profesional sekali lagi jawapan yang dipandu Islam muncul-tiada pemisahan antara ulama dan profesional. Inilah peri pentingnya sebuah jemaah Islam itu melatih ahlinya supaya "faham dan hadam" prinsip serta dasar perjuangan. Berjuang bukan kerana parti, bukan kerana pangkat, harta, masyhur dan gila kuasa. Perjuangan akidah dan Islam jelas. Islam bukan kosmetik untuk ditempek pada muka untuk kelihatan cantik pada pandangan orang ramai.
Ayuh golongan muda, bersihkan akidah dan prinsip perjuangan!!!
Posted by M.Firdaus at 3:17 pm
Create Fake Magazine Covers with your own picture at MagMyPic.com
Tazkirah : Al-Alaq (The Clot)
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ
96:1 Proclaim! (or read!) in the name of thy Lord and Cherisher, Who created-
خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَق
96:2 Created man, out of a (mere) clot of congealed blood:
اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ
96:3 Proclaim! And thy Lord is Most Bountiful,-
الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ
96:4 He Who taught (the use of) the pen,-
عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ
96:5 Taught man that which he knew not.